Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Turkey kecam seruan pembangkang agar rakyat lakukan demonstrasi jalanan

Mar 21, 2025 | 4:47 PM
Polis anti-rusuhan Turkey menggunakan meriam air ketika bertempur dengan para pelajar Universiti Teknikal Timur Tengah (ODTU) yang membantah penahanan Mayor Istanbul di Ankara pada 20 Mac 2025. Polis Turkey telah menahan Datuk Bandar Istanbul yang berpengaruh, Ekrem Imamoglu, pada 19 Mac berhubung dua siasatan berkaitan rasuah dan “menyokong keganasan” — satu tindakan yang dikecam hebat oleh parti pembangkang utama sebagai “rampasan kuasa” bermotif politik. 
Polis anti-rusuhan Turkey menggunakan meriam air ketika bertempur dengan para pelajar Universiti Teknikal Timur Tengah (ODTU) yang membantah penahanan Mayor Istanbul di Ankara pada 20 Mac 2025. Polis Turkey telah menahan Datuk Bandar Istanbul yang berpengaruh, Ekrem Imamoglu, pada 19 Mac berhubung dua siasatan berkaitan rasuah dan “menyokong keganasan” — satu tindakan yang dikecam hebat oleh parti pembangkang utama sebagai “rampasan kuasa” bermotif politik.  - Foto AFP

ANKARA: Pemerintah Turkey mengkritik keras seruan oleh pemimpin pembangkang utama, Encik Ozgur Ozel, yang mengajak rakyat turun ke jalan bagi membantah penahanan Datuk Bandar Istanbul, Encik Ekrem Imamoglu.

Penahanan ini telah mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara, meskipun pihak berkuasa menguatkuasakan larangan perhimpunan selama empat hari.

Encik Imamoglu, yang merupakan pencabar utama Presiden Recep Tayyip Erdogan, ditahan pada 19 Mac lalu atas tuduhan rasuah dan membantu kumpulan pengganas. Parti Rakyat Republik (CHP), yang mewakili pembangkang utama, menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan rampasan kuasa secara halus menjelang pemilihan presiden.

Pada 20 Mac ribuan penunjuk perasaan berhimpun di ibu pejabat Perbandaran Istanbul, walaupun berdepan sekatan polis dan penghadang jalan di beberapa bandar utama seperti Ankara, Izmir dan Istanbul. Protes turut berlaku di universiti-universiti, dengan beberapa insiden pergelutan antara penunjuk perasaan dan polis tercetus.

Dalam satu perhimpunan di hadapan bangunan perbandaran, Encik Ozel menolak tuduhan Encik Erdogan bahawa bantahan ini sekadar “lakonan politik”, dan menyatakan bahawa rakyat tidak akan berdiam diri.

“Hey Erdogan, yang paling kamu takut adalah suara rakyat di jalanan. Kini kami berada di jalanan dan di dataran. Teruskanlah ketakutan kamu,” tegas Encik Ozel.
Beliau menambah, “Selagi orang yang kami pilih secara sah dikurung, kami tidak akan duduk diam di rumah.”

Encik Ozel juga mengecam tindakan pemerintah yang mungkin melantik penjawat awam sebagai pengganti Encik Imamoglu jika beliau ditahan secara rasmi.
“Tuan Tayyip, kamu tanya sama ada saya mengajak rakyat ke jalanan? Ya! Tetapi bukan saya yang penuhi dataran ini. Kamu yang sebabkan rakyat turun,” ujarnya lagi.

Menteri Dalam Negeri, Encik Ali Yerlikaya, dan Menteri Kehakiman, Encik Yilmaz Tunc, mengecam kenyataan Encik Ozel sebagai tidak bertanggungjawab.
Dalam kenyataannya di platform X,Encik Tunc berkata:
“Berkumpul dan berarak adalah hak asasi, namun menyeru orang ramai turun ke jalan bagi membantah siasatan undang-undang yang masih berlangsung adalah perbuatan yang melanggar undang-undang dan tidak boleh diterima.”

Encik Tunc turut menyeru semua pihak agar tenang dan menegaskan bahawa sistem kehakiman Turkey adalah bebas dan adil.

Penahanan Encik Imamoglu berlaku ketika beliau dijangka diumumkan sebagai calon presiden oleh CHP pada 23 Mac ini. Malah, sehari sebelum penahanannya, Universiti Istanbul membatalkan ijazah beliau — langkah yang boleh menghalangnya daripada bertanding pada pilihan raya presiden.

Encik Imamoglu, yang dua kali memenangi jawatan Datuk Bandar Istanbul, semakin popular sebagai tokoh pembangkang dan simbol harapan bagi mereka yang inginkan perubahan politik di Turkey.

Encik Ozel menegaskan kepada Reuters bahawa bantahan akan diteruskan secara aman.
“Kami akan terus bersuara, tetapi kami tidak akan ganggu ketenteraman awam. Kami akan hadapi sebarang cubaan pengusiran dengan tegas dan bermaruah,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg