Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Segamat, Johor, sekali lagi digegar gempa bumi

Aug 29, 2025 | 11:32 AM
Gempa bumi lemah telah berlaku di Johor pada 4.24 pagi, 29 Ogos 2025.
Gempa bumi lemah telah berlaku di Johor pada 4.24 pagi, 29 Ogos 2025. - Foto FACEBOOK MALAYSIAN METEOROLOGICAL DEPARTMENT

Daerah Segamat di Johor sekali lagi digegarkan dengan dua kejadian gempa bumi lemah yang direkodkan berturut-turut pada 28 dan 29 Ogos, menjadikan ia kejadian keempat dan kelima selepas insiden pertama pada 24 Ogos lalu.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa pertama berlaku pada 7.56 malam, 28 Ogos, dengan magnitud 2.5 pada kedalaman 10 kilometer (km). Pusat gempa terletak 13km di utara Segamat.

Sementara itu, satu lagi gempa lemah direkodkan pada 4.24 pagi, 29 Ogos, dengan magnitud 3.4 pada kedalaman 10km. Pusatnya terletak 22km di timur laut Segamat.

Kedua-dua gegaran berkenaan turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor.

Dalam satu kenyataan, MetMalaysia menegaskan orang ramai tidak perlu bimbang kerana semua gempa yang berlaku adalah pada magnitud lemah.

“MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.

“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi MyCuaca, media sosial jabatan atau menghubungi talian hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pasukan Penyelidik Engineering Seismology and Earthquake Engineering Research Group (eSEER) Universiti Teknologi Malaysia bersama MetMalaysia, yang diwakili Pengarah Pejabat Meteorologi Johor, Cik Nor Adawiah Abdullah, turut mengadakan lawatan ke lokasi pusat gempa bumi (epicenter) bagi kejadian 24 Ogos.

Lawatan itu disertai Pegawai Daerah Segamat, Encik Mohd Ezzuddin Sanusi, anggota Bomba dan Penyelamat, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat serta Majlis Perbandaran Segamat. Ia diadakan bagi menilai kesan gempa bumi termasuk tanda-tanda rekahan di kawasan sekitar epicenter.

Sementara itu, Encik Mohd Ezzuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat, berkata setakat ini tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima.

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada sebarang laporan kerosakan atau kehilangan nyawa diterima.

“Pihak berkuasa keselamatan bersama agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di daerah Segamat berada dalam keadaan selamat, khususnya buat orang awam,” katanya.

Beliau menasihatkan penduduk supaya bertenang, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, dan sentiasa merujuk sumber rasmi seperti MetMalaysia serta agensi kerajaan lain bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Orang ramai juga digalakkan melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat melalui Pejabat Daerah akan terus menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Pada 27 Ogos, MetMalaysia juga telah mengesahkan gempa bumi berukuran 3.2 magnitud berlaku di Segamat pada 8.59 pagi, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.

Gegaran itu susulan kepada gempa bumi lemah yang berlaku pada 24 Ogos, membabitkan dua kejadian masing-masing berukuran magnitud 4.1 di Segamat pada 6.13 pagi dan 2.8 di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang pada 9 pagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg