Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TIMUR TENGAH

Gempa bumi gegar Turkey sekali lagi

Feb 22, 2023 | 05:30 AM



ANTAKYA (Turkey): Enam orang terbunuh dalam satu lagi kejadian gempa bumi yang melanda wilayah perbatasan Turkey dan Syria, dua minggu selepas gempa besar yang telah meragut lebih 47,000 jiwa dan memusnahkan ratusan ribu bangunan kediaman.



Gempa pada Isnin, yang kali ini berukuran 6.4 magnitud, berlaku dekat dengan bandar Turkey, Antakya, dan dapat dirasakan hingga ke Syria, Mesir dan Lebanon.



Gempa yang melanda adalah sedalam 10km, kata Pusat Seismologi Mediterranean Eropah.



Stesen CNN Turk menayangkan sepasukan penyelamat menggunakan tangga untuk memasuki sebuah bangunan di mana beberapa orang dikatakan terperangkap, selepas bencana terbaru itu berlaku.



Gempa itu terjadi semasa beberapa orang sedang berada dalam bangunan tersebut untuk mengambil barang-barang milik mereka dari bangunan yang sudah musnah itu, akibat daripada gempa yang melanda sebelum ini.



Menteri Kesihatan Turkey, Encik Fahrettin Koca, berkata 294 orang cedera dalam kejadian petang Isnin itu, dengan 18 cedera parah dan dikejarkan ke hospital-hospital di Adana dan Dortyol.



Para pesakit telah dipindahkan dari beberapa kemudahan kesihatan yang masih beroperasi selepas gempa besar yang berlaku dua minggu lalu, kerana keretakan pada bangunan dikesan, kata Encik Koca melalui ciapan di Twitter.



Di Samandag, Penguasa Pengurusan Kecemasan dan Bencana (AFAD), melaporkan bahawa lebih banyak bangunan runtuh akibat gempa ini, tetapi kebanyakan orang sudah pun meninggalkan bandar tersebut selepas kejadian gempa yang pertama.



Timbunan runtuhan dan perabot yang rosak kelihatan di sepanjang jalan.



Cik Muna Al Omar, berkata beliau berada dalam khemah di sebuah taman di pusat Antakya, apabila bumi bergegar.



"Saya fikir bumi akan terbelah," katanya menangis sambil memeluk anak lelakinya yang berusia tujuh tahun.



Beberapa jam sebelum itu, Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata semasa melawat Turkey bahawa Washington akan membantu "selagi diperlukan" bagi operasi menyelamat, selepas bencana gempa pada 6 Februari lalu itu melanda sehinggalah kesan-kesan malapetaka itu reda.



Tumpuan kini diberikan terhadap kerja-kerja membangun tempat perlindugan.



Angka kematian dari gempa pertama dua minggu lalu, kini meningkat kepada 41,156 orang di Turkey, kata AFAD pada Isnin lalu.



Sekitar 385,000 bangunan pangsapuri musnah atau mengalami kerosakan teruk, sementara ramai orang masih dilaporkan hilang.



Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata kerja-kerja pembinaan sekitar 200,000 pangsapuri di 11 buah wilayah yang dilanda gempa itu, akan dimulakan Mac ini.



Jumlah bantuan kemanusiaan Amerika Syarikat bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkey dan Syria, telah mencapai AS$185 juta ($247 juta), menurut Jabatan Negara Amerika.



Antara yang terselamat dalam kejadian gempa itu termasuk sekitar 356,000 wanita hamil, yang memerlukan perkhidmatan kesihatan segera, kata agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi kesihatan seksual dan kelahiran.



Mereka termasuk 226,000 wanita di Turkey dan 130,000 di Syria. Kira-kira 38,800 akan melahirkan pada Mac ini.



Ramai daripada mereka berlindung di khemah-khemah dan terdedah dengan cuaca sejuk. Mereka juga menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan makanan dan air bersih. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >