Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, telah menyampaikan rasa dukacita susulan kehilangan nyawa serta kemusnahan yang berlaku, susulan gempa bumi di Mindanao, Filipina, pada 8 Jun.

Dalam surat takziah beliau kepada Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, Encik Wong turut menyatakan Singapura bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan bagi menyokong usaha pemulihan selepas bencana tersebut.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud itu dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 61 orang dan mencederakan 134 yang lain, selain menyebabkan bangunan runtuh sehingga mencetus amaran tsunami di beberapa negara di rantau Asia Pasifik pada 8 Jun.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan beberapa gegaran susulan yang kuat berlaku kira-kira dua jam selepas gempa utama, dengan yang terbesar dicatat pada 6.5 magnitud.

Rakaman video yang tular di media sosial dan disahkan agensi berita AFP menunjukkan sebuah pusat beli-belah yang menempatkan restoran makanan segera Jollibee runtuh sepenuhnya di General Santos City.

Sebuah bangunan sekolah, yang menurut pihak berkuasa, tidak dihuni ketika kejadian itu berlaku, turut runtuh akibat gegaran kuat tersebut.

Dalam kenyataannya pada 15 Jun, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan keadaan di kawasan terjejas.

Rakyat Singapura yang berada di kawasan terjejas dinasihatkan supaya terus berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya gegaran susulan, lantas digesa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

MFA juga menghubungi rakyat Singapura yang berdaftar secara elektronik di kawasan tersebut bagi menawarkan bantuan konsular sekiranya diperlukan dan menggalakkan mereka yang berada atau merancang untuk ke Filipina supaya mendaftar melalui sistem e-pendaftaran kementerian itu, di samping mendapatkan perlindungan insurans perjalanan yang menyeluruh.

Setakat ini, MFA berkata tiada laporan diterima mengenai rakyat Singapura yang cedera akibat gempa bumi tersebut.

Rakyat Singapura di Filipina yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Manila di talian +63 2 8856 9922 atau +63 917 860 4740 (untuk kecemasan) atau Pejabat Bertugas MFA yang beroperasi 24 jam di +65 6379 8800 / 8855.