Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Gempa bumi Maghribi 7.0 pada skala Richter korban lebih 800 jiwa

Bencana yang turut musnahkan kota bersejarah Marrakesh ini paling dahsyat
susuli kejadian gempa 2004 yang korbankan 600 orang
Sep 09, 2023 | 07:50 PM



RABAT: Gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter melanda Maghribi lewat Jumaat malam, memusnahkan bangunan dan menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan nyawa.


“Gempa bumi melanda ketika saya sedang menonton televisyen. Tingkap terbuka dan tertutup sendiri. Saya berasa takut dan berlari keluar dari rumah,” Aziz Aishi, seorang penduduk di ibu kota Rabat, memberitahu Agensi Berita Anadolu.

Sekurang-kurangnya 820 orang maut, manakala 392 yang lain cedera setakat ini, menurut Kementerian Dalam Negeri Maghribi.

Kematian akibat gempa bumi berlaku di pelbagai wilayah, termasuk Al Haouz dan Marrakesh, serta bandar Ouarzazate, Azilal, Chichaoua dan Taroudant, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Gempa bumi itu adalah gegaran paling kuat yang melanda negara Afrika Utara itu sejak abad lalu, menurut Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi.

Media tempatan melaporkan beberapa bangunan, termasuk tembok merah terkenal yang mengelilingi bandar lama dan tersenarai antara Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), musnah akibat gempa berkenaan.

Pada 2004, lebih 600 orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter melanda timur laut Maghribi.

Gegaran dilaporkan turut dirasakan di selatan Sepanyol dan Portugal.

Seorang pegawai pihak berkuasa Maghribi berkata kebanyakan kematian adalah di kawasan pergunungan yang sukar dicapai.

Gempa itu merosakkan bangunan di Marrakesh, bandar besar terdekat dengan pusat gempa, di mana penduduk bermalam di tempat terbuka dan takut untuk pulang ke rumah.

Sebuah menara masjid telah tumbang di Dataran Jemaa el-Fna, pusat bandar lama Marrakesh yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Kami terpaksa berlari sejurus selepas gempa kuat itu,” kata Encik Jaouhari Mohamed, seorang penduduk bandar lama itu, menggambarkan adegan terdesak ketika orang ramai berlari untuk menyelamatkan diri.

“Saya masih tidak boleh tidur di dalam rumah kerana terkejut dan juga kerana bandar lama itu terdiri daripada rumah lama. Jika ada yang jatuh, yang lain akan rebah,” katanya.

Televisyen tempatan menunjukkan gambar runtuhan yang menghempap kereta sehingga remuk.

Kementerian Dalam Negeri menggesa orang ramai agar bertenang dan mengesahkan gempa itu telah melanda wilayah Al Haouz, Ouarzazate, Marrakech, Azilal, Chichaoua dan Taroudant.

Encik Montasir Itri, seorang penduduk perkampungan pergunungan Asni, berhampiran pusat gempa, berkata kebanyakan rumah di situ rosak teruk.

“Jiran kami berada di bawah runtuhan dan orang ramai bertungkus-lumus menyelamatkan mereka menggunakan apa jua cara yang termampu,” tambahnya.

Lebih jauh ke arah barat, berhampiran Taroudant, seorang guru bernama Encik Hamid Afkar berkata beliau telah melarikan diri dari rumahnya dan terdapat gegaran susulan berikutan gempa awal.

“Bumi bergegar selama kira-kira 20 saat. Pintu dibuka dan ditutup sendiri ketika saya bergegas turun dari tingkat dua,” katanya.

Gempa bumi kali ini adalah yang paling teruk berlaku di Maghribi sejak gegaran 2004 berhampiran Al Hoceima di utara Pergunungan Rif mengorbankan lebih 600 orang.

Ighil, kawasan pergunungan dengan perkampungan pertanian kecil, terletak kira-kira 70 kilometer barat daya Marrakesh.

Televisyen Sepanyol RTVE melaporkan bahawa gegaran akibat gempa bumi dirasai di Huelva dan Jaen di Andalusia, selatan Sepanyol.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia untuk membantu pemerintah Maghribi dalam “usahanya untuk membantu penduduk yang terjejas”, jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric berkata dalam satu kenyataan.

Marrakesh akan menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia pada awal Oktober. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >