TOKYO: Pemindahan sedang giat dijalankan di Jepun, Hawaii dan beberapa bahagian Pantai Barat Amerika Syarikat apabila gempa bumi berukuran 8.8 magnitud menurut skala Richter, melanda Semenanjung Kamchatka, di timur Russia, mencetuskan amaran tsunami merentasi Lautan Pasifik.
Gelombang tsunami setinggi tiga hingga empat meter dilaporkan di Kamchatka manakala ombak setinggi 30 sentimeter melanda sebuah bandar di Hokkaido, utara Jepun.
Gabenor Hawaii, Encik Josh Green, meminta orang ramai supaya mematuhi arahan pemindahan dan bertenang manakala Presiden Amerika Encik Donald Trump menasihatkan rakyat Amerika supaya berwaspada terhadap amaran tsunami.
Beberapa orang dilaporkan cedera di Kamchatka akibat gempa bumi dan gegaran susulan yang kuat, lapor agensi berita, Tass.
Gunung berapi Klyuchevskoy di Kamchatka telah mengeluarkan abu setinggi hingga tiga kilometer di atas paras laut, ujar Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka, (Kvert), dari Institut Vulkanologi dan Seismologi di Akademi Sains Russia.
“Setakat ini, kepulan abu telah meluas 58 kilometer ke timur gunung berapi. Gunung berapi itu terus meletus dengan letupan di puncaknya.
Pelepasan abu pada ketinggian sehingga lapan kilometer di atas paras laut mungkin berlaku pada bila-bila masa.
Kegiatan berterusan mungkin menjejas pesawat terbang rendah,” kata kenyataan itu, lapor agensi berita, Interfax.
“Kawah itu hampir dipenuhi dengan lava, kami menjangkakan aliran lava,” lapor Kvert.
Amaran tsunami dalam pelbagai peringkat juga telah dikeluarkan di beberapa bahagian di China, Filipina, Indonesia, Guam, Peru dan Kepulauan Galapagos di luar Ecuador.
Di Jepun, lebih 1.9 juta orang telah diarah berpindah ke tempat lebih selamat.
Kira-kira 10,500 daripada mereka berada di Hokkaido.
Rakaman media tempatan menunjukkan orang ramai berkumpul di atas bumbung.
Ada juga yang berkumpul di balai cerap yang menghadap ke pantai di Chiba di selatan Tokyo.
Pihak berkuasa terus menggesa penduduk di pantai timur Jepun supaya berpindah ke tempat lebih tinggi.
Amaran pemindahan kini menjangkau ratusan kilometer di sepanjang pantai – dari Hokkaido di utara ke wilayah Wakayama di selatan.
Agensi Meteorologi berkata, ombak tsunami boleh mencapai ketinggian sehingga tiga meter.
Semboyan pemindahan tsunami telah diaktifkan di pulau Tonga di Pasifik Selatan dan amaran berkuat kuasa di seluruh pulau itu, lapor akhbar dalam talian, Matangi Tonga. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg