YANGON: Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar kini melebihi 3,000 orang, dengan ratusan lagi masih hilang.
Dalam keadaan negara itu bergolak akibat perang saudara, ramalan cuaca yang menjangka hujan luar musim menambah kesukaran kepada pasukan penyelamat dan bantuan kemanusiaan, yang berusaha menyalurkan bantuan kepada mangsa.
Gempa bumi sekuat 7.7 pada skala Richter pada 28 Mac itu adalah antara yang terkuat pernah direkodkan dalam sejarah moden Myanmar.
Ia menggegarkan negara dengan 28 juta penduduk, meruntuhkan bangunan, memusnahkan kampung dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal serta kekurangan bekalan makanan dan air bersih.
Menurut kedutaan Myanmar di Jepun melalui hantaran di Facebook, jumlah kematian meningkat kepada 3,003 orang pada 2 April, manakala 4,515 cedera dan 351 masih hilang.
Pasukan penyelamat dari dalam dan luar negara kini berlumba dengan masa untuk mencari mangsa yang masih terperangkap.
Usaha tersebut bakal berdepan cabaran lebih besar selepas Jabatan Kaji Cuaca Myanmar memberi amaran hujan luar musim dijangka melanda antara 7 dengan 11 April, khususnya di kawasan paling terjejas seperti Mandalay, Sagaing dan ibu negara Naypyidaw.
“Ramalan cuaca menunjukkan hujan akan turun, tetapi masih ramai tertimbus di bawah runtuhan,” kata seorang petugas bantuan kepada agensi berita, Reuters.
“Di Mandalay khususnya, jika hujan turun, mereka yang masih hidup di bawah runtuhan berisiko mati lemas.”
Setakat ini, 53 penghantaran bantuan melalui udara telah tiba di Myanmar, dan lebih 1,900 anggota penyelamat dari 15 negara, termasuk negara jiran Asia Tenggara, China, India dan Russia, dihantar untuk membantu operasi kecemasan.
Di sebalik krisis kemanusiaan yang semakin buruk, ketua junta Myanmar, Encik Min Aung Hlaing, dilaporkan akan meninggalkan negara itu pada 3 April bagi menghadiri sidang puncak serantau di Bangkok.
Ia satu perjalanan luar negara yang jarang berlaku bagi pemimpin yang disisihkan oleh masyarakat antarabangsa dan kini disiasat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Ramalan hujan luar musim menambah lagi beban pasukan bantuan yang telah bergelut dengan kekangan akibat konflik bersenjata.
Sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang menggulingkan pemerintahan awam pimpinan, Cik Aung San Suu Kyi, ekonomi Myanmar dan perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan telah lumpuh hampir sepenuhnya.
Televisyen rasmi Myanmar, MRTV, mengumumkan pada 2 April, gencatan senjata sepihak selama 20 hari bagi menyokong operasi bantuan pascagempa.
Namun, pihak berkuasa turut memberi amaran akan “bertindak balas” jika pasukan pemberontak melancarkan serangan.
Langkah itu dibuat selepas satu pakatan pemberontak utama turut mengisytiharkan gencatan senjata pada 2 April bagi membuka ruang kepada bantuan kemanusiaan.
Di Bangkok, Thailand – gempa yang sama meranapkan sebuah bangunan pencakar langit yang masih dalam pembinaan.
Hampir seminggu kemudian, pasukan penyelamat masih menggali runtuhan konkrit seberat 100 tan bagi mencari mangsa terselamat.
Seramai 15 orang disahkan maut di tapak tersebut, dan 72 masih hilang.
Setakat ini, jumlah korban di seluruh Thailand mencecah 22 orang.
Ketika dunia memerhati dengan cemas, krisis di Myanmar menjadi satu ujian besar bukan hanya kepada keupayaan logistik bantuan bencana, bahkan juga kepada kesungguhan masyarakat antarabangsa membantu rakyat biasa yang menjadi mangsa bencana dan konflik bersenjata.
“Sekarang bukan masa untuk politik atau kepentingan kuasa besar,” kata seorang sukarelawan dari Sagaing.
“Yang kami perlukan hanya satu perkara – bantuan segera sebelum hujan menenggelamkan lebih banyak nyawa yang masih boleh diselamatkan.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg