YATSUSHIRO (Jepun): Pasukan penyelamat Jepun terus bertungkus lumus mencari mangsa yang masih terperangkap selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 menggegarkan wilayah Kumamoto di barat daya negara itu pada 28 Julai, mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang serta menyebabkan kerosakan besar terhadap bangunan, jalan raya dan kemudahan awam.

Operasi menyelamat kini tertumpu kepada pusat beli-belah Aeon di Bandar Kumamoto, selain sebuah kilang kertas dan beberapa kawasan kediaman yang mengalami keruntuhan bangunan akibat gegaran kuat itu.

Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, berkata kerajaan akan menggerakkan segala sumber yang ada bagi menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap.

“Kerosakan besar telah disahkan, termasuk kehilangan nyawa, bangunan runtuh, kebakaran dan kerosakan jalan raya.

“Masih ada mangsa yang menunggu untuk diselamatkan dan ini adalah perlumbaan dengan masa. Kami akan menggerakkan semua aset di lapangan bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa,” katanya.

Setakat pagi 29 Julai, lebih 9,000 penduduk mendapatkan perlindungan di 506 pusat pemindahan sementara yang dibuka di tiga wilayah di Pulau Kyushu.

Jurucakap kerajaan, Encik Minoru Kihara, berkata tujuh lagi mangsa mengalami kecederaan parah, manakala puluhan yang lain masih menerima rawatan di hospital.

Di pusat beli-belah Aeon, lapan mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan selepas sebahagian bangunan itu runtuh akibat letupan yang dipercayai berlaku kira-kira sejam selepas gempa bumi.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia.

Pengendali pusat beli-belah itu memaklumkan empat pekerja masih belum dapat dikesan selepas semakan dilakukan terhadap kira-kira 2,700 kakitangannya.

Kesemua pelanggan dan kebanyakan pekerja telah dipindahkan sebaik sahaja gempa berlaku sebelum letupan menggegarkan bangunan berkenaan.

Pihak berkuasa kini menyiasat kemungkinan kebocoran gas menjadi punca letupan itu.

Menurut Kihara, pasukan penyelamat mengesan bau gas ketika memasuki bangunan, namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Rakaman dari lokasi menunjukkan anggota penyelamat meredah timbunan besi yang berpintal, kabel elektrik yang berjuntai dan serpihan konkrit bagi mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap.

Sekitar 170 anggota Pasukan Pertahanan Diri Jepun bersama pasukan bomba dan polis memberi tumpuan kepada bahagian bangunan yang dipercayai masih mempunyai mangsa berdasarkan panggilan kecemasan yang diterima.

Secara keseluruhan, lebih 4,500 anggota tentera telah dikerahkan ke kawasan bencana bagi membantu operasi mencari dan menyelamat serta pemulihan.

Dalam satu lagi insiden, tujuh pekerja dilaporkan hilang selepas sebuah cerobong runtuh di sebuah kilang Nippon Paper Industries.

Empat lagi pekerja cedera parah dalam kejadian itu.

Pihak polis menerima sekurang-kurangnya 386 panggilan kecemasan selepas gempa melanda, kebanyakannya melaporkan bangunan runtuh dan individu yang terperangkap.

Pusat gempa terletak kira-kira 20 kilometer di selatan Bandar Kumamoto, bandar terbesar di wilayah Kyushu tengah yang mempunyai hampir 700,000 penduduk.

Bandar Yatsushiro antara kawasan paling teruk terjejas apabila banyak rumah mengalami kerosakan bumbung, manakala beberapa bangunan runtuh sepenuhnya.

Jalan raya menuju ke bandar pesisir itu turut retak dan mendap sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan.

Sebahagian jambatan turut runtuh ke Sungai Kumagawa, manakala sebuah pintu gerbang tradisional torii tumbang akibat gegaran.

Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Shinkansen masih digantung sehingga kerja pemeriksaan keselamatan selesai.

Rakaman video turut menunjukkan sebahagian dinding Istana Kumamoto yang dibina pada abad ke-17 runtuh, selain beberapa kuil dan rumah teh bersejarah mengalami kerosakan.

Lapangan Terbang Kumamoto yang ditutup beberapa jam selepas gempa bagaimanapun dibuka semula pada malam 28 Julai.

Ramai penduduk menyifatkan gempa kali ini sebagai yang paling kuat pernah mereka alami.

Encik Kanzo Matsumoto, 73 tahun, pemilik sebuah resort mata air panas di Yatsushiro, berkata beliau tidak pernah merasai gegaran sekuat itu sepanjang hidupnya.

“Itulah gempa bumi paling kuat yang pernah saya alami.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada kawasan ini mampu pulih daripada kemusnahan yang berlaku,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Cik Chiharu Hara, 35 tahun, berkata beliau menyangka bangunan pejabatnya akan runtuh ketika gempa melanda.

“Pejabat bergoyang dengan sangat kuat dari kiri ke kanan. Saya benar-benar ketakutan. Semua orang panik,” katanya.

Agensi Meteorologi Jepun mengingatkan penduduk supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan yang kuat sekurang-kurangnya sepanjang minggu ini.

Penduduk juga dinasihatkan berhati-hati terhadap risiko tanah runtuh berikutan keadaan tanah yang tidak stabil.

Lebih 36,000 kediaman masih terputus bekalan elektrik ketika suhu siang mencecah sekitar 34 darjah Celsius, meningkatkan risiko strok haba.

Sebuah hospital di Bandar Uki yang terletak berhampiran pusat gempa memaklumkan gangguan bekalan elektrik menyebabkan operasinya terjejas teruk.

“Kami kini beroperasi seperti hospital medan,” kata ketua pentadbiran hospital itu kepada NHK.

Sebuah lagi hospital di bandar sama turut menghentikan sementara kemasukan pesakit baharu selepas menerima 86 mangsa gempa, termasuk tiga yang cedera parah.

Bencana itu turut menjejaskan sektor perindustrian Jepun apabila beberapa syarikat utama seperti Renesas Electronics, Sony, Tokyo Electron, Toyota dan Honda menghentikan sementara operasi kilang masing-masing.

Toyota Motor pula menggantung operasi di tiga kilangnya di luar wilayah Kumamoto sehingga 31 Julai sebagai langkah berjaga-jaga berikutan gangguan kepada pembekal.

Syarikat pengeluar cip terbesar dunia, TSMC, turut memindahkan pekerjanya dari kilang di Kumamoto sebagai langkah keselamatan sebelum operasi disambung semula secara berperingkat pada lewat 28 Julai.

Jepun terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang paling aktif dari segi aktiviti seismik di dunia dan merekodkan kira-kira 20 peratus daripada gempa bumi bermagnitud 6.0 atau lebih setiap tahun.

Gempa bumi besar yang melanda Kumamoto pada 2016 mengorbankan 275 orang, mencederakan lebih 2,700 yang lain dan memusnahkan ribuan bangunan termasuk sebahagian Istana Kumamoto, antara mercu tanda bersejarah utama negara itu. – Agensi berita.