TOKYO: Gempa bumi kuat dan tsunami melanda bahagian tengah Jepun dan pantai baratnya pada 1 Januari 2024.
Ombak tsunami setinggi 1.2 meter membadai daerah Wajima di wilayah Ishikawa sekitar 4.20 petang waktu tempatan (3.20 petang waktu Singapura) selepas gempa bumi yang kuat menggegarkan daerah itu.
Agensi media NHK melaporkan bahawa gempa bumi itu berukuran 7.6 pada skala Richter.
Berikutan gempa tersebut, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tsunami peringkat tinggi bagi Ishikawa.
Amaran tsunami turut dikeluarkan bagi beberapa wilayah lain termasuk Niigata, Toyama, Yamagata, Fukui dan Hyogo, yang juga merupakan kawasan tepi pantai Jepun.
Ini merupakan kali pertama amaran tsunami peringkat tinggi dikeluarkan di negara Matahari Terbit itu sejak gempa bumi kuat dan tsunami yang melanda bahagian timur laut Jepun pada Mac 2011.
Amaran tsunami peringkat tinggi bermakna terdapat kemungkinan ombak tsunami boleh mencapai lebih 3 meter.
Russia turut mengeluarkan amaran tsunami di bahagian timur negara itu termasuk di Vladivostok dan Nakhodka.
Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, berkata pihak berkuasa sedang menilai tahap kerosakan dan orang ramai perlu bersedia menghadapi lebih banyak gegaran.
“Orang ramai perlu terus berjaga-jaga bagi kemungkinan berlakunya gempa lagi dan saya menggesa orang ramai di kawasan di mana tsunami dijangkakan agar berpindah secepat mungkin,” kata Encik Kishida.
Rakaman yang disiarkan NHK menunjukkan sebuah bangunan runtuh di bandar tepi pantai Suzu dan penduduk di bandar Kanazawa berlindung di bawah meja sedang gempa menggegarkan rumah mereka.
Gempa bumi itu turut menggegarkan bangunan di ibu kota Tokyo.
Lebih 36,000 isi rumah mengalami bekalan elektrik yang terputus di wilayah Ishikawa dan Toyama, menurut pembekal utiliti Hokuriku Electric Power.
Perkhidmatan kereta api laju ke Ishikawa telah digantung manakala pengendali telekomunikasi Softbank dan KDDI melaporkan gangguan perkhidmatan telefon dan internet di Ishikawa dan Niigata, menurut laman web mereka.
Syarikat penerbangan Jepun ANA turut mengarahkan empat pesawat yang dalam perjalanan ke lapangan terbang di Toyama dan Ishikawa agar berpatah balik selepas gempa bumi itu melanda, manakala Japan Airlines membatalkan kebanyakan perkhidmatan penerbangan ke daerah Niigata dan Ishikawa selepas gempa itu melanda, menurut TV Asahi.
Penguasa Kawal Selia Nuklear Jepun berkata tiada keluarbiasaan dikesan di loji tenaga nuklear di sepanjang Laut Jepun/Laut Timur, termasuk lima reaktor aktif di loji Ohi dan Takahama Kansai Electric Power di Wilayah Fukui.
Loji Shika Hokuriku di Ishikawa, yang terletak paling hampir dengan pusat gempa, telah menghentikan dua reaktornya sebelum gempa itu melanda bagi pemeriksaan biasa dan tidak melihat sebarang kesan daripada gempa itu, kata agensi tersebut.
JMA berkata daerah Noto mengalami gempa berturut-turut yang pantas, bermula dengan gegaran berukuran 5.7 pada skala Richter, pada 4.06 petang waktu tempatan.
Jepun antara negara yang paling sering dilanda gempa bumi.
Gempa bumi dan tsunami di bahagian timur laut Jepun pada 11 Mac 2011 meragut hampir 20,000 nyawa serta memusnahkan banyak bandar dan menyebabkan krisis nuklear di Fukushima. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg