YANGON: Ketika Myanmar berhempas-pulas menangani gempa bumi yang dahsyat, Amerika Syarikat menghadapi kritikan kerana meminggirkan negara itu pada saat-saat ia memerlukan bantuan dan menyerahkan kepimpinan sejagat dalam tindak balas bencana kepada pesaingnya.
Gempa bumi sekuat 7.7 mengikut skala Richter yang melanda pada 28 Mac, dan mengorbankan beribu-ribu orang, adalah bencana alam besar pertama sejak pentadbiran Presiden Donald Trump membatalkan program menyelamatkan nyawa bernilai berbilion dolar.
Ia kendalian agensi bantuan kemanusiaan utama Amerika, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (Usaid).
Usaid pernah mentadbir sebahagian besar bantuan asing Amerika – 61 peratus daripada jumlah bajet AS$71 bilion ($94.2 bilion) pada 2023.
Tetapi sejak kembali memegang jawatan pada Januari 2025, pentadbiran Encik Trump menghentikan ribuan pekerja dan memotong 83 peratus program Usaid – termasuk kakitangan dan program yang bekerja untuk membantu Myanmar.
Mereka turut mengumumkan pada 9 April bahawa semua kakitangan asing akan diberhentikan.
Pemotongan itu dirasai susulan tindak balas Amerika yang sedikit, terhadap gempa yang melanda Myanmar.
Menurut pakar ia mendedahkan jurang dalam penyaluran bantuan antarabangsa bagi malapetaka besar.
“Ia benar-benar menunjukkan kepada rata-rata warga Myanmar bahawa Amerika telah meminggirkan mereka.
“Amerika bukan sahaja menghantar sedikit bantuan, ia hanya menghantar tiga pekerja, yang kemudian dipecat ketika mereka berada di Myanmar untuk memberikan bantuan,” kata mantan penasihat dasar kanan Usaid, Encik Francisco Bencosme, kepada stesen penyiar CNN.
Ketiga-tiga kakitangan Usaid itu telah diberhentikan minggu lalu selepas beberapa hari tiba di Myanmar – menerima notis pemberitahuan bahawa peranan mereka akan dihapuskan dalam beberapa bulan akan datang, kata mantan pegawai kanan Usaid, Cik Marcia Wong.
Dalam pada itu, Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) Indonesia telah menyediakan 10,000 kain sarung untuk menyokong mangsa gempa bumi Myanmar yang beragama Islam, lapor agensi berita, Antara.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 10 April, Ketua Pengedaran dan Penggunaan Baznas, Cik Saidah Sakwan, menyatakan pengagihan kain sarung adalah sebahagian daripada tindak balas pantas agensi itu bagi memenuhi keperluan asas mangsa yang terselamat.
“Semasa keadaan kecemasan ini, kain sarung boleh dipakai sebagai pakaian harian dan juga berfungsi sebagai perlindungan daripada cuaca melampau,” katanya.
Dalam keadaan yang mencabar ini, beliau menekankan keperluan mendesak bagi pakaian yang sesuai. Ia khususnya bagi umat Islam, yang secara tradisi memakai sarung semasa solat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg