Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanpa kehadiran AS, China ambil peranan utama bantu mangsa gempa Myanmar

Apr 3, 2025 | 12:56 PM
Pasukan penyelamat dari Myanmar dan China giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di tapak kediaman Sky Villa yang runtuh di Mandalay, susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
Pasukan penyelamat dari Myanmar dan China giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di tapak kediaman Sky Villa yang runtuh di Mandalay, susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu. - Foto EPA-EFE

MANDALAY: Lima hari selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda Myanmar dan mengorbankan lebih 2,800 nyawa, pelbagai pasukan penyelamat antarabangsa mula membanjiri negara itu. Antara yang paling ketara dan kerap dilihat ialah pasukan bantuan dari China yang dikenali melalui pakaian seragam biru dan oren mereka yang mudah dikenali di media sosial, sering disertakan dengan ucapan penghargaan daripada rakyat Myanmar.

Kehadiran China di barisan hadapan operasi menyelamat mencerminkan pergeseran sentimen dalam kalangan rakyat Myanmar, yang selama ini lebih banyak mengkritik Beijing kerana hubungannya dengan junta tentera.

China setakat ini telah menjanjikan bantuan bernilai 100 juta yuan ($18.5 juta). Bantuan awal termasuk khemah, selimut, dan kit kecemasan tiba di Yangon pada 31 Mac. India dan Russia turut menghantar pasukan penyelamat dan menubuhkan hospital bergerak di kawasan paling terjejas seperti Mandalay dan Sagaing.

Sebaliknya, Amerika Syarikat yang pernah dianggap sebagai penyumbang bantuan kemanusiaan terbesar dunia — hanya menawarkan bantuan sebanyak AS$2 juta ($2.69 juta), dengan sebuah pasukan penilai kecil yang masih belum tiba kerana kelewatan visa dari rejim tentera Myanmar.

Seorang bekas pegawai kanan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (Usaid), Cik Marcia Wong, menyatakan bahawa sekiranya agensi itu masih beroperasi sepenuhnya, pasukan mencari dan menyelamat bandar dapat dikerahkan dalam masa 48 jam.

“Kita telah mencipta kekosongan yang membolehkan kuasa lain seperti China mengisi ruang tersebut,” jelasnya.

Pengurangan drastik terhadap kakitangan dan program oleh pentadbiran Presiden Donald Trump telah melemahkan keupayaan operasi luar Amerika. Beberapa program Usaid dan Jabatan Negara Amerika yang menyokong pembangunan, bantuan kecemasan dan demokrasi di Myanmar turut dibatalkan.

Encik Trump juga dikatakan telah meluluskan pemotongan besar terhadap agensi pemerintah, termasuk pemberhentian kakitangan Usaid yang menguruskan tindak balas kecemasan global. Dalam masa yang sama, China mengambil peluang untuk mempamerkan keupayaannya melalui siaran liputan meluas di media milik pemerintah termasuk CGTN dan Xinhua.

Menurut penganalisis politik Myanmar, Encik Sai Tun Aung Lwin, kehadiran pasukan penyelamat China melalui darat dari wilayah Yunnan — merentasi kawasan dikuasai pemberontak dan junta — menunjukkan betapa kuatnya pengaruh diplomatik Beijing di kedua-dua pihak.

“Ia seperti satu koridor kemanusiaan yang merentas pihak bertentangan,” katanya. Tambahnya lagi, “sentimen anti-China di media sosial merosot dengan ketara selepas bantuan tiba tanpa lengah.”

Walaupun begitu, terdapat juga ketegangan apabila pihak junta melepaskan tembakan amaran terhadap konvoi Palang Merah China yang bergerak tanpa kebenaran ke Mandalay melalui laluan konflik. Beijing kemudiannya mengesahkan tiada yang tercedera dalam insiden tersebut.

India pula menyatakan bahawa bantuan sebanyak 625 tan telah dihantar melalui udara dan laut, dengan lebih 100 pesakit dirawat dan 16 mayat berjaya dikeluarkan.

Dalam kenyataan rasmi, Pemerintah Perpaduan Nasional Myanmar (NUG) yang mewakili pentadbiran bekas pemimpin Cik Aung San Suu Kyi, mengucapkan “penghargaan mendalam” kepada pasukan penyelamat antarabangsa. Mereka menekankan keperluan mendesak bantuan kerana ramai mangsa kehilangan tempat tinggal dan akses kepada rawatan asas masih terhad.

Walaupun hubungan Amerika dengan rakyat Myanmar kekal kukuh melalui bantuan kemanusiaan dan sokongan kepada demokrasi, tindakan terkini yang mengehadkan operasi Usaid telah melemahkan kedudukan Washington di mata rakyat Myanmar.

Menurut laporan yang dibentangkan kepada Kongres Amerika, sekurang-kurangnya 28 program bantuan dan pembangunan telah dihentikan sepenuhnya.

Bekas duta Amerika ke Myanmar, Scot Marciel, turut menyuarakan kebimbangannya. “Kemampuan kita untuk berperanan di pentas antarabangsa, termasuk memberi tekanan kepada China dalam isu-isu penting, bergantung kepada pengaruh kita. Dan kita telah hilang sebahagian besar daripadanya,” katanya.

Gempa bumi ini bukan sahaja menguji keupayaan negara untuk bertindak dalam bencana, tetapi juga membuka mata kepada perebutan pengaruh di rantau Asia Tenggara. Dalam kekosongan yang ditinggalkan oleh Amerika Syarikat, China mengambil alih ruang bukan sekadar menghantar bantuan, tetapi membentuk semula naratif pengaruh globalnya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg