YANGON: Gempa bumi dengan sekuat 7.7 mengikut skala Richter yang menggegarkan tengah Myanmar pada 28 Mac telah mengorbankan lebih 700 umat Islam dan meranapkan sekurang-kurangnya 60 masjid, banyak daripadanya berusia lebih seabad.
Demikian menurut Revolusi Kebangkitan Rangkaian Muslim Myanmar.
Tragedi itu berlaku ketika ribuan anggota jemaah sedang menunaikan solat Jumaat dalam hari-hari terakhir bulan suci Ramadan.
Banyak masjid yang runtuh di kawasan Mandalay, Naypyitaw, Sagaing, Pyinmana, Pyawbwe, Thazi, Meiktila, dan Kyaukse, menjadikan jumlah sebenar korban dan kemusnahan masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
“Kami percaya angka korban sangat tinggi kerana gempa berlaku semasa solat Jumaat dan dalam bulan Ramadan.
“Ramai masih tertimbus dan jumlah sebenar belum dapat dikenal pasti,” kata seorang anggota jemaah yang terselamat di Mandalay, Encik Ko Shaki.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya 18 masjid di Mandalay sahaja mengalami kerosakan besar, majoritinya dibina sejak zaman Raja Mindon pada kurun ke-19.
Namun, masjid bersejarah itu tidak pernah diberi kebenaran untuk diselenggara atau dipulihkan sejak beberapa dekad.
“Kami tidak dibenarkan membaiki atau menyelenggara masjid sejak bertahun-tahun.
“Pemerintah demi pemerintah enggan menyentuh isu ini kerana takut dilabel pro-Islam.
“Akhirnya, rumah-rumah ibadat ini roboh bukan sahaja kerana gempa, malah kerana keengganan sistem untuk melindunginya,” tegas Encik Ko Shaki.
Banyak permohonan pembinaan dan baik pulih masjid ditolak atas alasan teknikal.
Menurut laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 2017, masjid bersejarah di Myanmar mengalami kemerosotan ketara kerana dihalang daripada menjalankan penyelenggaraan.
Dalam laporan rasmi media junta, disebut lebih 1,500 rumah, 670 biara Buddha, 290 pagoda dan 60 sekolah rosak.
Namun tiada satu pun masjid disebut dalam laporan itu.
“Sudah tiga hari kami tunggu bantuan di Mandalay. Mayat-mayat masih terperangkap di bawah runtuhan. Bau busuk mula menyelubungi kawasan sekitar,” kata seorang penduduk Islam di kawasan Shwe Bhone Shein, masjid utama yang runtuh sepenuhnya.
Di kampung Sule Kone, seorang penduduk yang enggan dinamakan berkongsi bagaimana beliau cuba menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap di bawah bumbung masjid yang runtuh, namun terpaksa berundur kerana gegaran susulan.
“Saya kembali semula dan mengangkat empat orang dengan tangan saya sendiri. Malangnya, tiga sudah meninggal, seorang lagi meninggal dalam pangkuan saya,” katanya dengan nada sebak.
Encik Htet Min Oo, 25 tahun, pula menceritakan bagaimana rumahnya dan masjid bersebelahan runtuh ketika beliau sedang mengambil wuduk.
Dua ibu saudaranya tertimbus bersama neneknya, dan hanya seorang berjaya diselamatkan.
“Saya gali sendiri dengan tangan. Tiada jentera, tiada bantuan. Saya tidak tahu sama ada yang lain masih hidup atau tidak,” katanya kepada Reuters.
Encik Tun Kyi, ahli jawatankuasa Revolusi Kebangkitan Rangkaian Muslim Myanmar menyeru agar masyarakat antarabangsa menyedari skala sebenar tragedi itu, dan tidak terus membiarkannya tenggelam dalam liputan berita yang berat sebelah.
“Apa yang berlaku ini adalah tragedi berganda. Bukan hanya kerana bencana alam tetapi kerana sistem yang sejak sekian lama menindas dan meminggirkan masyarakat Muslim.
“Apabila struktur keagamaan mereka runtuh, itu bukan semata-mata kerana gegaran bumi bahkan kerana keengganan negara melindunginya,” katanya.
Beliau menambah bahawa banyak masjid yang musnah telah wujud selama lebih 150 tahun tetapi gagal mendapat kebenaran pembaikan kerana prosedur birokrasi yang terlalu ketat.
Sementara itu, usaha menyelamat terus berdepan pelbagai halangan, termasuk jambatan yang runtuh, jalan terputus, sistem komunikasi yang tergendala serta persekitaran tidak stabil akibat perang saudara yang sedang berlarutan.
“Saya hanya mahu jenazah anggota keluarga saya dikeluarkan dan dikebumikan dengan sempurna. Itu sahaja. Kami tidak minta lebih,” kata Cik Julian Kyle, salah seorang mangsa yang membuat rayuan terbuka di media sosial untuk bantuan jentera berat di Mandalay.
“Saya lihat sendiri orang yang saya kenal mati di depan mata. Masjid itu sudah usang, kami tak pernah dibenarkan membaikinya.
“Akhirnya, batu bata itu menjadi kubur mereka,” kata seorang penduduk dari Taungnoo, dengan suara yang hampir tenggelam dalam tangisan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg