Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan maut dalam runtuhan masjid akibat gempa di Myanmar

Gegaran turut dirasa di Thailand, Vietnam serta wilayah sempadan China
Mar 28, 2025 | 7:11 PM
Ramai yang terkorban apabila sebuah masjid runtuh di Mandalay susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada 28 Mac.
Ramai yang terkorban apabila sebuah masjid runtuh di Mandalay susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada 28 Mac. - Foto layar X

MANDALAY: Sekurang-kurangnya 20 orang disahkan terbunuh selepas sebuah masjid runtuh di Mandalay pada 28 Mac, susulan dua gempa bumi kuat yang melanda Myanmar secara berturut-turut.

Kejadian itu turut mengorbankan lima nyawa, termasuk kanak-kanak, apabila sebuah biara yang menempatkan pelarian perang di Taungoo turut roboh dalam kejadian tersebut, lapor media tempatan, Khit Thit.

Gempa pertama sekuat magnitud 7.7 diikuti gegaran susulan magnitud 6.4 berlaku pada petang 28 Mac, menyebabkan suasana panik di serata negara.

Dalam satu catatan Facebook pada 28 Mac, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong berkata Singapura sedang memantau perkembangan di Myanmar dan Thailand secara dekat, menyusuli gempa di Myanmar itu.

“Rasa kasihan saya kepada semua yang terjejas dengan bencana tersebut. Saya juga menggesa warga Singapura dalam rantau ini agar kekal selamat dan mematuhi nasihat setempat. Untuk bantuan, hubungi kedutaan kami atau talian 24 jam Kementerian Ehwal Luar (MFA),” gesa Encik Wong.

Pusat gempa yang berada pada kedalaman 10 kilometer pada mulanya ditentukan pada 22.01 darjah latitud utara dan 95.92 darjah longitud timur.

Gempa itu menyebabkan “kerosakan besar” kepada beberapa bangunan, termasuk tembok kubu Istana Mandalay.

Beberapa struktur di wilayah Mandalay mengalami keruntuhan manakala beberapa jalan raya yang menghubungkan Mandalay dan Yangon turut rosak atau terhalang, sekali gus mengganggu pergerakan pengangkutan.

Ribuan orang lari keluar dari rumah dan bangunan, memenuhi kawasan lapang demi menyelamatkan diri.

Menurut laporan media tempatan, gegaran turut dirasai di negara jiran seperti Thailand dan Vietnam, serta wilayah sempadan China.

Di Mandalay, Universiti Mandalay turut mengalami kerosakan besar, dengan laporan berlakunya kebakaran dan mangsa yang dikhuatiri terperangkap.

Wartawan Xinhua di Yangon melaporkan gegaran kuat turut dirasai di ibu negara Naypyidaw dan bandar terbesar, Yangon. Beberapa sekolah dan bangunan pejabat di Naypyidaw dilaporkan runtuh.

Jabatan Bomba Myanmar memaklumkan operasi menyelamat telah dijalankan sebagai tindak balas terhadap gempa bumi.

Buat pertama kalinya sejak rampasan kuasa pada 1 Februari 2021, pemerintah junta Myanmar tampil memohon bantuan kemanusiaan antarabangsa secara terbuka dan mengisytiharkan darurat di enam wilayah utama – termasuk Mandalay, Sagaing, Magway, Negeri Shan Timur Laut, Naypyidaw dan Bago.

“Kami memohon masyarakat antarabangsa menghantar bantuan kemanusiaan secepat mungkin,” kata jurucakap junta, Encik Zaw Min Tun, kepada AFP semasa berada di sebuah hospital di Naypyidaw.

Setakat ini, angka rasmi korban belum dikeluarkan sepenuhnya, namun permintaan luar biasa oleh pemerintah tentera yang selama ini enggan bekerjasama dengan dunia luar menandakan bencana ini mungkin berskala besar.

Usaha mencari dan menyelamat diteruskan di Aung Ban, Taungoo dan Mandalay dengan pihak berkuasa masih bergelut menghadapi kekurangan bekalan darah dan logistik.

Encik Zaw turut menggesa rakyat Myanmar untuk tampil menderma darah, khususnya bagi mangsa di tiga kawasan yang paling teruk terjejas.

Ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing, dilihat tiba di hospital utama di Naypyidaw untuk meninjau keadaan mangsa yang sedang dirawat di luar bangunan akibat kerosakan struktur dalaman.

Beberapa pesakit dilaporkan menerima rawatan di lorong-lorong hospital dengan tiub intravena tergantung dari pengusung.

Di Thailand, kerajaan mengesahkan tiga orang maut akibat runtuhan bangunan di Bangkok, manakala 81 lagi dilaporkan hilang. Beberapa perkhidmatan metro dan kereta api ringan dihentikan sementara waktu selepas struktur bangunan dilaporkan bergoyang selama beberapa minit.

Seorang saksi di Bangkok berkata: “Bangunan pejabat saya bergegar kuat, dan semua orang panik. Kami terus berlari ke luar, tidak sempat bawa barang.”

Di Vientiane, bangunan melebihi tiga tingkat mengalami gegaran yang ketara, dengan penduduk di bangunan tinggi merasakan kediaman mereka bergoyang dengan kuat.

Di Hanoi dan Ho Chi Minh City, penduduk yang menetap di bangunan tinggi turut merasakan gegaran semasa berada di dalam rumah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg