MBAY (Indonesia): Kementerian Hal Ehwal Sosial Indonesia menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan makanan yang mencukupi bagi kira-kira 31,000 penduduk Nusa Tenggara Timur yang kini berlindung di pusat pemindahan pemerintah dan lokasi lain susulan gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada 15 Ogos.

“Terdapat lebih 31,000 orang terputus tempat tinggal.

“Setakat hari ini, Kementerian Hal Ehwal Sosial telah menyalurkan dana bantuan melebihi 14 bilion rupiah ($1 juta),” kata Menteri Hal Ehwal Sosial, Encik Saifullah Yusuf di Jakarta pada 18 Ogos.

Beliau menjelaskan bahawa kementerian tersebut menggunakan peruntukan itu untuk memperoleh dan mengedarkan barangan keperluan mendesak buat masyarakat yang terjejas akibat gempa bumi, termasuk 48 tan metrik beras dan 7,500 pakej barangan asas.

Kementerian itu, tambah beliau, turut mendirikan tujuh dapur awam kecemasan yang dibekalkan dengan logistik mencukupi bagi menampung keperluan sepanjang tempoh tindak balas kecemasan.

Encik Yusuf menjelaskan bahawa kemudahan memasak berkenaan dikendalikan oleh anggota unit Taruna Siaga Bencana (Tagana) kementerian itu, bagi memenuhi keperluan harian masyarakat yang terjejas di Manggarai, Sikka, Nagekeo, Manggarai Barat, Manggarai Timur, Ende dan Ngada.

Menteri itu menambah bahawa dapur awam berkenaan mempunyai kapasiti untuk menyediakan antara 2,000 hingga 4,500 hidangan sehari.

Beliau berkata penubuhan dapur awam tambahan kekal menjadi pilihan untuk terus memperkukuh operasi bantuan.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa peruntukan 14 bilion rupiah itu turut digunakan untuk membina stok penimbal bekalan bantuan serta menyediakan makanan kanak-kanak, khemah keluarga, khemah serba guna, katil, selimut dan peralatan pencahayaan kecemasan bagi penduduk yang dipindahkan.

Encik Yusuf menarik perhatian bahawa kementerian menyokong usaha tindak balas bencana menerusi kerjasama dengan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), pemerintah daerah, pihak tentera dan polis.

“Kami berkoordinasi dan bekerjasama bagi memastikan semua bantuan sampai kepada seluruh penduduk yang terjejas dan keluarga mereka. Sokongan kami termasuk membekalkan logistik yang mencukupi untuk dapur awam kecemasan,” katanya.

Setakat ini, angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda timur Indonesia pada 15 Ogos lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 68 orang pada 17 Ogos.

Kejadian itu sekali gus menyelubungi sambutan Hari Kemerdekaan negara itu pada hari tersebut.

Lebih 100 orang lagi dilaporkan cedera sementara tiada lagi mangsa dipercayai masih hilang.

Pusat gempa dikesan di luar pantai Pulau Flores pada kedalaman detek 10 kilometer pada hari kejadian, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Ia disusuli dengan hampir 1,600 gempa susulan yang lebih kecil, termasuk gegaran berukuran 5.6 magnitud pada pagi 17 Ogos.

Amaran tsunami bagi sebahagian wilayah Nusa Tenggara Timur, Nusa Tenggara Barat, Sulawesi Selatan dan Sulawesi Tenggara – yang menggesa penduduk berundur dari kawasan pantai dan tebing sungai – kemudiannya ditarik balik.

Namun, sekitar 500 buah rumah mengalami kerosakan manakala laluan jalan raya tersekat akibat tanah runtuh, menyebabkan sekitar 12,800 penduduk di Flores tidak dapat pulang ke rumah masing-masing.

Setakat ini, angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda timur Indonesia pada 15 Ogos lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 68 orang pada 17 Ogos dengan lebih 100 orang lagi dilaporkan cedera.
Setakat ini, angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda timur Indonesia pada 15 Ogos lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 68 orang pada 17 Ogos dengan lebih 100 orang lagi dilaporkan cedera. - Foto EPA

“Rumah kami tidak lagi selamat untuk didiami kerana banyak yang telah runtuh dan penuh dengan retakan, jadi kami tidak boleh masuk ke dalam lagi,” kata seorang penduduk kepada agensi berita AFP di luar khemah buatan sendiri yang menempatkan kira-kira 30 orang.

“Kami hanya pulang ke rumah untuk mengambil air, pakaian, bantal, dan kemudian kami menghabiskan malam di sini.”

Penduduk lain turut mengadu kepada agensi berita Reuters tentang keadaan buruk di dalam khemah sedemikian, di mana beberapa kanak-kanak dijangkiti cirit-birit dan sekurang-kurangnya seorang warga emas diserang angin ahmar.

“Saya hanya boleh makan nasi tanpa lauk,” kata seorang ibu muda yang bayinya dibalut kain selimut coklat di bahagian belakang sebuah trak pikap.

“Kami memerlukan bantuan secepat mungkin. Kami hanyalah petani garam.”

Sebilangan mangsa gempa bumi mengkritik tindakan pihak berkuasa dalam menangani bencana tersebut.
Sebilangan mangsa gempa bumi mengkritik tindakan pihak berkuasa dalam menangani bencana tersebut. - Foto AFP

Pada malam 16 Ogos, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memaklumkan bahawa Tentera Udara Indonesia sedang bersiap sedia untuk membawa 13 tan bantuan kecemasan ke wilayah tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan negara itu, Encik Benjamin Paulus Octavianus, berkata pihak tentera juga merancang membina sebuah hospital medan kecemasan, namun pakar bedah saraf dan pakar bedah ortopedik amat diperlukan bagi merawat kecederaan kepala serta tulang patah.

Gempa bumi itu merupakan bencana paling teruk di Indonesia sejak gempa bumi pada 2022 yang mengorbankan ratusan nyawa di Jawa Barat.

Kejadian terkini itu sekali gus menyelubungi sambutan Hari Kemerdekaan negara itu yang memperingati kemerdekaan daripada penjajahan Jepun pada 1945.

Presiden Prabowo Subianto memimpin acara sambutan tersebut di ibu negara, Jakarta, yang terletak kira-kira 1,500 kilometer di barat kawasan bencana.

Namun, perayaan itu adalah perkara terakhir yang difikirkan oleh penduduk yang terjejas akibat gempa bumi.

Seorang bapa memberitahu Reuters: “Saya tidak memikirkan tentang perkara itu lagi. Saya cuma memikirkan tentang keselamatan isteri dan anak kembar saya yang berusia 4 tahun.” – Agensi berita.

Mangsa gempa bumi yang selamat menerima rawatan di pusat perubatan sementara susulan kejadian gempa bumi di Dampek, wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
Mangsa gempa bumi yang selamat menerima rawatan di pusat perubatan sementara susulan kejadian gempa bumi di Dampek, wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia. - Foto REUTERS