RABBAT: Maghribi dikejutkan oleh tragedi gempa bumi yang paling dahsyat dalam kurun ke-20, mengakibatkan kematian ribuan jiwa.
“Sejak 1900, tidak ada gempa bumi yang melebihi 6 magnitud dalam radius 500 kilometer dari pusat gempa. Rekod gempa yang lalu hanya mencapai kira-kira 5 magnitud,” menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Menurut Institut Geofizik Kebangsaan negara tersebut, gempa ini merupakan yang terkuat pernah melanda Maghribi dalam seabad terakhir.
Hanya gempa bumi di Meknes pada 1755 dengan magnitud antara 6.5 dengan 7.0 yang melebihi kekuatannya.
Gempa bumi terdahsyat sebelum ini berlaku pada 2004, meragut lebih daripada 600 nyawa.
Saluran televisyen Sepanyol, RTVE, melaporkan bahawa gegaran gempa itu juga dirasai di kawasan Huelva dan Jaen di Andalusia, selatan Sepanyol.
Menurut USGS, pusat gempa bumi yang cetek ini berada berdekatan dengan tempat peranginan ski Oukaimeden di Pergunungan Atlas, sekitar 75 kilometer dari Marrakesh, bandar keempat terbesar di negara itu.
Kementerian Dalam Negeri Maghribi melaporkan lebih 2,000 kematian, termasuk kanak-kanak dan ribuan cedera.
Agensi Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) melaporkan sekitar 100,000 kanak-kanak terjejas oleh gempa bumi tersebut.
Lebih 300,000 penduduk di Marrakesh dan Pergunungan Tinggi Atlas terjejas akibat gempa bumi yang berukuran 6.8 magnitud, menurut anggaran oleh PBB.
Marrakesh, yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco mengalami kerosakan parah akibat gempa.
Beberapa tapak pelancongan dan bersejarah di Marrakesh dan kawasan lain di Maghribi juga rosak.
Antara kawasan yang terjejas adalah kawasan bandar lama yang dikenali sebagai Madinah, tembok kuno, lorong-lorong sempit, dataran dan pasar Jemaa el-Fna yang terkenal serta Menara Kotoubia. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg