JAKARTA: Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter di Sulawesi Tengah, yang juga mencetuskan tsunami pada Jumaat (28 Sep).
Angkatan laut Indonesia mengerahkan beberapa pesawat logistik Hercules pada Sabtu pagi untuk menghantar teknisyen, bekalan dan pasukan penyelamat bagi memanfaatkan ‘masa keemasan’ untuk menyelamat mangsa.
Seramai 356 orang cedera dan beribu-ribu bangunan rosak, kata Dr Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap ketua agensi pengurusan bencana Indonesia (BNPB), lapor akhbar The Straits Times dalam talian.
Beliau berkata kebanyakan orang terbunuh akibat gempa, dan bukan tsunami.
Angka korban berdasarkan pada mayat yang dibawa ke hospital di Palu, ibu kota wilayah itu, kata Dr Sutopo. Tetapi belum ada maklumat mengenai kematian dan kerosakan di kawasan paling teruk terjejas di daerah Donggala, kerana komunikasi telah terputus.
Beliau berkata jumlah korban mungkin meningkat kerana mayat yang tergelempang di pantai belum dikira, dan lebih banyak mayat dijangka ditemui dalam puing bangunan.
Gempa itu berlaku pada 6.02 petang waktu tempatan, dengan pusatnya terletak 26 kilometer di timur laut Donggala dan pada kedalaman hanya 11 kilometer.
Gegaran tersebut lebih kuat daripada serangkaian gempa yang membunuh beratus-ratus orang di pulau Lombok di Indonesia pada Julai dan Ogos.
Palu, kira-kira 70 kilometer di selatan pusat gempa itu, juga dilanda tsunami setinggi 1.5 meter.
Rakaman video dramatik yang difilemkan dari tingkat atas tanjakan tempat letak kereta di Palu menunjukkan gelombang air meruntuhkan beberapa bangunan dan sebuah masjid besar.
Pada Jumaat, pemerintah berkata lapangan terbang Mutiara SIS Al-Jufrie akan ditutup hingga 7.20 malam tempatan pada Sabtu, kerana gempa itu telah merosakkan kemudahannya.
“Membaiki menara kawalan trafik udara di lapangan terbang Palu sangat kritikal agar kami dapat membawa masuk logistik, peralatan dengan lebih cepat untuk memanfaatkan masa keemasan,” kata jurubicara Angkatan Laut Novyan Samyoga kepada radio Elshinta.
Masa keemasan ialah tempoh mangsa gempa dan tsunami mempunyai peluang paling baik untuk selamat jika bantuan atau rawatan segera diberikan.