BRUSSELS: Gelombang tunjuk perasaan yang diterajui golongan muda Generasi Z (Gen Z) semakin meluas di Eropah, apabila ribuan pelajar dan belia turun ke jalan raya bagi membantah kenaikan kos sara hidup, kemerosotan mutu pendidikan, kekurangan peluang pekerjaan dan dakwaan rasuah dalam kerajaan.

Protes yang melanda Perancis, Italy, Belgium, Albania dan Serbia itu mencerminkan kemarahan generasi muda yang merasakan suara mereka tidak dipedulikan, selain semakin hilang keyakinan terhadap pemimpin politik.

Di Serbia, gerakan bantahan pimpinan pelajar berjaya membawa perubahan besar apabila Presiden Aleksandar Vucic, yang sekian lama menguasai politik negara itu, tewas dalam pilihan raya selepas hampir dua tahun berdepan demonstrasi.

Kejayaan tersebut memberikan semangat baru kepada gerakan belia di seluruh Eropah, dengan tunjuk perasaan seterusnya dijadualkan berlangsung di Jerman hujung minggu ini.

Di Brussels, seorang pelajar berusia 19 tahun, Maya Gourdel, sibuk menulis slogan membantah pemimpin negaranya.

“Jika kami terbakar, kamu akan terbakar bersama kami!” tulisnya, memetik ungkapan daripada filem The Hunger Games (2012), yang kini menjadi simbol perjuangan gerakan belia di beberapa negara.

Slogan itu menggambarkan kemarahan generasi muda yang semakin kecewa dengan keadaan ekonomi, pendidikan dan masa depan mereka.

“Kami sudah cuba menyuarakan bantahan secara aman, tetapi tiada siapa mendengar suara kami.

Menurut Cik Gourdel, pelajar di Belgium sudah lama cuba menyuarakan bantahan secara aman bagi menuntut kemudahan pendidikan lebih baik, namun tidak mendapat perhatian.

“Hanya apabila orang ramai mula membakar sampah dan melakukan tindakan seumpamanya, barulah media dan kamera memberikan perhatian kepada kami,” katanya.

Di Italy, seorang pelajar berusia 21 tahun, Cik Chiara, menyifatkan demonstrasi itu sebagai luahan kemarahan yang akhirnya menyatukan golongan muda untuk bertindak.

Beliau berkata, generasinya berdepan keadaan sekolah yang kekurangan guru, bangunan pendidikan yang uzur serta prospek pekerjaan bergaji rendah.

Lebih membimbangkan, katanya, golongan muda semakin sukar memiliki rumah sendiri akibat harga hartanah dan kadar sewa yang tinggi.

“Saya fikir kerosakan paling besar yang dilakukan golongan pemerintah terhadap generasi saya ialah merampas keupayaan kami untuk membayangkan masa depan dan mempunyai impian,” katanya.

Menurut Chiara, ramai pelajar terpaksa menerima hakikat bahawa selepas menamatkan pengajian, mereka mungkin hanya memperoleh pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan.

Malah, mereka mungkin terpaksa tinggal di rumah kecil dengan sewa mahal, jauh daripada bandar tempat mereka dibesarkan.

Kebimbangan itu turut disokong perangkaan Kesatuan Eropah (EU).

Menurut tinjauan EU yang diterbitkan pada 2025, sebanyak 40 peratus golongan berusia antara 16 dengan 30 tahun menganggap kenaikan harga barang dan kos sara hidup sebagai antara kebimbangan utama mereka.

Daripada 92.7 juta penduduk EU yang berisiko mengalami kemiskinan atau peminggiran sosial pada 2025, golongan berusia 18 hingga 24 tahun mencatat risiko tertinggi, iaitu 26.3 peratus.

Sebaliknya, risiko dalam kalangan penduduk berusia 65 tahun ke atas jauh lebih rendah, pada 18.8 peratus.

Jurang kekayaan antara generasi turut menimbulkan rasa tidak puas hati.

Di Perancis, penduduk berusia lebih 60 tahun membentuk kira-kira satu perempat daripada jumlah penduduk, tetapi menguasai 60 peratus kekayaan negara, menurut badan pemikir Perancis OFCE.

Pada masa sama, perbelanjaan pemerintah bagi pencen terus meningkat sehingga menimbulkan persoalan sama ada kepentingan golongan muda semakin diketepikan.

Laporan pemerintah Perancis pada Oktober menunjukkan perbelanjaan pencen meningkat sebanyak 2.5 mata peratusan daripada keluaran dalam negeri kasar (GDP) antara 2000 dengan 2023.

Sebaliknya, perbelanjaan pendidikan merosot sebanyak 0.5 mata peratusan dalam tempoh sama.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa 32 peratus belanjawan Kementerian Pendidikan digunakan untuk membayar pencen, sekali gus mengehadkan dana bagi keperluan pendidikan lain.

Di pinggir bandar Paris, pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun, Bilal Narjissi, menyertai demonstrasi bagi membantah keadaan sekolahnya yang disifatkan amat menyedihkan.

Menurutnya, sekolah itu pernah mengalami masalah tikus, manakala pelajar terpaksa dipindahkan tahun lalu selepas sebahagian bumbung runtuh ke kawasan halaman.

“Golongan muda di Eropah kini bersatu. Kami semua bersetuju bahawa orang muda terlalu kerap dilayan seperti kanak-kanak dan suara kami tidak cukup didengari,” katanya.

Di Albania pula, demonstrasi tercetus akibat dakwaan rasuah, kekurangan peluang pekerjaan dan kemerosotan mutu pendidikan.

Seorang pelajar seni bina berusia 19 tahun, Xyke Kurti, berkata ramai belia tidak lagi melihat masa depan di negara sendiri.

“Jika anda bertanya kepada pelajar di Albania di mana mereka melihat masa depan mereka, semua akan menjawab di luar negara,” katanya.

Beliau mendakwa peluang pekerjaan sering dipengaruhi hubungan peribadi, menyebabkan individu berbakat sukar bersaing dengan mereka yang mempunyai kenalan berpengaruh.

Bagaimanapun, gelombang demonstrasi itu turut mencetuskan keganasan di beberapa negara.

Di Perancis, ribuan kedai dilaporkan mengalami kerosakan atau dirompak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, manakala polis menggunakan meriam air dan bom pegun bagi mengawal penunjuk perasaan.

Walaupun sebahagian protes bertukar ganas, kejayaan gerakan pelajar Serbia membuktikan bantahan golongan muda mampu membawa perubahan politik.

Seorang peserta demonstrasi Serbia, Stasa Piletic, berkata kemenangan itu memberikan rasa lega dan kebebasan selepas perjuangan panjang.

“Saya merasakan kemenangan. Kami akhirnya beralih daripada mengadakan demonstrasi kepada memikul tanggungjawab,” katanya.

Namun, kejayaan menumbangkan pemimpin berpengalaman turut membawa cabaran baru, terutama apabila gerakan pelajar yang belum pernah mentadbir negara kini perlu membuktikan kemampuan mereka memerintah.

Bagi seorang lagi peserta demonstrasi, Encik Luka Stojakovic, kekurangan pengalaman politik bukan alasan untuk meragui keupayaan generasi muda.

“Kami sudah melihat ke mana orang yang mempunyai pengalaman politik membawa negara ini,” katanya.

Gelombang protes yang turut pernah melanda Bangladesh pada 2024, Nepal pada 2025 dan India tahun 2026 ini menunjukkan kebangkitan Gen Z bukan lagi fenomena terpencil.

Sebaliknya, ia semakin menjadi gerakan antarabangsa yang menuntut perubahan terhadap sistem politik dan ekonomi yang dianggap gagal menjamin masa depan generasi muda.

Di Eropah, mesej mereka semakin jelas — golongan muda bukan sekadar mahu suara didengari, malah menuntut peluang menentukan masa depan sendiri. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti