Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis isytihar perintah berkurung bendung pergolakan, tunjuk perasaan
Berkuat kuasa di bandar termasuk Paris, Lille dan Lyon untuk lindung perniagaan; tercetus ekoran bantahan libat kos sara hidup
Perancis isytihar perintah berkurung bendung pergolakan, tunjuk perasaan
PARIS: Perancis mengumumkan perintah berkurung separa di Paris dan bandar lain pada 19 Oktober, selepas tunjuk perasaan hujung minggu menentang kenaikan harga yang melonjak, menjadi antara keganasan jalanan paling teruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Encik Sebastien Lecornu, tidak menolak kemungkinan mengisytiharkan darurat, selepas menteri dalam negeri berkata polis telah “hilang kawalan”.
Pelancong di Paris berdepan kesulitan pada 19 Oktober apabila Muzium Louvre terpaksa ditutup ekoran tunjuk perasaan oleh sekumpulan pelajar.
Pelancong di Paris merasai sedikit gangguan pada 19 Oktober apabila mendapati Louvre ditutup kerana sekumpulan kecil pelajar yang berdemonstrasi.
Sementara itu, kedutaan Amerika Syarikat di Paris menggesa rakyat Amerika supaya mengelak demonstrasi.
Pemerintah berdepan bidasan hebat kerana didakwa gagal mengekang keganasan, namun pihak berkuasa berikrar akan memulihkan ketenteraman awam selain mempergiat usaha meredakan kemarahan rakyat.
Krisis itu dikhuatiri berlarutan, sekali gus memberi tamparan hebat kepada landskap politik Perancis yang bakal memilih pengganti Presiden Emmanuel Macron dalam tempoh enam bulan lagi.
Sementara itu, penganjur menyeru pusingan bantahan baharu pada 24 Oktober.
Pihak berkuasa berkata perintah berkurung separa dikuatkuasakan dari petang 19 Oktober hingga pagi 20 Oktober di beberapa bandar, termasuk Paris, Lille dan Lyon untuk melindungi perniagaan.
Di ibu negara, perintah berkurung dikeluarkan mulai 11 malam, manakala demonstrasi dilarang mulai 8 malam.
“Saya benar-benar bertekad memulihkan ketenteraman awam,” kata Encik Lecornu.
Negara Eropah lain turut menyaksikan demonstrasi menentang kenaikan harga.
Pertembungan lebih kecil tercetus di Milan dan Belgium pada hujung minggu, manakala bantahan masih membara di Sepanyol dan Portugal.
Kira-kira setengah juta orang turun ke jalan-jalan di seluruh Perancis pada 17 Oktober untuk membantah kenaikan kos sara hidup.
Demonstrasi itu sudah berlangsung empat minggu, dan 17 Oktober merupakan hari yang menyaksikan paling ramai orang menunjuk perasaan.
Ia bermula apabila pelajar sekolah menengah menuntut keadaan sekolah mereka diperbaiki.
Apa yang bermula sebagai demonstrasi aman menjadi ganas di banyak bandar.
Kumpulan bertopeng menyerang pegawai penguat kuasa undang-undang, menceroboh bangunan awam dan membakar sebahagiannya, mencuri barangan kedai, serta membakar kereta, basikal dan skuter.
Pada 19 Oktober, menteri digital Perancis, Cik Anne Le Henanff, menggesa platform jualan semula dalam talian membuang iklan “barang curi” susulan penjarahan pada 17 Oktober.
Beliau memanggil wakil syarikat termasuk Vinted dan eBay.
Selepas pemandangan kacau-bilau hujung minggu itu, Menteri Dalam Negeri, Encik Laurent Nunez, menawarkan peletakan jawatan pada 19 Oktober, tetapi Encik Macron enggan menerimanya.
Lebih 2,500 orang ditahan dan hampir 1,000 anggota pasukan keselamatan cedera.
Penunjuk perasaan juga cedera.
Tangan seorang daripada mereka putus akibat bom tangan yang digunakan polis untuk mengawal orang ramai.
Encik Macron mengakui kegagalan dalam tindak balas pemerintah, walaupun kira-kira 60,000 anggota penguat kuasa undang-undang dikerahkan pada 17 Oktober.
Di seluruh negara, lebih 2,510 orang ditahan polis sepanjang hujung minggu, kata Menteri Kehakiman, Encik Gerald Darmanin.
Beliau menambah bahawa 67 orang dipenjarakan dan “berpuluh-puluh” kes jenayah dibuka.
Encik Darmanin juga berkata pihak berkuasa akan menggunakan pengecaman wajah di media sosial untuk mengenal pasti pelaku.
Sekurang-kurangnya 3,000 kedai rosak, dengan kos mencecah ratusan juta euro. – AFP.