TEHERAN: Gencatan senjata antara Iran dengan Amerika Syarikat berada di ambang kehancuran pada 4 Mei apabila kedua-dua negara saling melancarkan serangan ke atas Selat Hormuz yang strategik.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut melaporkan serangan untuk kali pertama sejak gencatan senjata diisytiharkan hampir sebulan lalu.

Sehari selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan operasi mengawal kapal yang terperangkap melalui selat itu, saluran berita, Fox News, memetik beliau mengancam Iran akan “dimusnahkan dari muka bumi” jika menyerang kapal Amerika.

Iran kelihatan tidak gentar apabila berikrar untuk terus mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz, laluan air sempit yang menyalurkan sekitar satu perlima bekalan minyak dunia, sebelum Amerika dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.

Seorang laksamana Amerika yang enggan menyebut namanya, berkata tentera Amerika menenggelamkan enam kapal kecil Iran.

Namun pada 5 Mei, Iran menafikan mana-mana kapal tempurnya ditenggelamkan, sebaliknya mendakwa Amerika telah membunuh orang awam di atas bot tersebut. 

Tentera Amerika “menyerang dua bot kecil yang membawa orang... mereka membunuh lima penumpang awam dan mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah mereka”, dakwa televisyen negara Iran dalam hantaran Telegram.

“Kami menembak jatuh tujuh bot kecil atau, seperti yang mereka gelarkan, bot ‘laju’,” kata Encik Trump dalam satu hantaran Truth Social, sambil menambah Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, akan mengadakan sidang akhbar pada 5 Mei.

UAE, sekutu rapat Amerika dan rakan Arab utama Israel, berkata ia dilanda ‘hujan’ peluru berpandu dan dron dari Iran.

“Serangan ini mewakili peningkatan yang berbahaya dan pencerobohan yang tidak boleh diterima, menimbulkan ancaman langsung kepada keselamatan, kestabilan negara dan keselamatan wilayahnya,” kata Kementerian Luar Negeri UAE, dalam satu kenyataan.

Serangan yang menyasarkan pemasangan tenaga di Amiriah Fujairah mencederakan tiga warga India, kata pihak berkuasa UAE.

Dua orang turut cedera apabila sebuah bangunan kediaman dimusnahkan di Bukha, Oman, di pantai Selat Hormuz, lapor media negara.

Keganasan itu menjejas gencatan senjata, yang sebahagian besarnya bertahan sejak berkuat kuasa pada 8 April.

Ia juga mendorong Amerika dan Israel memperbaharui serangan ke atas Iran selepas kempen menyerang ribuan sasaran sebelum ini yang membunuh pemimpin tertinggi Iran dan pegawai tertinggi lain, serta menutup Selat Hormuz yang penting, sekali gus menyebabkan harga tenaga sejagat melambung.

Pada 4 Mei, Senator Republikan, Encik Lindsey Graham, berkata di akaun X, pilihan Iran menyerang UAE dan kapal kargo “lebih daripada cukup untuk mewajarkan tindak balas besar, tegas dan pantas bagi menghancurkan lagi jentera perang Iran”. 

Dalam hantaran media sosial pula, mantan Perdana Menteri Israel, Encik Naftali Bennett, berkata serangan Iran ke UAE sama dengan “pengisytiharan pembaharuan perang Iran terhadap sekutu Amerika dan Israel di seluruh rantau”.

Ketua Komando Pusat Amerika, Laksamana Brad Cooper, berulang kali enggan menjawab soalan sama ada gencatan senjata telah dicabuli.

Dalam taklimat berasingan pada 4 Mei, Duta Besar Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Mike Waltz, berkata beliau akan “menyerahkan kepada Rumah Putih untuk mengisytiharkan pelanggaran” gencatan senjata.

“Keadaan kini tidak menentu,” katanya.

Dalam pada itu, harga minyak terus meningkat selepas serangan UAE, dengan kontrak antarabangsa penanda aras minyak mentah Brent untuk penghantaran Julai melonjak lebih 5 peratus.

Lonjakan kos tenaga sejak perang bermula menyebabkan tekanan ekonomi di seluruh dunia, sekali gus menjadi beban politik yang besar bagi Encik Trump menjelang Pilihan Raya Kongres beberapa bulan lagi. 

Di Israel, seorang pegawai tentera berkata pasukannya berada dalam keadaan penuh berjaga-jaga.

UAE mengarahkan semua sekolah kembali kepada pembelajaran dalam talian untuk minggu ini.

Menurut Kementerian Pertahanan UAE, empat peluru berpandu jelajah dilancarkan dari Iran, dengan tiga daripadanya berjaya ditembak jatuh dan satu lagi jatuh ke dalam air.

Iran turut melepaskan dron ke arah sebuah kapal tangki yang berkaitan dengan syarikat minyak milik UAE, Abu Dhabi National Oil Company (Adnoc) atau Perusahaan Minyak Nasional Abu Dhabi itu, kata pihak berkuasa UAE.

Seorang pegawai kanan tentera Iran yang enggan dinamakan, tidak menafikan serangan itu tetapi berkata Iran “tidak mempunyai program yang dirancang terlebih dahulu untuk menyerang kemudahan minyak berkenaan”.

“Apa yang berlaku adalah akibat tindakan ketenteraan Amerika yang bersifat campur tangan, dengan tujuan membuka laluan agar kapal dapat melalui Selat Hormuz secara tidak sah,” katanya dalam satu siaran televisyen.

“Tentera Amerika mesti dipertanggungjawabkan atas hal itu,” tambah pegawai tersebut.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, bagaimanapun, berkata pertelingkahan di selat itu membuktikan tiada “penyelesaian ketenteraan kepada krisis politik” yang berlaku, sambil menekankan kepada usaha Pakistan yang berterusan sebagai pengantara. 

“Amerika harus berhati-hati agar tidak diseret kembali ke dalam perangkap mereka yang berniat jahat. Begitu juga UAE. Projek Kebebasan adalah Projek Kebuntuan,” tulisnya di wadah X. – Agensi berita.