Topic followed successfully
Go to BHkuKeraguan Iran terhadap Trump bayangi rundingan damai
Keraguan Iran terhadap Trump bayangi rundingan damai
Teheran masih hati-hati selepas Washington tarik diri daripada perjanjian nuklear 2015, menimbulkan krisis kepercayaan yang berlarutan
Keraguan Iran terhadap Trump bayangi rundingan damai
WASHINGTON: Perbezaan besar antara Amerika Syarikat dengan Iran dalam isu seperti program nuklear dan kawalan Selat Hormuz bukan satu-satunya halangan kepada perjanjian damai.
Penganalisis melihat kekurangan kepercayaan sebagai cabaran paling besar dalam rundingan antara kedua-dua pihak.
Pegawai Iran secara tekal menunjukkan sikap curiga terhadap Washington, khususnya terhadap Presiden Donald Trump, susulan pengalaman lalu.
Iran masih mengingati tindakan Encik Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear yang dimeterai semasa pentadbiran Presiden Barack Obama, walaupun tiada dakwaan Iran melanggar perjanjian tersebut.
Seorang bekas pegawai Amerika berkata pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam.
“Iran melihat tindakan itu sebagai bukti bahawa perjanjian dengan Amerika boleh dibatalkan secara sepihak,” katanya kepada The New York Times.
Ketidakpercayaan semakin mendalam apabila Encik Trump dilapor memulakan serangan udara ketika rundingan masih berlangsung.
Dalam satu kejadian, wakil Amerika dihantar untuk bertemu pegawai Iran di Geneva sehari sebelum serangan udara yang mencetuskan konflik besar.
Keadaan itu menyebabkan Iran meragui kesungguhan Washington dalam mencari penyelesaian diplomatik.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, turut memberi amaran mengenai perkara tersebut.
“Amerika berusaha mengulangi corak lama dan mengkhianati diplomasi,” katanya dalam perbualan dengan Perdana Menteri Pakistan, lapor media rasmi Iran.
Ketidakpercayaan bukan hanya berpunca daripada pihak Iran.
Washington menuduh Teheran menyembunyikan kegiatan nuklear dan melanggar komitmen antarabangsa dengan membina kemudahan rahsia.
Seorang bekas pegawai keselamatan Amerika, Encik Michael Doran, berkata rekod Iran menimbulkan keraguan besar.
“Rekod Iran dalam menyembunyikan program nuklearnya tidak memberi asas untuk mempercayai jaminan mereka,” katanya.
Pakar berkata kekurangan kepercayaan memaksa Iran mengambil pendekatan berhati-hati dalam rundingan.
Teheran dilaporkan berusaha mengekalkan kedudukan tawar-menawar, termasuk melalui kawalan terhadap sebahagian bekalan uranium bagi melindungi kepentingan strategiknya.
Namun, penganalisis menegaskan bahawa kebanyakan konsesi yang perlu dibuat Iran bersifat kekal, berbanding konsesi Amerika yang boleh ditarik balik.
Bekas perunding nuklear Amerika, Encik Robert Malley, berkata keadaan itu menyukarkan rundingan.
“Konsesi Iran bersifat konkrit dan sukar dipulihkan, manakala konsesi Amerika seperti sekatan boleh dibatalkan semula,” kata beliau.
Iran juga bimbang terhadap hubungan rapat Encik Trump dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang dilihat cenderung menyokong tindakan ketenteraan berbanding diplomasi.
Pemerhati berkata faktor itu meningkatkan risiko kegagalan rundingan.
“Iran percaya serangan boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk ketika rundingan berlangsung,” kata Encik Karim Sadjadpour, dari Yayasan Carnegie bagi Keamanan Antarabangsa.
Beliau menambah: “Tahap kepercayaan antara kedua-dua pihak kini hampir tidak wujud.”
Walaupun kedua-dua pihak menunjukkan kesediaan untuk berunding, pakar memberi amaran perjanjian besar tidak boleh dicapai dalam masa singkat.
Rundingan nuklear sebelum ini mengambil masa hampir dua tahun melibatkan pelbagai kuasa dunia.
Encik Sadjadpour berkata jangkaan untuk mencapai perjanjian dengan cepat adalah tidak realistik.
“Dengan tahap ketidakpercayaan yang mendalam, perjanjian seperti ini biasanya mengambil masa berbulan-bulan, jika tidak bertahun-tahun,” katanya.
Walaupun cabaran besar, kedua-dua pihak masih membuka ruang diplomasi.
Sejarah menunjukkan musuh lama boleh mencapai persetujuan, seperti perjanjian antara Amerika dengan Taleban sebelum ini.
Namun, dalam kes Iran, isu utama bukan sekadar dasar atau teknikal, malah, kepercayaan yang telah lama terhakis. – Agensi berita.
