RAFAH: Israel dilapor akan mengambil bahagian dalam rundingan hujung minggu ini di Paris dengan Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir mengenai potensi perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, menurut sumber yang diberi taklimat mengenainya dan media Israel.
Menurut sumber yang diberi taklimat mengenai hal itu, seperti dilaporkan media Israel, persetujuan menyertai proses itu bagi mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan warga Israel di Gaza sebelum Ramadan bermula.
Usaha diplomatik dilaporkan semakin meningkat menjelang Ramadan, yang bermula pada 10 Mac.
Rundingan terakhir mengenai gencatan senjata gagal dua minggu lalu, apabila Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menolak sebagai “khayalan” cadangan Hamas untuk gencatan senjata empat setengah bulan yang berakhir dengan pengunduran Israel.
Ketua kumpulan militan Palestin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, berada di Mesir minggu ini – tanda paling kuat dalam beberapa minggu bahawa rundingan akan diadakan kelak.
Televisyen Channel 12 Israel melaporkan pada 22 Februari bahawa Kabinet perang telah meluluskan usul menghantar perunding, diketuai oleh ketua perkhidmatan perisikan Mossad, Encik David Barnea, ke Paris pada 23 Februari untuk perbincangan mengenai perjanjian berpotensi membebaskan lebih daripada 100 tebusan yang masih ditahan Hamas dalam serangan pada 7 Oktober.
Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA), Encik William Burns, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan ketua perisikan Mesir, Encik Abbas Kamel, juga akan mengambil bahagian dalam mesyuarat di Paris itu, kata sumber itu.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata perunding tebusan negara itu diberi kuasa yang lebih luas.
“Kami menumpukan perhatian secara mendalam untuk cuba mendapatkan persetujuan yang mengakibatkan pembebasan baki tebusan gencatan senjata,” kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, kepada pemberita di Brazil.
Utusan Timur Tengah Amerika, Encik Brett McGurk, telah mengadakan pertemuan “membina” di Mesir dan Israel termasuk dengan Encik Netanyahu pada 22 Februari, kata jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, Encik John Kirby.
Encik Sami Abu Zuhri, seorang pegawai kanan Hamas, memberitahu Reuters bahawa Israel bertanggungjawab atas kekurangan kemajuan dan telah berundur daripada syarat-syarat yang diterimanya beberapa minggu lalu dalam cadangan gencatan senjata sebelum ini.
“Israel tidak berminat untuk mencapai sebarang perjanjian,” katanya.
Tiada maklum balas segera daripada pegawai Israel. Namun Encik Netanyahu dilaporkan sebagai berkata bahawa jika Hamas menunjukkan fleksibiliti, mungkin terdapat kemajuan dalam mencapai perjanjian.
Encik Haniyeh menamatkan lawatan tiga harinya ke Kahirah selepas bertemu Encik Kamel.
Mereka membincangkan menamatkan pencerobohan Israel, bantuan untuk orang awam di Gaza, membenarkan pelarian pulang ke rumah mereka, terutamanya di utara Gaza, dan pertukaran tebusan untuk tahanan Palestin di Israel, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Israel melancarkan kempen ketenteraannya di Gaza selepas militan Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang dan menahan sekitar 240 yang lain sebagai tebusan.
Sejak itu, hampir 30,000 rakyat Palestin telah disahkan terbunuh di Gaza akibat serangan udara dan darat Israel.
Hamas berkata ia tidak akan membebaskan baki tebusan melainkan Israel bersetuju menamatkan pertempuran dan berundur dari Gaza. Israel berkata ia tidak akan menarik diri sehingga Hamas dihapuskan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg