Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand, Kemboja setuju gencatan senjata serta-merta

Capai persefahaman tanpa syarat mulai tengah malam 28 Jul
Jul 28, 2025 | 7:21 PM
(dari kiri) Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berjabat tangan selepas sidang media menyusuli rundingan damai di Putrajaya, Malaysia pada 28 Julai 2025.
(dari kiri) Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berjabat tangan selepas sidang media menyusuli rundingan damai di Putrajaya, Malaysia pada 28 Julai 2025. - Foto REUTERS

PUTRAJAYA: Selepas lima hari pertempuran sengit di sempadan yang meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa dan menyebabkan lebih 200,000 penduduk terpaksa melarikan diri, Thailand dan Kemboja akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bermula tengah malam 28 Julai 2025.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Asean dan tuan rumah Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja di Kompleks Seri Perdana, mengumumkan kejayaan tersebut dalam satu sidang media bersama.

Beliau menyifatkan persetujuan itu sebagai “langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan serta keselamatan serantau”.

“Satu mesyuarat tidak rasmi akan diadakan antara komander wilayah tentera kedua-dua negara pada 7 pagi, 29 Julai 2025. Mesyuarat ini akan disusuli dengan pertemuan antara Atase Pertahanan Asean sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” jelas Datuk Anwar.

Turut hadir dalam mesyuarat khas itu ialah Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet.

Malaysia menerima pujian kerana memudah cara rundingan damai yang turut disaksikan Duta Besar China ke Malaysia, Encik Ouyang Yujing dan Duta Besar Amerika Syarikat, Encik Edgard D. Kagan, sebagai fasilitator bersama.

Datuk Anwar turut mengumumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) akan diadakan pada 4 Ogos 2025 di Kemboja sebagai lanjutan kepada pelaksanaan gencatan senjata.

“Malaysia bersedia menyelaras pasukan pemerhati Asean untuk mengesahkan dan memastikan pelaksanaan gencatan senjata ini. Kami juga akan berunding dengan negara-negara anggota Asean lain bagi melibatkan mereka dalam usaha ini,” tambah Datuk Anwar.

Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet menyifatkan mesyuarat itu sebagai “satu pertemuan yang sangat baik” dan berharap konflik ini akan ditamatkan serta-merta.

“Gencatan senjata ini akan memberi peluang kepada ratusan ribu penduduk dari kedua-dua pihak untuk kembali kepada kehidupan biasa. Kini tiba masanya untuk membina semula kepercayaan antara Kemboja dan Thailand,” kata Encik Hun Manet.

Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham pula menyatakan bahawa Thailand “berunding secara jujur dan berniat baik” demi mencari penyelesaian.

Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lalu selepas seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam insiden di kawasan Preah Vihear, satu kawasan pertikaian bersejarah yang turut mengandungi kuil kuno. Pergolakan ini adalah yang paling dahsyat sejak konflik sempadan 2008 hingga 2011.

Menurut Kementerian Pertahanan Kemboja, Thailand telah “menyerang wilayah Kemboja dengan senjata berat dan pengerahan tentera besar-besaran selama lima hari berturut-turut”.

Tentera Thailand pula menuduh Kemboja menempatkan penembak tepat di kawasan kuil yang dipertikaikan dan melancarkan roket ke wilayah Thai.

Dalam kenyataan rasmi, tentera Thailand menyebut “keadaan masih sangat tegang dan Kemboja mungkin sedang bersiap sedia untuk operasi ketenteraan besar sebelum memasuki rundingan”.

Sehingga kini, Thailand mengesahkan kematian lapan tentera dan 14 orang awam, manakala Kemboja mengesahkan lapan kematian awam dan lima tentera.

Tentera Thailand juga telah menyerahkan mayat 12 anggota tentera Kemboja yang terkorban dalam pertempuran.

Di Surin, Thailand, seramai 138,000 orang telah dipindahkan, manakala sekitar 80,000 rakyat Kemboja juga telah meninggalkan rumah mereka. Encik Lamduan Chuenjit, seorang pekerja pembersihan berusia 58 tahun di Surin berkata, “Saya berharap rundingan ini berjaya dan membawa kepada gencatan senjata. Tetapi saya masih ragu sejauh mana keikhlasan Kemboja.”

Di Kemboja pula, wartawan di bandar Samraong melaporkan terdengar sehingga 10 letupan seminit hanya beberapa jam sebelum rundingan damai dimulakan.

Campur tangan antarabangsa terbukti memainkan peranan penting dalam mendorong kedua-dua pihak ke meja rundingan. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada 27 Julai 2025 mengumumkan bahawa pemimpin Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk “segera menyelesaikan” satu rundingan damai demi menamatkan pertempuran yang berlarutan di sempadan.

Dalam kenyataannya, Encik Trump turut memberi amaran bahawa kedua-dua negara berisiko dikenakan tarif perdagangan yang tinggi sekiranya mereka gagal mencapai perjanjian bebas secara berasingan dengan Amerika Syarikat. Namun, beliau menambah bahawa Washington “sedia menandatangani” perjanjian sebaik sahaja keamanan dipulihkan sepenuhnya.

Washington menghantar pegawai Jabatan Negara ke Putrajaya untuk menyokong rundingan, manakala China turut menghantar delegasi dari pihak bersekutu rapat Kemboja.

Datuk Anwar menjelaskan bahawa Menteri Luar dan Menteri Pertahanan dari ketiga-tiga negara akan membangunkan mekanisme terperinci pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan gencatan senjata.

“Mesyuarat ini mengukuhkan tekad Malaysia, Kemboja dan Thailand untuk menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hidup bersama secara aman, dan kerjasama pelbagai hala dalam mencari penyelesaian berkekalan,” kata beliau. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg