SURIN (Thailand): Cik Lamun Faithet tidak pernah menyangka akan sekali lagi melarikan diri dari rumahnya yang terletak berhampiran sempadan Thailand-Kemboja.
Kini, rumah yang menjadi tempat berteduhnya selama puluhan tahun bertukar menjadi zon bahaya, dihujani letupan dan dentuman senjata.
Cik Lamun, 68 tahun, adalah antara lebih 131,000 penduduk Thailand yang dipaksa meninggalkan kediaman mereka sejak konflik berdarah kembali tercetus pada 24 Julai yang menghidupkan semula trauma lama yang disangka telah berakhir.
“Saya fikir semuanya sudah berakhir dahulu, tetapi rupa-rupanya tidak,” katanya.
Rumah Cik Lamun terletak hanya 3 kilometer (km) dari kuil purba Prasat Ta Muen Thom yang menjadi rebutan antara dua negara jiran itu.
Kuil itu dikenali sebagai Prasat Ta Moan Thom oleh warga Kemboja.
Di sinilah tentera kedua-dua negara saling melepaskan tembakan, menghidupkan semula kenangan pahit konflik 2008–2011.
“Tembakan itu sangat kuat, berterusan selama satu jam. Saya dengar bunyi bom berdesing ‘wheeeee’ di udara. Rasanya macam dalam filem perang,” katanya sambil menggambarkan ketegangan pagi 24 Julai.
Ketua kampungnya datang menaiki motosikal memberi amaran kepada semua supaya bersiap sedia untuk berlindung.
Selepas dua jam di tempat perlindungan pertama, mereka diarahkan berpindah semula kerana kawasan itu masih dalam lingkungan serangan senjata Kemboja.
Akhirnya, beliau menaiki kenderaan bersama penduduk lain ke kampus universiti di Surin yang kini menjadi pusat pemindahan sementara.
Bagi Cik Lamun, inilah kali pertama beliau benar-benar mempertimbangkan untuk meninggalkan kampungnya buat selama-lamanya. “Saya tak sangka ia berlaku lagi. Dahulu pun dah cukup menyakitkan,” katanya.
Konflik kali ini dianggap antara yang paling berdarah sejak lebih sedekad lalu, dengan sekurang-kurangnya 34 orang maut setakat ini.
Di pihak Kemboja, lebih 35,000 penduduk turut dipindahkan.
Pada 27 Julai, satu amaran rasmi dikeluarkan oleh Gabenor Surin supaya penduduk tidak berada dalam radius 120 km dari sempadan, selepas laporan mengatakan tentera Kemboja telah memindahkan sistem peluru berpandu jarak jauh buatan China, PHL-03, ke wilayah Oddar Meanchey.
“Pegawai kata mereka kini ada senjata yang kuat. Saya jadi lebih takut,” ujar Cik Lamun.
Di pusat pemindahan sementara itu, keadaan agak terurus.
Meja bantuan menampilkan mi segera, biskut coklat dan juga aiskrim vanila.
Sebuah televisyen dipasang di tengah-tengah pusat sebagai sumber berita terkini.
Pelajar universiti membantu mengangkut tilam dan air botol, manakala kanak-kanak prasekolah bermain dalam barisan.
Encik Samban Manaesri, 46, seorang penanam padi, dilihat meneliti suhu badan anak lelakinya yang demam sejak dua hari lalu.
“Saya bersyukur ada ubat dan doktor di sini, tapi keadaan tetap tak selesa kerana terlalu ramai orang,” katanya sambil mengesat peluh anaknya yang berbaring di atas tikar jerami.
Trauma masih menyelubungi ramai penduduk.
Bunyi kuat secara tiba-tiba masih mencetuskan panik.
“Saya masih terkejut kalau dengar bunyi dentuman. Tadi pun bila tong sampah jatuh, kami semua menjerit,” kata Cik Thirawat Sabsuwan, 45 tahun, sambil mengusap dada.
Adik iparnya, Cik Rattanapon Merntanu, 26 tahun, yang kini hamil enam bulan, berkata keluarganya sudah mula bersiap sedia sejak dua bulan lalu selepas mendengar khabar bahawa semua lintasan sempadan akan ditutup kecuali untuk keperluan penting.
“Kami dah agak ia akan berlaku,” katanya.
Pada pagi 24 Julai, ketika serangan bermula, Cik Rattanapon berada di sekolah anak saudaranya untuk menyaksikan acara sukan.
Mereka terus berlindung di dalam kubu pertahanan di bawah tanah dan tidak sempat pulang ke rumah.
“Segala barang yang saya kemas masih tertinggal di rumah. Sekarang saya cuma ada pakaian sumbangan ini,” ujarnya.
Cik Rattanapon dan keluarganya kini menjaga seorang bayi berusia empat bulan, anak kepada seorang tentera Thailand yang telah dikerahkan ke barisan hadapan sejak serangan bermula.
Walaupun dikelilingi ketegangan, beliau masih mengingati suasana damai di pasar sempadan, tempat peniaga Thailand dan Kemboja berniaga bersama berdampingan dalam suasana harmoni.
Cik Lamun juga merindui pasar di O Smach, Kemboja, tempat beliau sering membeli katak dan serangga untuk dijadikan sambal.
Namun, beliau kini tidak pasti bila akan ke sana lagi atau adakah peluang itu akan datang semula.
“Bila tempat ini tidak jelas sempadannya, siapa pun tidak tahu mana milik siapa. Itu bermakna keselamatan kami pun takkan pernah pasti,” kata Cik Lamun. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg