Gencatan senjata cetus krisis dalam pemerintahan Netanyahu
Gencatan senjata cetus krisis dalam pemerintahan Netanyahu
TEL AVIV: Perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas belum mendapat kelulusan pemerintah Israel pada 16 Januari, namun perdebatan tentang masa depan politik Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah bermula.
Pengumuman perjanjian ini mencetuskan krisis dalam gabungan pemerintah pimpinan Encik Netanyahu, terutamanya daripada sekutu sayap kanan yang menjadi tunjang sokongan beliau.
Encik Itamar Ben-Gvir, Menteri Keselamatan Negara dari parti ultranasionalis Jewish Power, telah memberi amaran bahawa partinya akan menarik diri daripada gabungan pemerintah sekiranya Kabinet meluluskan perjanjian tersebut.
“Perjanjian ini adalah satu bentuk penyerahan kepada Hamas,” ujar Encik Ben-Gvir dalam satu kenyataan video yang disiarkan kepada umum.
Tindakan ini berisiko menggoncang kestabilan pemerintah Encik Netanyahu walaupun tidak secara langsung menghalang pelaksanaan perjanjian.
Parti Kuasa Yahudi, yang memegang enam kerusi di Parlimen Israel, Knesset, sekiranya menarik diri, akan mengurangkan majoriti Parlimen pemerintahan Encik Netanyahu daripada 68 kepada hanya 62 kerusi.
Selain itu, ancaman turut datang daripada Encik Bezalel Smotrich, Menteri Kewangan dan pemimpin parti Religious Zionism yang menentang keras perjanjian ini.
Encik Smotrich memberi amaran bahawa beliau juga mungkin menarik sokongan jika Encik Netanyahu meneruskan fasa kedua perjanjian yang melibatkan gencatan senjata kekal.
Encik Smotrich dan Encik Ben-Gvir menuntut agar Israel meneruskan operasi ketenteraan sehingga Hamas ditewaskan sepenuhnya.
Mereka berpendapat bahawa kawalan tentera Israel ke atas Gaza adalah langkah strategik untuk memastikan keselamatan negara dan membuka peluang bagi penempatan Yahudi di kawasan tersebut.
Namun, pandangan ini bertentangan dengan pendirian keluarga tebusan dan kebanyakan rakyat Israel yang ingin melihat penghentian konflik.
Perjanjian ini terdiri daripada dua fasa utama.
Dalam fasa pertama yang dijangka bermula 19 Januari, Hamas akan membebaskan 33 tebusan Israel sebagai pertukaran kepada ratusan tahanan Palestin.
Pada masa yang sama, tentera Israel akan berundur dari kawasan penduduk Gaza ke kedudukan yang lebih jauh.
Fasa kedua, yang dijangka berlangsung enam minggu selepas itu, akan melibatkan pembebasan baki tebusan, sama ada hidup atau mati, serta pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.
Keluarga tebusan telah menyeru Encik Netanyahu agar mengetepikan perhitungan politik demi menyelamatkan nyawa.
Cik Rachel Goldberg-Polin dan Encik Jon Polin, ibu bapa kepada Encik Hersh Goldberg-Polin, tebusan warga negara Amerika-Israel, menyokong penuh perjanjian ini.
“Proses ini mesti diteruskan sehingga semua tebusan kembali kepada keluarga mereka,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Situasi ini meletakkan Encik Netanyahu dalam dilema besar.
Beliau perlu memilih antara mengekalkan gabungan politiknya atau memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan hubungan dengan pentadbiran Presiden Donald Trump, yang akan memegang jawatan pada 20 Januari.
Menurut Encik Yohanan Plesner, Presiden Institut Demokrasi Israel, Encik Netanyahu mungkin lebih condong untuk memperkukuh hubungan dengan Washington dan mengejar peluang diplomatik baru dengan Arab Saudi.
“Jika Netanyahu terpaksa memilih antara Smotrich dan Ben-Gvir atau hubungan rapat dengan Trump, beliau mungkin memilih Trump,” kata Encik Moshe Klughaft, penasihat strategi politik yang pernah bekerjasama dengan Netanyahu.
Terdapat spekulasi bahawa Encik Netanyahu sedang merancang menggunakan perjanjian ini sebagai batu loncatan bagi mewujudkan hubungan diplomatik rasmi dengan Arab Saudi, satu langkah yang akan meningkatkan kedudukannya di peringkat serantau.
Di tengah-tengah tekanan politik ini, Encik Netanyahu turut berdepan perbicaraan kes rasuah yang berlarutan.
Selain itu, beliau bakal menghadapi kritikan awam terhadap kegagalan pemerintah dalam mengawal serangan Hamas pada Oktober 2023.
Dengan keadaan yang semakin mencabar, sesetengah penganalisis percaya Encik Netanyahu mungkin membatalkan fasa kedua perjanjian sekiranya Hamas tidak mematuhinya, demi memastikan kelangsungan politiknya. – Agensi berita.

