Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Menteri Pertahanan Israel beri amaran penghapusan etnik di Gaza

Dec 2, 2024 | 2:50 PM
Mantan Menteri Pertahanan Israel, Encik Moshe Taalon, menuduh Israel melakukan jenayah perang dan penghapusan etnik di Jaluran Gaza.
Mantan Menteri Pertahanan Israel, Encik Moshe Taalon, menuduh Israel melakukan jenayah perang dan penghapusan etnik di Jaluran Gaza. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Mantan Menteri Pertahanan Israel menuduh Israel melakukan jenayah perang dan penghapusan etnik di Jaluran Gaza, sekali gus mendapat teguran tajam daripada pemimpin pemerintah.

Encik Moshe Yaalon, seorang mantan jeneral, memberitahu media Israel bahawa kumpulan tegar dalam Kabinet kanan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, sedang mengusir rakyat Palestin dari utara Gaza dan mahu menubuhkan semula petempatan Yahudi di sana.

“Saya terpaksa memberi amaran tentang apa yang berlaku di sana dan disembunyikan daripada kami. Pada akhirnya, jenayah perang sedang dilakukan,” kata Encik Yaalon kepada penyiar awam Israel, Kan, pada 1 Disember.

Encik Yaalon ialah mantan ketua staf tentera yang berkhidmat sebagai menteri pertahanan di bawah pemerintahan Encik Netanyahu dari 2013 hingga 2016, telah menjadi pengkritik perdana menteri sejak itu.

Parti Likud pimpinan Encik Netanyahu menuduhnya menyebarkan “pembohongan fitnah”, manakala Menteri Luar Encik Gideon Sa’ar, ketua parti kanan kecil, berkata tuduhannya tidak berasas.

“Semua yang dilakukan Israel adalah mengikut undang-undang antarabangsa dan sayangnya mantan menteri Ya’alon tidak menyedari kerosakan yang telah dilakukannya dan perlu menarik balik kenyataannya,” katanya pada persidangan yang dihoskan oleh akhbar Israel Today.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu dan mantan ketua pertahanannya, Encik Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam konflik Gaza.

Dalam temu bual berasingan dengan Democrat TV pada 30 November, Encik Yaalon memberi amaran bahawa negara itu berada di persimpangan dengan pemerintah ingin “menakluki, menggabungkan, melakukan pembersihan etnik”.

Rakyat Palestin telah lama menuduh Israel berusaha mengusir mereka keluar dari Gaza.

Israel telah berperang di Gaza sejak Oktober 2023, selepas Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza pula telah membunuh lebih daripada 44,400 rakyat Palestin.

Menteri Perumahan Israel, Encik Yitzhak Goldknopf, berkunjung ke sempadan Gaza pada 28 November dan menyokong daya usaha untuk mewujudkan semula petempatan di wilayah itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg