DOHA: Para perunding hampir menyelesaikan butiran akhir gencatan senjata di Gaza pada 15 Januari selepas rundingan maraton di Qatar, dan pemimpin Amerika Syarikat dan Mesir berjanji untuk terus berhubung mengenai perjanjian dalam beberapa jam akan datang.
Namun, perbincangan lebih lapan jam di Doha telah mencetuskan keyakinan perjanjian gencatan senjata akan dicapai kelak.
Pegawai perantara Qatar, Mesir dan Amerika serta Israel dan Hamas berkata perjanjian gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan Israel kian hampir berbanding sebelum ini.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al-Ansari, sebelum ini memberitahu sidang akhbar bahawa kedua-dua pihak telah dibentangkan dengan teks perjanjian dan perbincangan mengenai butiran terakhir sedang giat dijalankan.
Tetapi, seorang pegawai kanan Hamas memberitahu Reuters lewat 14 Januari bahawa pihaknya belum memberikan maklum balasnya kerana masih menunggu Israel menyerahkan peta yang menunjukkan bagaimana tenteranya akan berundur dari Gaza.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden dan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah El-Sisi, telah berbincang mengenai kemajuan rundingan itu pada 14 Januari.
“Kedua-dua pemimpin komited untuk kekal dalam penyelarasan secara langsung dan melalui pasukan mereka dalam beberapa jam akan datang,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan selepas panggilan telefon kedua-dua pemimpin itu.
Hamas berkata rundingan itu telah mencapai peringkat terakhir dan ia berharap pusingan rundingan itu akan membawa kepada kesepakatan.
Seorang pegawai Israel berkata rundingan telah mencapai fasa genting walaupun beberapa butiran perlu diselesaikan: “Kami hampir, kami belum sampai ke sana.”
Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, berkata beliau percaya majoriti pemerintah campuran Israel akan menyokong perjanjian Gaza meskipun mendapat tentangan hebat daripada parti nasionalis tegar dalam gabungan itu.
Kumpulan Jihad Islam, yang berasingan daripada Hamas dan juga telah menahan tebusan Israel di Gaza, berkata ia menghantar delegasi kanan yang akan tiba di Doha pada malam 14 Januari untuk menyertai pengaturan terakhir perjanjian gencatan senjata itu.
Jika dilaksanakan, gencatan senjata secara berperingkat itu boleh menghentikan perang yang sudah memusnahkan Gaza, membunuh lebih 46,000 rakyat Palestin dan menyebabkan penduduk hilang tempat tinggal.
Ini sekali gus boleh meredakan ketegangan di seluruh Timur Tengah yang menyaksikan perang mencetuskan konflik di Tebing Barat, Lebanon, Syria, Yaman dan Iraq.
Perjanjian itu bakal menyaksikan pembebasan sekitar 100 tebusan dan mayat daripada kalangan mereka yang ditawan Hamas dalam serangan 7 Oktober 2023.
Sebagai balasan, Israel akan membebaskan tahanan Palestin di penjara Israel.
Seorang pegawai Israel berkata selain sekumpulan tebusan dibebaskan, Israel akan secara beransur-ansur mengundurkan tenteranya dari Gaza.
Sumber Palestin berkata Israel akan membebaskan 1,000 tahanan Palestin dalam fasa pertama selama 60 hari.
Sedang usaha memuktamadkan perjanjian gencatan senjata giat dijalankan, serangan baru Israel di Deir al-Balah dan Rafah pada 14 Januari telah membunuh sekurang-kurangnya 15 orang, kata pegawai perubatan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg