Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian gencatan senjata perang Gaza hampir muktamad

Biden: Perjanjian akan bebaskan tebusan, hentikan pertempuran, bolehkan bantuan kemanusiaan dipertingkat kepada rakyat Palestin
Jan 14, 2025 | 2:37 PM
Rakyat Palestin membawa bekas untuk mengisi bekalan air di Khan Yunis di selatan Jaluran Gaza pada 14 Januari.
Rakyat Palestin membawa bekas untuk mengisi bekalan air di Khan Yunis di selatan Jaluran Gaza pada 14 Januari. - Foto AFP

DOHA: Perunding akan bertemu di Doha pada 14 Januari untuk memuktamadkan butiran rancangan menamatkan perang di Gaza, selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang diperjuangkannya semakin membuahkan hasil.

Pengantara memberi Israel dan Hamas draf akhir perjanjian pada 13 Januari, kata seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai rundingan itu.

Kejayaan itu dicapai dalam perbincangan yang dihadiri oleh kedua-dua utusan Encik Biden dan bakal Presiden Encik Donald Trump.

“Perjanjian itu... akan membebaskan tebusan, menghentikan pertempuran, menyediakan keselamatan kepada Israel dan membolehkan bantuan kemanusiaan ditingkatkan kepada rakyat Palestin,” kata Encik Biden dalam ucapan menggariskan pencapaian pentadbirannya di Jabatan Negara pada 13 Januari.

Jika berjaya, perjanjian gencatan senjata akan menamatkan usaha rundingan yang berjalan lebih setahun dan membawa kepada pembebasan terbesar tebusan Israel sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023.

Lebih 240 tebusan Israel ditahan dan 1,200 orang terbunuh dalam serangan Hamas di selatan Israel itu.

Serangan Israel ke atas Gaza telah membunuh lebih 46,000 rakyat Palestin.

Hamas sebelum ini telah membebaskan sekitar separuh daripada tebusan Israel sebagai pertukaran bagi 240 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.

“Saya rasa ada peluang yang baik untuk kita muktamadkan perjanjian ini,” kata penasihat keselamatan negara Encik Biden, Encik Jake Sullivan kepada pemberita pada 13 Januari.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata bola kini berada di gelanggang Hamas yang menzahirkan minat untuk mencapai perjanjian.

Seorang pegawai Israel berkata rundingan sedang dalam peringkat lanjut untuk membebaskan sehingga 33 tebusan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Israel mendakwa 98 tebusan Israel masih ditahan di Gaza.

Seorang pegawai Hamas memberitahu Reuters terdapat beberapa kemajuan dalam beberapa isu teras “dan kami sedang berusaha untuk menyimpulkan apa yang kekal tidak lama lagi”.

Hamas sentiasa menegaskan perjanjian mesti membawa kepada tamatnya perang dan pengunduran Israel dari Gaza, manakala Israel berkata ia tidak akan menamatkan perang sehingga Hamas dimusnahkan.

Encik Trump yang akan secara rasmi mula memegang jawatan Presiden pada 20 Januari, pernah memberi amaran “neraka menanti” kecuali Hamas membebaskan tebusan sebelum beliau memegang jawatan, manakala Encik Biden juga mahu memastikan perjanjian dicapai sebelum beliau meninggalkan Rumah Putih.

Encik Blinken berkata perunding mahu memastikan Encik Trump akan terus menyokong perjanjian itu.

Memberikan butiran perjanjian itu, seorang pegawai Israel berkata, peringkat pertama akan menyaksikan 33 tebusan dibebaskan, termasuk kanak-kanak, wanita, askar wanita, lelaki berumur 50 tahun ke atas, serta yang cedera dan sakit.

Pada hari ke-16 perjanjian berkuat kuasa, rundingan peringkat kedua dimulakan bagi pembebasan tebusan – askar lelaki dan lelaki umur layak masuk tentera serta mayat tebusan yang mati dikembalikan.

Perjanjian itu akan menyaksikan pengunduran tentera secara berperingkat, dengan tentera Israel kekal di perimeter sempadan untuk mempertahankan bandar dan kampung sempadan Israel.

Di samping itu, Israel akan berundur dari Koridor Philadelphi, selatan Gaza, selepas beberapa hari pertama perjanjian itu dilaksanakan.

Penduduk utara Gaza akan dibenarkan pulang.

Tentera Israel pula akan berundur dari Koridor Netzarim di tengah Gaza.

Pegawai Israel itu berkata anggota militan Palestin yang disabitkan dengan pembunuhan atau serangan maut juga akan dibebaskan tetapi tidak termasuk anggotanya yang menyertai serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg