KAHIRAH/GAZA/BAITULMAKDIS: Tanda-tanda kegiatan baru muncul pada 3 Julai ke arah mencapai perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.
Ini berlaku ketika Israel melancarkan lebih banyak serangan ke atas Gaza yang hampir musnah.
Selepas beberapa minggu dengan sedikit diplomasi awam, pengantara Mesir dan Qatar menyampaikan maklum balas daripada Hamas mengenai cadangan termasuk pembebasan tebusan Israel dan gencatan senjata di wilayah Palestin.
Israel sedang mengkaji dokumen itu, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, bagi pihak agensi perisik Mossad.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat telah berusaha selama berbulan-bulan untuk mencapai gencatan senjata dan pembebasan 120 tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza, tetapi usaha mereka telah berulang kali gagal.
Hamas berkata sebarang perjanjian mesti menamatkan perang yang masuk bulan kesembilan dan membawa pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.
Israel berkata ia hanya akan menerima gencatan senjata sementara sehingga Hamas dihapuskan.
“Israel sedang meneliti cadangan tersebut dan akan memberi respons kepada pengantara,” kata kenyataan Mossad tanpa memberikan butiran lanjut.
Hamas berkata dalam satu kenyataan bahawa pemimpinnya, Encik Ismail Haniyeh, telah menghubungi pengantara Qatar dan Mesir mengenai idea untuk mencapai kesepakatan bagi menamatkan perang di Gaza serta berkomunikasi dengan pegawai Turkey.
The New York Times melaporkan bahawa jeneral tertinggi Israel mahu gencatan senjata Gaza di sebalik Hamas mengekalkan kuasa buat masa ini, melebarkan keretakan antara tentera Israel dengan Encik Netanyahu, yang menentang gencatan senjata kerana ia membolehkan Hamas terus bertahan.
Para pemimpin tentera Israel percaya gencatan senjata adalah cara terbaik untuk menjamin pembebasan tebusan Israel, dan mereka berpendapat bahawa pasukan Israel perlu membuat persiapan sekiranya perang meletus dengan Hezbollah di Lebanon, kata laporan itu, memetik kenyataan enam pegawai keselamatan Israel.
Serangan Israel telah membunuh komander tertinggi Hezbollah, Mohammed Nasser, di selatan Lebanon pada 3 Julai, mendorong serangan balas dengan roket oleh kumpulan yang disokong Iran itu ke wilayah Israel.
Dicetuskan perang Gaza, permusuhan dengan Lebanon telah menimbulkan kebimbangan tentang konflik yang lebih luas.
Perang meletus di Gaza apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel pula mengorbankan hampir 38,000 orang, lapor kementerian kesihatan Gaza.
Di Gaza, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam serangan Israel di tengah dan utara Gaza, kata pegawai kesihatan.
Tentera Israel turut melakukan serangan baru di selatan yang mencetuskan pertempuran sengit dengan kumpulan Hamas pada 3 Julai.
Pertempuran juga berterusan di dua lokasi di tengah Rafah yang menyaksikan kereta-kereta kebal Israel maju lebih jauh ke barat dan utara bandar itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg