NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata satu arahan oleh Israel kepada rakyat Palestin supaya meninggalkan kawasan di Khan Younis dan Rafah adalah perintah serupa itu yang terbesar di Jaluran Gaza sejak 1.1 juta penduduk diarah meninggalkan utara wilayah tersebut pada Oktober 2023.
Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata perintah pemindahan pada 1 Julai itu melibatkan sekitar sepertiga penduduk Gaza dan anggaran awal oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menunjukkan kira-kira 250,000 orang mungkin masih tinggal di kawasan tersebut.
Encik Dujarric berkata: “Pemindahan dalam skala besar-besaran seperti itu hanya akan meningkatkan penderitaan orang awam dan mendorong keperluan kemanusiaan yang lebih tinggi lagi.
“Orang ramai tiada pilihan dan terpaksa berpindah, ada kemungkinan besar telah berpindah buat kali kedua atau ketiga, ke kawasan yang hampir tidak mempunyai sebarang ruang atau perkhidmatan, atau tinggal di kawasan yang mereka tahu pertempuran sengit akan berlaku.”
Media asing sebelum ini melaporkan pertempuran sengit dan pengeboman berat melanda daerah Shejaia di Bandar Gaza sejak beberapa hari lalu – beberapa bulan selepas tentera Israel mengisytiharkan struktur Hamas di kawasan utara itu telah dimusnahkan.
Tentera Israel menyatakan serangan itu adalah bagi memerangi Hamas dan Jihad Islam di darat dan dalam terowong di kawasan tersebut.
Ia juga melaporkan pertempuran di tengah Gaza dan kawasan selatan Rafah, seminggu selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengisytiharkan “fasa sengit” perang yang meletus sejak 7 Oktober itu hampir berakhir.
Peperangan di Gaza meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan, termasuk orang awam dan askar.
Serangan yang dilancarkan oleh Israel sebagai tindak balas tetapi berterusan telah membunuh hampir 38,000 orang, menurut kementerian kesihatan Gaza, yang dikendalikan Hamas.
Malah, serangan tidak berkesudahan itu telah memusnahkan sebahagian besar Gaza dan meletakkan penduduk hidup dalam serba kekurangan, lebih-lebih lagi makanan, di wilayah yang dikepung Israel itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg