WASHINGTON/BAITULMAKDIS/BEIRUT: Gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah mula dilaksanakan pada 4 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Singapura) pada 27 November, selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata dua pihak itu akhirnya mencapai perjanjian yang diuruskan negaranya dan Perancis.
Namun, bunyi tembakan masih kedengaran di Beirut selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Tidak jelas sama ada tembakan itu bagi meraikan gencatan senjata tersebut, kerana ia juga digunakan untuk memberi amaran kepada penduduk yang mungkin terlepas amaran pemindahan oleh tentera Israel.
Deruan kereta mula menuju ke selatan Lebanon, yang bersempadan dengan Israel, selepas gencatan senjata awal dilaksanakan pada 27 November.
Gencatan senjata itu bertujuan menamatkan konflik merentasi sempadan Israel-Lebanon yang telah membunuh ribuan orang sejak ia tercetus, selari dengan perang Gaza pada Oktober 2023.
Encik Biden mengumumkan gencatan senjata itu di Rumah Putih pada 26 November sejurus selepas Kabinet Keselamatan Israel meluluskan perjanjian itu dalam undian 10-1.
Menurutnya, beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Perdana Menteri sementara Lebanon, Encik Najib Mikati.
Encik Mikati telah mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan perjanjian itu.
Encik Biden berkata: “Perjanjian ini bertujuan menghentikan permusuhan secara kekal. Hezbollah dan pertubuhan pengganas lain kini tidak akan dibenarkan mengancam keselamatan Israel lagi.”
Beliau menarik perhatian bahawa Israel akan secara beransur-ansur mengundurkan tenteranya dalam 60 hari sedang tentera Lebanon menguasai wilayah berhampiran sempadannya dengan Israel untuk memastikan Hezbollah tidak membina semula prasarananya di sana.
“Orang awam di kedua-dua pihak tidak lama lagi dapat kembali ke rumah masing-masing dengan selamat,” ujar Encik Biden.
Hezbollah tidak mengulas secara rasmi mengenai gencatan senjata itu, tetapi pegawai kanannya, Encik Hassan Fadlallah, memberitahu TV Al Jadeed Lebanon bahawa meskipun ia menyokong peluasan kuasa pemerintah Lebanon, kumpulan itu akan bangkit daripada peperangan sekarang untuk menjadi lebih kuat.
“Beribu-ribu akan menyertai penentangan... Melenyapkan penentangan adalah cadangan Israel yang gagal,” kata Encik Fadlallah, yang juga Anggota Parlimen Lebanon.
Iran, yang menyokong Hezbollah, kumpulan Palestin Hamas dan pemberontak Houthi di Yaman, berkata ia mengalu-alukan gencatan senjata itu.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata di wadah media sosial X perjanjian itu adalah “kemuncak usaha yang dilakukan selama beberapa bulan dengan pihak berkuasa Israel dan Lebanon, dengan kerjasama Amerika”.
Menteri Luar Lebanon, Encik Abdallah Bou Habib, berkata sekitar 5,000 askar negaranya akan ditempatkan di selatan Lebanon apabila tentera Israel berundur.
Encik Netanyahu berkata sedang beliau bersedia melaksanakan gencatan senjata, Israel akan bertindak balas secara keras terhadap sebarang pelanggaran oleh Hezbollah. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg