Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Roket Hezbollah ledak dekat Tel Aviv selepas Israel serang Beirut

Insiden susulan serangan udara besar-besaran Israel yang korbankan sekurang-kurangnya 29 orang di Beirut sehari sebelumnya
Nov 25, 2024 | 2:51 PM
Penduduk dan pegawai keselamatan Israel memeriksa kerosakan kenderaan dan bangunan akibat serangan roket yang dilancarkan dari Lebanon ke kawasan di Petah Tikva dekat ibu kota Tel Aviv pada 24 November.
Penduduk dan pegawai keselamatan Israel memeriksa kerosakan kenderaan dan bangunan akibat serangan roket yang dilancarkan dari Lebanon ke kawasan di Petah Tikva dekat ibu kota Tel Aviv pada 24 November. - Foto AFP

BAITULMAKDIS/BEIRUT: Hezbollah Lebanon melancarkan serangan roket ke atas Israel pada 24 November, dengan media Israel melaporkan bahawa sebuah bangunan dan beberapa kereta rosak akibat terkena roket itu di Tel Aviv.

Kejadian itu berlaku selepas serangan udara besar-besaran Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang di Beirut sehari sebelumnya.

Israel juga menyerang pinggiran selatan Beirut yang dikuasai Hezbollah dengan pengeboman yang telah diperhebat sejak dua minggu lalu.

Tindakan berbalas serangan itu berlaku sedang adanya tanda-tanda kemajuan dalam rundingan gencatan senjata yang diterajui Amerika Syarikat.

Hezbollah, yang sebelum ini berikrar untuk bertindak balas terhadap serangan ke atas Beirut dengan menyasarkan Tel Aviv, berkata ia telah melancarkan peluru berpandu jitu ke dua markas tentera di Tel Aviv dan berdekatan dengannya.

Polis berkata terdapat beberapa kesan serangan di kawasan Petah Tikvah, di timur Tel Aviv, dengan beberapa orang mengalami cedera ringan.

Rakaman televisyen menunjukkan sebuah apartmen rosak akibat tembakan roket di Petah Tikvah, dan video daripada perkhidmatan perubatan menunjukkan kereta terbakar.

Tentera Israel berkata Hezbollah telah menembak 250 roket ke Israel, kebanyakannya telah dipintas, dengan siren dilaungkan di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya empat orang cedera terkena serpihan.

Video yang diperoleh Reuters menunjukkan sebuah roket meledak apabila terkena bumbung sebuah bangunan di bandar Nahariya di utara Israel.

Tentera Israel memberi amaran di media sosial bahawa ia merancang menyasarkan kemudahan Hezbollah di selatan Beirut sebelum serangan yang ujar sumber keselamatan di Lebanon telah merobohkan dua blok pangsapuri.

Angkatan Tentera Israel (IDF) berkata ia telah menyerang pusat arahan yang terletak di antara bangunan awam.

Pada 24 November, tentera Israel berkata ia melakukan serangan terhadap 12 pusat perintah Hezbollah di pinggir bandar Dahiyeh di selatan Beirut.

Pada 23 November, ia telah melakukan salah satu serangan paling dahsyat di pusat bandar Beirut.

Kementerian Kesihatan Lebanon pada 24 November telah menaikkan angka kematian daripada 20 kepada 29 orang.

Ia berkata 84 orang terbunuh kesemuanya pada 23 November, menjadikan jumlah kematian kepada 3,754 sejak Oktober 2023.

IDF tidak mengulas mengenai serangan 23 November di ibu kota Lebanon itu atau menyatakan apa yang telah diserangnya.

Israel melancarkan serangan terhadap Hezbollah yang disokong Iran pada September, menggempur wilayah selatan, Lembah Bekaa dan pinggir selatan Beirut dengan serangan udara selepas hampir setahun permusuhan dicetuskan oleh perang Gaza.

Dalam pada itu, cadangan gencatan senjata yang diusahakan Amerika kini menanti maklum balas Israel.

Serangan Israel telah menyebabkan lebih 1 juta orang terpaksa berpindah di Lebanon.

Israel berkata matlamatnya adalah untuk memastikan pemulangan puluhan ribu penduduknya yang terpaksa dipindahkan dari kawasan utara Israel akibat serangan roket Hezbollah, yang melepaskan tembakan menyokong Hamas pada permulaan perang Gaza pada Oktober 2023.

Perantara Amerika, Encik Amos Hochstein, menyatakan terdapat kemajuan dalam rundingan gencatan senjata semasa lawatan ke Beirut minggu lalu, sebelum beliau pergi menemui Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, dan kemudian kembali ke Washington.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Encik Josep Borrell, berkata cadangan gencatan senjata Amerika sedang menunggu kelulusan akhir daripada Israel.

“Kita mesti menggesa pemerintah Israel dan mengekalkan tekanan ke atas Hezbollah agar menerima cadangan gencatan senjata,” katanya di Beirut selepas bertemu pegawai Lebanon pada 24 November.

Tentera Lebanon berkata pada 24 November bahawa sekurang-kurangnya seorang askarnya terbunuh dan 18 lagi cedera dalam serangan Israel yang menyebabkan kerosakan besar di sebuah markas tentera di Al-Amiriya dekat bandar selatan Tyre.

Tentera Israel berkata ia kesal dan sedang menyiasat kejadian itu, dan menekankan bahawa ia memerangi Hezbollah, bukan tentera Lebanon. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg