BAITULMAKDIS/BEIRUT: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dijangka mengumumkan gencatan senjata di Lebanon antara Hezbollah dengan Israel tidak lama lagi, kata empat sumber kanan Lebanon pada 25 November.
Di Washington, jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, Encik John Kirby, berkata bahawa “kami sudah dekat” tetapi “tiada apa yang akan dilakukan sehingga semuanya selesai”.
Encik Macron berkata perbincangan mengenai gencatan senjata telah mencapai kemajuan ketara.
Di Baitulmakdis, seorang pegawai kanan Israel berkata Kabinet Israel dijadual bertemu pada 26 November untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata dengan Hezbollah.
Tanda-tanda kejayaan diplomatik itu disertai dengan serangan udara Israel yang hebat di pinggir selatan Beirut yang dikuasai Hezbollah, ketika Israel meneruskan serangan yang dilancarkan pada September selepas hampir setahun permusuhan rentas sempadan.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, enggan mengulas mengenai laporan bahawa Israel dan Lebanon telah bersetuju dengan teks perjanjian.
Tetapi pegawai kanan Israel memberitahu agensi berita Reuters bahawa mesyuarat Kabinet pada 26 November bertujuan meluluskan teks itu.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Danny Danon, berkata Israel akan mengekalkan keupayaan untuk menyerang selatan Lebanon di bawah sebarang kerangka perjanjian.
Lebanon sebelum ini telah membantah perkataan yang akan memberi hak sedemikian kepada Israel.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Matthew Miller, berkata jurang antara kedua-dua pihak telah mengecil dengan ketara, tetapi masih terdapat langkah yang perlu mereka ambil untuk mencapai persetujuan.
“Selalunya peringkat terakhir perjanjian adalah yang paling sukar kerana isu paling rumit biasanya dibiarkan hingga ke penghujungnya. Kami berusaha sedaya mungkin,” tambahnya.
Usaha diplomasi bertujuan mendesak Hezbollah, yang disokong Iran, bersama Israel agar menamatkan pertempuran yang meletus pada Oktober 2023 selari dengan perang Israel terhadap Hamas di Gaza.
Konflik di Lebanon telah meningkat secara drastik sejak dua bulan lalu.
Di Beirut, Timbalan Speaker Parlimen Lebanon, Encik Elias Bou Saab, berkata bahawa “tiada lagi halangan serius” untuk mula melaksanakan gencatan senjata yang diusulkan Amerika “melainkan Encik Netanyahu mengubah fikirannya”.
Beliau berkata cadangan itu akan melibatkan pengunduran tentera Israel dari selatan Lebanon dan tentera tetap Lebanon yang ditempatkan di wilayah sempadan, yang merupakan kubu kuat Hezbollah, dalam tempoh 60 hari.
Persoalan mengenai siapakah yang akan memantau pematuhan gencatan senjata diselesaikan dalam tempoh 24 jam terakhir.
Terdapat persetujuan untuk menubuhkan jawatankuasa lima negara, termasuk Perancis dan dipengerusikan Amerika, jelas beliau.
Di sebalik terdapat kemajuan diplomatik, Israel melakukan serangan udara yang telah membunuh sekurang-kurangnya 29 orang di tengah Beirut, manakala Hezbollah melancarkan serangan roket terbesarnya ke Israel pada 24 November.
Di Beirut, serangan udara Israel meratakan lebih banyak kawasan pinggir selatan yang dikuasai Hezbollah pada 25 November.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata serangan Israel membunuh 31 orang dan mencederakan 62 di seluruh negara pada 25 November.
Sepanjang setahun lalu, lebih 3,750 orang telah terbunuh dan lebih sejuta warga Lebanon terpaksa berpindah ke tempat lebih selamat, kata kementerian itu.
Israel memberi tamparan hebat kepada Hezbollah, membunuh pemimpinnya Encik Hassan Nasrallah, dan komander tertinggi lain, dan menyebabkan kemusnahan besar di Lebanon.
Israel berkata serangan tenteranya bertujuan membolehkan puluhan ribu rakyat Israel pulang ke rumah mereka apabila Hezbollah mula melepaskan tembakan merentasi sempadan Lebanon ke Israel lebih setahun lalu.
Utusan Amerika ke Timur Tengah, Encik Brett McGurk, dijadual berada di Arab Saudi pada 26 November untuk berbincang mengenai potensi gencatan senjata di Lebanon sebagai pemangkin bagi perjanjian menamatkan permusuhan di Gaza, kata Rumah Putih. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg