GAZA/TEL AVIV: Perjanjian gencatan senjata antara Hamas dengan Israel menyaksikan pembebasan tiga tebusan Israel oleh Hamas dan 90 tahanan Palestin oleh Israel, menandakan berakhirnya perang 15 bulan yang telah memusnahkan Gaza dan mencetuskan ketegangan di seluruh Timur Tengah.
Tiga tebusan wanita Israel yang dibebaskan pada 19 Januari di Gaza disatukan semula dengan keluarga mereka manakala sorakan, nyanyian dan bunyi hon kereta mengiringi dua bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel pada 20 Januari, memeriahkan suasana di bandar Beitunia, Tebing Barat, yang diduduki.
Bas tersebut membawa sebahagian daripada 90 tahanan yang dibebaskan susulan perjanjian gencatan senjata Gaza yang bermula 19 Januari.
Di Gaza, penduduk mula pulang ke kawasan kejiranan yang musnah akibat serangan untuk memulakan usaha membina semula kehidupan mereka.
Trak bantuan kemanusiaan tiba membawa bekalan penting yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza, di mana hampir keseluruhan populasi 2.3 juta orang kini kehilangan tempat tinggal.
Dalam suasana penuh emosi, ramai meluahkan kelegaan walaupun kesengsaraan perang masih terasa.
Di Ramallah, Tebing Barat, ribuan orang berkumpul untuk menyambut pembebasan tahanan Palestin. Hamas melaporkan bahawa 69 wanita dan 21 remaja lelaki dari Tebing Barat dan Baitulmakdis termasuk dalam senarai mereka yang dibebaskan.
Sorakan kegembiraan bergema, dan bunga api dilancarkan untuk meraikan kemenangan simbolik tersebut.
Seorang tahanan wanita, yang tidak mahu dikenali, berkata: “Kebebasan ini adalah hadiah buat kami semua, tetapi hati kami masih bersama saudara-mara yang kekal di penjara.”
Di Tel Aviv, suasana penuh emosi menyelubungi keluarga tiga tebusan Israel – Cik Romi Gonen, Cik Doron Steinbrecher dan Cik Emily Damari – yang dibebaskan oleh Hamas. Ketiga-tiga wanita itu disambut dengan pelukan erat anggota keluarga di Pusat Perubatan Sheba, di mana mereka juga menjalani pemeriksaan kesihatan.
Dalam sebuah video yang dikeluarkan oleh pihak tentera Israel, mereka kelihatan dalam keadaan baik. Cik Emily Damari, yang kehilangan dua jari akibat ditembak ketika diculik, mengangkat tangan yang berbalut sambil tersenyum, menunjukkan semangat yang tidak luntur.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang turut menyampaikan mesej penghargaan melalui telefon, berkata: “Seluruh negara menyambut kepulangan anda. Selamat pulang ke tanah air.”
Di dataran awam di Tel Aviv, ribuan rakyat berkumpul menyaksikan detik-detik menyentuh hati itu melalui siaran langsung, dengan ramai yang menangis kegembiraan.
Di tengah-tengah suasana kegembiraan, kehancuran akibat perang masih jelas kelihatan di Gaza.
Penduduk yang kembali ke kawasan kejiranan mendapati rumah mereka tidak lagi wujud, hanya runtuhan dan serpihan logam yang tinggal.
Cik Aya, seorang penduduk Gaza, berkata: “Saya rasa seperti menemui air selepas tersesat di gurun. Tetapi hati saya masih pilu melihat kehancuran ini.”
Lebih 47,000 penduduk Palestin terkorban dalam serangan Israel sepanjang konflik ini, menurut pegawai kesihatan di Gaza. Selain itu, lebih 400 tentera Israel turut kehilangan nyawa.
Gencatan senjata ini membawa kelegaan sementara, tetapi ramai yang ragu-ragu dengan masa depan Gaza tanpa pelan pemulihan yang jelas.
Gencatan senjata ini bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk, tetapi juga mencetuskan perbalahan politik di Israel. Menteri Keselamatan Nasional, Encik Itamar Ben-Gvir, meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan terhadap gencatan senjata, manakala Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, mengancam untuk menarik diri dari pemerintah jika Hamas tidak dimusnahkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, di Gaza, kumpulan Hamas kembali muncul di kawasan awam. Di Khan Younis, mereka disambut dengan sorakan, dan suara-suara lantang menegaskan perjuangan masih belum selesai. Seorang pejuang berkata, “Kami tetap berdiri meskipun Netanyahu cuba memadamkan semangat kami.”
Walaupun gencatan senjata ini membawa sedikit kelegaan, ramai penduduk Gaza merasa bahawa ini bukan masanya untuk meraikannya. Encik Ahmed Abu Ayham, seorang penduduk Bandar Gaza meluahkan, “Kami kehilangan terlalu banyak. Kehancuran ini membuatkan kami sedar bahawa masa untuk membina semula akan menjadi sangat panjang. Kami hanya mahu hidup dalam keamanan.”
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, pada hari terakhir pemerintahannya, turut menyambut baik gencatan senjata itu, menyifatkannya sebagai kejayaan usaha diplomasi.
Namun, masa depan gencatan senjata ini bergantung kepada pelaksanaan perjanjian dan sejauh mana kedua-dua pihak mampu menahan diri daripada mencetuskan semula konflik. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg