Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kedamaian sementara di Gaza selepas gencatan senjata ditangguh

Jan 19, 2025 | 2:17 PM
Rakyat Palestin berjalan di pasar sebelum gencatan senjata antara Israel dan Hamas dijadual berkuat kuasa di Khan Younis, Gaza pada 19 Januari.
Rakyat Palestin berjalan di pasar sebelum gencatan senjata antara Israel dan Hamas dijadual berkuat kuasa di Khan Younis, Gaza pada 19 Januari. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS/KAHIRAH: Israel berkata kedamaian sementara antara pihaknya dengan Hamas bermula pada 9.15 pagi GMT (5.15 petang waktu Singapura) 19 Januari, hampir tiga jam selepas gencatan senjata dijadual bermula tetapi ditangguh.

Semasa penangguhan itu, agensi pertahanan awam Gaza berkata serangan Israel telah membunuh lapan orang.

Penangguhan gencatan senjata dan keganasan terbaru itu berlaku selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu meminta sejam sebelum batas waktu 6.30 pagi GMT, untuk senarai nama tiga tebusan yang akan dibebaskan Hamas pada 19 Januari sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.

Hamas berkata penangguhan itu berlaku atas “sebab teknikal”,serta “kerumitan situasi di lapangan dan pengeboman berterusan”, sebelum akhirnya menerbitkan nama tiga wanita Israel yang bakal dibebaskan.

Israel mengesahkan telah menerima senarai itu dan memeriksa butiran, sebelum mengesahkan kemudian bahawa kedamaian sementara akan bermula pada 11.15 pagi waktu tempatan.

Pembebasan tebusan dijangka berlaku sejurus selepas gencatan senjata dijadual dimulakan.

Jurucakap tentera Israel berkata dalam kenyataan pada 6.30 pagi GMT, ketika gencatan senjata dijadualkan bermula, bahawa Hamas tidak menepati perjanjiannya.

Jurucakap itu juga menyatakan Israel akan meneruskan serangan selagi Hamas tidak memenuhi tuntutannya.

Pasukan Israel mula menarik diri dari kawasan di Rafah, Gaza ke Koridor Philadelphi sepanjang sempadan antara Mesir dengan Gaza, lapor media pro-Hamas pada 19 Januari.

Letupan kedengaran di Gaza hingga batas waktu perjanjian penguatkuasaan gencatan senjata.

Pada 8.30 pagi waktu tempatan, orang-orang di Gaza bersorak dan terdengar beberapa tembakan dilepaskan ke udara di bandar Khan Younis di selatan.

Tentera Israel memberi amaran kepada orang ramai di Gaza supaya tidak mendekati tentera Israel atau bergerak di sekitar kawasan Palestin sebelum gencatan senjata bermula. 

Mereka juga berkata apabila pergerakan dibenarkan, “kenyataan dan arahan mengenai cara bergerak dengan selamat akan dikeluarkan”.

Perjanjian untuk gencatan senjata sebelum ini dicapai berikutan rundingan berbulan-bulan yang dipimpin oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat, dan berlaku tepat sebelum pelantikan bakal Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 20 Januari.

Gencatan senjata tiga peringkat ini sepatutnya berkuat kuasa pada 0630 GMT (2.30 petang waktu Singapura) pada 19 Januari.

Peringkat pertama dijadual berlangsung selama enam minggu, melibatkan seramai 33 daripada 98 tebusan – wanita, kanak-kanak, lelaki berusia 50 tahun dan ke atas, orang sakit dan cedera – akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan dan banduan Palestin.

Tahanan yang dibebaskan termasuk seramai 737 lelaki, wanita dan remaja, sebahagiannya anggota kumpulan yang disabitkan dengan serangan yang membunuh puluhan rakyat Israel serta ratusan rakyat Palestin dari Gaza yang ditahan sejak permulaan perang.

Seramai tiga tebusan wanita sepatutnya dibebaskan pada petang 19 Januari melalui Palang Merah, sebagai pertukaran untuk 30 tahanan setiap seorang.

Selepas pembebasan tebusan yang dijadual pada 19 Januari, perunding utama Amerika, Encik Brett McGurk, berkata perjanjian itu menetapkan empat tebusan wanita lagi akan dibebaskan selepas tujuh hari, diikuti dengan pembebasan tiga tebusan lagi setiap tujuh hari seterusnya.

Pasukan Presiden Amerika Joe Biden bekerjasama rapat dengan utusan Timur Tengah Encik Trump, Encik Steve Witkoff, untuk memastikan perjanjian ini tercapai.

Jika perang diteruskan, puluhan tebusan mungkin tertinggal di Gaza.

Israel menghadapi kecaman dan pengasingan antarabangsa akibat kematian dan kemusnahan di Gaza. 

Encik Netanyahu berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan jenayah perang dan tuduhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Kempen Israel selama 15 bulan di Gaza telah mengorbankan hampir 47,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg