Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Junta Myanmar isytihar gencatan senjata

Apr 3, 2025 | 12:16 PM
Seorang ibu yang menggendong anaknya dan beberapa yang lain sedang menunggu bantuan kemanusiaan di Sagaing, Myanmar, pada 2 April.
Seorang ibu yang menggendong anaknya dan beberapa yang lain sedang menunggu bantuan kemanusiaan di Sagaing, Myanmar, pada 2 April. - Foto REUTERS

BANGKOK: Tentera pemerintah Myanmar telah mengisytiharkan gencatan senjata sementara dalam perang saudara di negara itu pada 2 April.

Langkah itu bagi memudahkan usaha bantuan berikutan gempa bumi sekuat 7.7 mengikut skala Richter yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa.

Pengumuman mengejut pemimpin tentera yang juga mengetuai pemerintah yang tidak dipilih itu dibuat menerusi televisyen negara MRTV.

Pendekatan itu berkuat kuasa hingga 22 April.

Ia menyusuli gencatan senjata sementara sepihak yang diumumkan oleh kumpulan penentang bersenjata sebelum ini.

Kumpulan hak asasi manusia dan beberapa pemerintah asing sebelum ini mengecam junta kerana terus melakukan serangan udara walaupun negara itu bergelut dengan masalah menangani pascagempa bumi itu.

Junta berkata dalam satu kenyataan bahawa gencatan senjata itu mempunyai “tujuan mempercepat usaha bantuan dan pembinaan semula serta mengekalkan keamanan dan kestabilan”.

Pengumuman itu dibuat selepas laporan mengenai serangan terhadap konvoi bantuan Palang Merah China pada malam 1 Mac, ketika kempen serangan udara terhadap kumpulan penentang.

Junta yang merampas kuasa pada 2021 turut memberi amaran kepada kumpulan itu agar tidak melakukan sebarang gangguan.

Tetapi ia memberi amaran kepada penentangnya – rangkaian kompleks kumpulan bersenjata prodemokrasi dan etnik minoriti – ia akan tetap bertindak balas terhadap serangan, tindakan sabotaj atau “mengumpul, mengatur dan mengembangkan wilayah yang akan menjejas keamanan”.

Junta turut memaklumkan bahawa Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, dijadual berkunjung ke Bangkok pada 3 April untuk menghadiri sidang puncak negara Asia Selatan yang turut disertai Myanmar dan Thailand.

Beliau dijangka membincangkan tindak balas gempa pada sidang puncak itu.

Ia adalah perjalanan asing yang jarang berlaku bagi pemimpin itu dan merupakan rampasan kuasa diplomatik, kerana ia melanggar dasar serantau yang tidak menjemput pemimpin junta ke acara besar berikutan rampasan kuasa tentera.

Gempa melanda pada tengah hari 28 Mac, meruntuhkan beribu-ribu bangunan dan jambatan.

Angka kematian meningkat kepada 3,003 pada 2 April, dengan lebih 4,500 orang cedera, lapor MRTV.

Tragedi itu memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah teruk akibat perang saudara Myanmar, yang menyebabkan lebih tiga juta orang hilang tempat tinggal.

Penyelamat menarik dua lelaki hidup dari runtuhan sebuah hotel di Naypyitaw, ibu negara Myanmar, pada awal pagi 2 April dan seorang lagi di Mandalay, lima hari selepas gempa itu.

Di Naypyitaw, sepasukan pekerja penyelamat Turkey dan tempatan menggunakan kamera endoskopik untuk mengesan seorang mangsa, Encik Naing Lin Tun, di tingkat bawah hotel yang musnah itu.

Mereka menariknya keluar dengan berhati-hati melalui lubang selepas beliau terperangkap hampir 108 jam di bawah runtuhan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg