Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gencatan senjata Russia-Ukraine gagal

Apr 21, 2025 | 1:17 PM
gencatan senjata ukraine, Dnipropetrovsk
Anggota tentera Briged Mekanikal Berasingan ke-33 Angkatan Tentera Ukraine menghadiri acara Easter bersama seorang paderi tentera berhampiran kawasan barisan hadapan di wilayah Dnipropetrovsk, Ukraine, pada 20 April. Upacara itu berlangsung di tengah-tengah pencerobohan berterusan oleh Russia yang bermula sejak 24 Februari 2022, yang mencetuskan kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan. - Foto EPA-EFE

MOSCOW: Harapan untuk meredakan ketegangan sempena sambutan Hari Easter lenyap apabila Russia dan Ukraine saling menuduh telah melanggar ribuan kali gencatan senjata yang hanya berlangsung sehari.

Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, sebelum ini mengarahkan penghentian semua kegiatan ketenteraan sepanjang barisan hadapan bermula 19 April hingga tengah malam 20 April (waktu Moscow), namun tidak memberikan arahan untuk melanjutkannya.

Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, ketika ditanya sama ada gencatan itu akan disambung, menjawab ringkas: “Tiada arahan lain,” seperti dilaporkan agensi berita Russia, TASS.

Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menyatakan tenteranya mencatat hampir 3,000 pelanggaran terhadap janji gencatan senjata oleh pihak Russia dalam tempoh 24 jam tersebut.

“Kami mengarahkan pasukan Ukraine agar bertindak balas hanya apabila diserang. Jika mereka diam, kami juga akan diam,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui aplikasi Telegram.

Menurut Encik Zelensky, kawasan yang paling teruk terjejas ialah bahagian timur negara itu, khususnya berhampiran bandar Pokrovsk yang telah lama menjadi medan pertempuran antara kedua-dua pihak.

Walaupun tidak terdapat sebarang amaran serangan udara pada 20 April, sebaik sahaja tengah malam 21 April tiba, tentera udara Ukraine mengeluarkan amaran serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah timur dan tenggara negara itu.

Ini menunjukkan kegiatan ketenteraan terus berjalan walaupun terdapat pengumuman rasmi mengenai gencatan senjata.

Beberapa askar Ukraine yang ditemui Reuters di medan tempur menyuarakan rasa sangsi mereka terhadap sebarang pengumuman dari Moscow.

“Tiada petanda pun bahawa gencatan senjata sedang berlaku,” kata Encik Dmytro, 24 tahun, dari Briged Mekanikal Berasingan ke-93 Kholodnyi Yar.

Seorang lagi askar, Encik Serhii, 22 tahun, menyifatkan pengumuman gencatan itu hanyalah taktik politik.

“Gencatan itu hanya diumumkan untuk menunjukkan kepada dunia seolah-olah mereka mahu berunding. Tapi di barisan hadapan, semuanya masih sama. Saya fikir ini adalah satu pembohongan terang-terangan, seperti yang selalu berlaku,” katanya.

Presiden Zelensky beberapa kali mengulangi kesediaan Ukraine untuk melaksanakan gencatan senjata selama 30 hari, dengan syarat Russia menghentikan serangan ke atas sasaran awam termasuk pelancaran dron dan peluru berpandu.

Beliau menyifatkan tiadanya amaran serangan udara pada 20 April boleh menjadi permulaan kepada “format gencatan senjata sebenar”.

“Jika Russia benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya menghentikan serangan ke atas penduduk awam selama sekurang-kurangnya sebulan.

“Jika mereka enggan, itu bukti mereka memang mahu meneruskan perang dan memusnahkan lebih banyak nyawa,” kata Encik Zelensky.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia mendakwa Ukraine telah melanggar gencatan lebih 1,000 kali, termasuk menembak kedudukan tentera Russia 444 kali dan melancarkan lebih 900 serangan dron, termasuk ke atas Crimea dan wilayah sempadan Russia seperti Bryansk, Kursk dan Belgorod.

“Akibat serangan ini, terdapat kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam serta kerosakan serius pada prasarana awam,” kata kenyataan kementerian tersebut.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan daripada kedua-dua pihak mengenai jumlah pelanggaran atau korban.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang telah melancarkan inisiatif rundingan damai, menyatakan beliau masih optimistik walaupun pelaksanaan gencatan gagal.

“Saya harap satu perjanjian akan dicapai minggu ini,” kata Encik Trump kepada wartawan di Washington.

Bagaimanapun, Encik Trump dan Setiausaha Negaranya, Encik Marco Rubio, turut memberi amaran pada 18 April bahawa Amerika akan menarik diri daripada rundingan damai jika tiada kemajuan ketara dicapai.

Pada Mac, Ukraine bersetuju dengan cadangan Encik Trump untuk melaksanakan gencatan 30 hari, tetapi Encik Putin menangguhkan persetujuan dengan alasan isu pengesahan belum diselesaikan.

Dalam kenyataan terbaru, Encik Trump menyatakan penyelesaian damai boleh membuka peluang ekonomi besar. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg