Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rundingan AS-Ukraine di Riyadh selesai dengan nada positif, Russia sedia sertai perbincangan

Mar 24, 2025 | 2:23 PM
Gambar yang diambil pada 23 Mac 2025 ini menunjukkan pemandangan Hotel Ritz-Carlton di Riyadh, lokasi rundingan yang berlangsung dengan pengantaraan Amerika Syarikat bagi mencapai gencatan senjata dalam perang antara Russia dan Ukraine. Pegawai Amerika dan Ukraine bertemu di Arab Saudi pada 23 Mac untuk membincangkan gencatan senjata separa, dengan Washington berharap akan tercapai “kemajuan sebenar”, manakala Kremlin pula memberi amaran tentang “rundingan yang sukar” dan perjalanan panjang ke arah perdamaian.
Gambar yang diambil pada 23 Mac 2025 ini menunjukkan pemandangan Hotel Ritz-Carlton di Riyadh, lokasi rundingan yang berlangsung dengan pengantaraan Amerika Syarikat bagi mencapai gencatan senjata dalam perang antara Russia dan Ukraine. Pegawai Amerika dan Ukraine bertemu di Arab Saudi pada 23 Mac untuk membincangkan gencatan senjata separa, dengan Washington berharap akan tercapai “kemajuan sebenar”, manakala Kremlin pula memberi amaran tentang “rundingan yang sukar” dan perjalanan panjang ke arah perdamaian. - Foto AFP

RIYADH: Rundingan antara pegawai Amerika Syarikat dan Ukraine berakhir malam 23 Mac di Riyadh dengan suasana yang digambarkan sebagai “produktif dan fokus”, ketika usaha untuk meredakan perang tiga tahun antara Ukraine dan Russia memasuki fasa penting.

Delegasi Rusia pula dijadualkan memulakan sesi perbincangan mereka dengan pihak Amerika pada 24 Mac.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dilaporkan mendesak agar peperangan ini ditamatkan segera, dan meletakkan harapan tinggi agar rundingan di Arab Saudi mampu membuka jalan ke arah gencatan senjata menyeluruh. Namun Kremlin mengingatkan bahawa rundingan ini akan menjadi “sulit dan mencabar”.

Rundingan antara Ukraine dan Amerika, yang diketuai Menteri Pertahanan Ukraine, Encik Rustem Umerov, berlangsung secara berasingan dari rundingan Russia demi mengelakkan ketegangan langsung.

Encik Umerov menyatakan bahawa antara fokus utama ialah perlindungan terhadap kemudahan tenaga dan infrastruktur kritikal.
“Perbincangan ini produktif dan fokus, kami membincangkan perkara utama termasuk isu tenaga. Ukraine komited untuk merealisasikan matlamat keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Encik Umerov menerusi kenyataan di media sosial.

Dalam ucapan pada sebelah malamnya, Presiden Ukraine Encik Volodymyr Zelensky menuduh Russia sebagai pihak yang berterusan melanjutkan perang.

“Tidak kira apa yang kita bincangkan dengan rakan antarabangsa, kita perlu desak Putin hentikan serangan. Pihak yang memulakan perang ini mesti bertanggungjawab mengakhirinya,” ujar Encik Zelensky.

Delegasi Rusia tiba di Riyadh pada 23 mac dan akan memulakan rundingan pada 24 Mac. Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, menegaskan bahawa rundingan ini masih di peringkat awal dan banyak isu teknikal perlu diperhalusi, termasuk syarat gencatan senjata yang dicadangkan oleh kedua-dua belah pihak.

Presiden Vladimir Putin dikatakan menolak cadangan Amerika-Ukraine untuk gencatan senjata penuh selama 30 hari, sebaliknya hanya bersetuju menghentikan serangan ke atas fasiliti tenaga.

“Kita masih di awal jalan perundingan ini. Banyak persoalan belum terjawab,” kata Encik Peskov dalam wawancara yang disiarkan televisyen pemerintah Russia.
Fokus utama rundingan Russia-Amerika pada 24 Mac ini ialah kemungkinan menyambung semula perjanjian bijirin Laut Hitam 2022, yang sebelum ini menjamin laluan selamat untuk eksport pertanian Ukraine.

Russia menarik diri dari perjanjian itu pada 2023 selepas menuduh Barat gagal melonggarkan sekatan terhadap eksport pertanian dan baja dari Russia.
“Presiden Putin bersetuju untuk kembali kepada inisiatif Laut Hitam, dan delegasi kami bersedia membincangkan butiran teknikal yang berkaitan,” kata Encik Peskov.

Walaupun rundingan sedang berlangsung, serangan terus dilancarkan. Ukraine melaporkan serangan dron Russia membunuh tiga orang awam di Kyiv, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan bapanya. Tentera udara Ukraine berkata, sebanyak 147 dron dilancarkan oleh Russia dalam serangan terkini.

Di pihak Rusia pula, pihak berkuasa mendakwa berjaya menangkis hampir 60 serangan dron Ukraine. Seorang lelaki maut di wilayah Rostov selepas keretanya terbakar akibat serpihan dron, manakala seorang wanita terbunuh di wilayah sempadan Belgorod.

Tentera Ukraine turut mengesahkan kejayaan menawan sebuah kampung kecil di wilayah timur Lugansk, satu kemenangan kecil yang amat bermakna dalam keadaan medan perang yang semakin sukar untuk Kyiv.

Utusan Presiden Trump, Encik Steve Witkoff, menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian awal di Riyadh mampu menjadi batu loncatan ke arah gencatan senjata menyeluruh.
“Saya percaya kita akan lihat kemajuan sebenar di Riyadh hari ini (24 Mac), khususnya melibatkan gencatan senjata di Laut Hitam. Dari situ, kita akan menuju ke arah gencatan senjata penuh,” katanya kepada Fox News.

Walau begitu, Kremlin tetap menegaskan bahawa hasil segera tidak boleh dijangka.
“Kami mungkin tidak sependapat dalam beberapa isu, tetapi itu tidak bermakna kami harus menolak manfaat bersama,” kata Encik Peskov. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg