SEOUL: Korea Utara telah menghantar tambahan 3,000 tentera ke Russia antara Januari dan Februari 2025 serta meneruskan penghantaran peluru berpandu, meriam dan peluru ke medan perang Ukraine, menurut kenyataan dari Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) pada 27 Mac.
Penghantaran ini menjadikan jumlah keseluruhan tentera Korea Utara yang dikerahkan ke Rusia sejak konflik bermula pada 2022 kepada lebih 14,000 orang. “Dianggarkan bahawa seramai 3,000 anggota tambahan dihantar sebagai pasukan pengukuhan,” kata JCS. Tambahnya lagi, seramai 4,000 daripada 11,000 tentera awal telah terbunuh atau cedera dalam pertempuran.
Korea Selatan menyatakan bahawa Pyongyang bukan sahaja menghantar tenaga manusia, malah turut menyumbangkan bekalan senjata secara berterusan. “Korea Utara masih membekalkan peluru berpandu, kelengkapan artileri dan peluru,” menurut laporan rasmi JCS.
“Setakat ini, Korea Utara dipercayai telah membekalkan sejumlah besar peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM), sekitar 220 unit meriam bergerak sendiri 170mm dan pelancar roket berganda 240mm,” tambah laporan itu.
Laporan itu juga memberi amaran bahawa jumlah bekalan senjata ini dijangka meningkat bergantung kepada perkembangan medan perang. Hubungan rapat antara Pyongyang dan Moscow semakin kukuh selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian pertahanan bersama yang meliputi klausa pembelaan bersama pada tahun 2024, semasa lawatan Presiden Vladimir Putin ke Korea Utara.
Menurut Profesor Yang Moo-jin dari Universiti Kajian Korea Utara, kehadiran tentera Korea Utara di Russia memberi mereka peluang berharga untuk memahami bentuk peperangan moden, termasuk penggunaan dron. “Ini sebahagian daripada rancangan pembangunan pertahanan lima tahun Korea Utara yang kini memberi tumpuan kepada sistem senjata tanpa pemandu,” katanya kepada AFP.
Kebimbangan juga meningkat apabila media pemerintah Korea Utara melaporkan bahawa pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un pada 27 Mac menyaksikan ujian dua jenis dron baharu – dron intipan strategik dan dron bunuh diri – yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan.
Laporan KCNA menyebut dron intipan itu mampu “menjejaki dan memantau sasaran strategik serta pergerakan tentera musuh di darat dan laut,” manakala dron bunuh diri pula menunjukkan keupayaan serangan untuk pelbagai misi taktikal.
Encik Kim turut memuji prestasi kedua-dua dron tersebut dan meluluskan rancangan untuk “memperluas kapasiti pengeluaran” senjata tersebut. Korea Utara pertama kali memperkenalkan dron serangannya pada Ogos 2024, dan ramai penganalisis percaya kemajuan ini dipengaruhi oleh hubungan ketenteraan rapat dengan Russia.
“Pengalaman di medan perang serta hubungan teknologi dengan Rusia kemungkinan menjadi pemangkin bagi Kim Jong Un mempercepat pembangunan dron tempurnya,” ujar Profesor Yang. “Selain mendapatkan pengalaman tempur sebenar, mereka juga mungkin berusaha menimba teknologi Russia bagi memperkukuh industri ketenteraan domestik,” ujarnya lagi.
Menurut JCS, Korea Utara dilihat berusaha menambah pengeluaran dron secara besar-besaran selepas Encik Kim mengarahkan pengeluaran meluas dron serangan pada penghujung 2024. Dron ini direka untuk membawa bahan letupan dan menghentam sasaran seperti peluru berpandu.
“Kerjasama senyap Korea Utara dan Rusia ini bukan sekadar transaksi senjata – ia mencerminkan percaturan geopolitik yang lebih besar, dan Korea Selatan tidak boleh mengambil ringan,” tegas Mejar Jeneral (B) Choi Jin-wook, pakar keselamatan dari Seoul. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg