GAZA: Angka kematian di Jaluran Gaza sudah mencecah lebih 13,000 orang dan keperitan dua juta pelarian Palestin yang terperangkap di wilayah yang dilanda konflik itu menyemarakkan gesaan dilaksana segera gencatan senjata peperangan antara Israel dengan Hamas.
Wakil pihak terlibat bekerja sepanjang masa sejak berminggu-minggu bagi mencapai perjanjian semasa rundingan rumit yang masih berlangsung di Qatar.
Israel melancarkan serangan udara dan darat terhadap Hamas di Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan itu di selatan Israel pada 7 Oktober, yang membunuh lebih 1,400 orang dan menawan lebih 240 orang sebagai tebusan.
Hamas pada Rabu memaklumkan ia telah mencapai kesepakatan dengan Israel bagi gencatan senjata selama empat hari, dengan Qatar dan Mesir menjadi perantara, selepas 46 hari konflik berdarah di kawasan yang dikepung Israel.
Bagaimanapun, belum ada jaminan akan sebarang kelegaan segera bagi beribu-ribu rakyat Palestin yang terusir dari rumah mereka di Gaza mahupun berpuluh-puluh keluarga Israel yang amat mengharap orang tersayang mereka yang dijadikan tebusan oleh Hamas kembali ke pangkuan mereka.
Penerbit stesen CBS News, Encik Marwan al-Ghoul, bertemu beberapa keluarga Palestin yang berteduh dalam khemah kecil di Gaza, dengan anak-anak mereka menggigil kesejukan.
“Jika mereka mahu mengusir kami dari rumah dan tanah kami, mengapa mereka tidak membina kem untuk kami?” tanya seorang ibu tentang operasi ketenteraan Israel yang hanya menyasarkan kumpulan Hamas.
“Kami tidak mempunyai makanan... tiada sekeping roti pun selama tiga hari. Kami tidak mempunyai air pun,” kata wanita itu sedang hujan membasahi kawasan khemahnya yang becak dan berlumpur.
Hujan turun selama beberapa hari dan cuaca semakin sejuk – ketika menunggu berita mengenai gencatan senjata yang sekurang-kurangnya membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa ke Gaza.
Di seberang sempadan di Israel, keluarga lebih 240 tebusan yang ditahan Hamas juga berharap perjanjian dapat dicapai sesegera mungkin.
Di hadapan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Israel, beberapa keluarga yang berhimpun menuntut seseorang melakukan sesuatu untuk membebaskan tebusan.
Cik Hadas Kalderon, yang ibunya dibunuh pada 7 Oktober dan dua anaknya, Erez, 12 tahun dan Sahar, 16 tahun, ditahan sebagai tebusan, adalah antara yang hadir di perhimpunan itu.
“Saya tidak mempunyai maklumat dan tidak menerima sebarang berita mengenai dua anak saya itu,” katanya.
Beliau berkata ahli politik yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata dan tebusan mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk memastikan perjanjian segera ditandatangani. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg