Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gencatan senjata Thai, Kemboja: Penduduk lega namun masih curiga

Pertempuran 5 hari korbankan sekurang-kurangnya 38 nyawa, paksa hampir 300,000 orang larikan diri
Jul 29, 2025 | 10:40 AM
Orang pelarian memberi reaksi selepas beratur untuk mendapatkan makanan di sebuah pusat perlindungan sementara susulan pengumuman gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
Orang pelarian memberi reaksi selepas beratur untuk mendapatkan makanan di sebuah pusat perlindungan sementara susulan pengumuman gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat. - Foto REUTERS

SURIN (Thailand): Berita mengenai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja disambut dengan rasa lega dan syukur oleh ribuan penduduk yang dipindahkan dari kawasan sempadan.

Namun, rasa ragu-ragu masih membayangi mereka, selepas lima hari pertempuran sengit yang mengorbankan sekurang-kurangnya 38 nyawa dan memaksa hampir 300,000 orang melarikan diri.

Cik Jeanjana Phaphan, warga Thailand berusia 48 tahun, melarikan diri bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun dari rumah mereka di daerah Phanom Dong Rak beberapa hari lalu.

Ketika ditemui di pusat perlindungan di bandar Surin, kira-kira 50 kilometer dari sempadan, beliau berkata, “Jika ini benar-benar berakhir, saya amat bersyukur, ini adalah saat paling bahagia buat saya sejak sekian lama.”

Namun, Cik Jeanjana masih belum dapat menghilangkan rasa bimbangnya. “Kalau negara kita terus berperang, rakyat biasa yang akan terus menanggung kesannya. Saya dengar jiran bercerita atap rumah mereka ditembusi peluru, dan tangisan orang yang kehilangan keluarga sangat menyayat hati.

“Orang di seberang sana juga rakyat biasa seperti kita. Kami hanya petani dan saya percaya mereka juga petani. Kami cuma mahu hidup,” katanya lagi, mengingatkan bahawa konflik ini menyentuh kehidupan orang awam, bukan hanya isu geopolitik.

Perjanjian gencatan senjata yang dicapai di Malaysia hasil rundingan yang dikendali oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seti Anwar Ibrahim, dengan penglibatan Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump dan perunding dari China, telah memberi sedikit harapan untuk menghentikan pertempuran yang tercetus sejak 24 Julai lalu.

Namun bagi petani Thailand, Encik Tee Samanjai, 68 tahun, masih tidak yakin bahawa Kemboja akan menunaikan janji mereka.

“Saya tetap ragu. Kami mungkin balik, tapi dengan rasa cemas. Saya tak rasa selamat, dan orang kampung saya pun sama. Kami langsung tak percaya pada Kemboja,” ujarnya jujur.

Di seberang sempadan, di sebuah kuil di Phumi Bak Thkav, Kemboja, petani bernama Encik Say Yoeun berkongsi perasaan yang serupa.

“Saya tak pasti (gencatan senjata) dan mungkin saya diminta terus tinggal di khemah perlindungan ini. Saya rindukan rumah dan haiwan ternakan saya. Saya tak boleh urus sawah saya,” kata Encik Say, 55 tahun, dengan nada kecewa.

Para komander tentera dari kedua-dua negara dijangka bertemu pada awal pagi 29 Julai jika gencatan senjata kekal dipatuhi. Perjumpaan ini akan menentukan sama ada penduduk yang dipindahkan boleh pulang ke rumah masing-masing dan mula menilai kerosakan serta kerugian yang dialami.

Bagi Cik Kavindhra Tiamsai, 33 tahun, yang telah menyelamatkan ibunya dari zon konflik, pertikaian ini telah menunjukkan betapa masyarakat di kawasan sempadan sering diabaikan oleh kerajaan mereka.

“Gencatan senjata memang pilihan yang baik, tapi itu juga adalah perkara paling minimum yang patut dilakukan,” katanya.

“Apa yang kami perlukan ialah pelan yang menyeluruh dan realistik yang benar-benar memahami kehidupan luar bandar. Ramai keluarga tak ada kenderaan, tak ada simpanan kewangan dan tiada jaring keselamatan. Bukan semua orang boleh berpindah bila-bila masa,” katanya.

Kenyataan Cik Kavindhra menyerlahkan kerumitan sebenar yang dihadapi oleh penduduk di kawasan terpencil. Walaupun gencatan senjata memberi ruang untuk bernafas, ia juga membuka persoalan besar tentang bagaimana kedua-dua negara akan menangani kehidupan pasca-konflik.

Pertempuran yang tercetus sejak 24 Julai lalu merupakan yang paling buruk sejak konflik 2011 berhubung sempadan yang tidak jelas akibat warisan penjajahan Perancis pada 1907.
Walaupun perjanjian damai telah dimeterai, kepercayaan antara rakyat di kedua-dua belah sempadan masih rapuh.

Kata Cik Jeanjana: “Saya mahu pulang, tapi hati saya masih takut. Saya harap kali ini, pemimpin kita benar-benar fikirkan rakyat biasa.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg