KUALA LUMPUR: Pemimpin Thailand dan Kemboja dijadual mengadakan rundingan penting di Malaysia pada 28 Julai dalam usaha menghentikan konflik berdarah di sempadan, yang telah mengorbankan lebih 30 nyawa dan memaksa lebih 200,000 penduduk dipindahkan.
Amerika Syarikat dan China turut menyertai rundingan tersebut sebagai pemudah cara, dengan Washington menghantar pegawai Jabatan Negara ke Kuala Lumpur bagi menyokong usaha damai.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet dijangka bertemu pada jam 3 petang di Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malaysia menjadi tuan rumah selaku Pengerusi Asean, dengan Datuk Anwar mempengerusikan rundingan tersebut atas permintaan kedua-dua pihak.
“Yang paling penting sekarang ialah menghentikan tembakan serta-merta,” kata Datuk Anwar kepada media tempatan malam 27 Julai. Tambah beliau, Malaysia sedang merangka parameter dan syarat yang boleh membawa kepada penyelesaian aman.
Konflik terbaru antara dua negara jiran Asia Tenggara ini meletus pada 24 Julai selepas ketegangan yang memuncak sejak insiden tembakan di sempadan pada Mei lalu, mengorbankan seorang askar Kemboja.
Sejak itu, pertempuran meningkat menjadi yang terburuk dalam lebih sedekad, dengan penggunaan artileri berat dan pesawat pejuang. Thailand telah mengerahkan jet F-16 dan Gripen buatan Sweden untuk menyerang kedudukan tentera Kemboja, sementara kedua-dua pihak saling menuduh telah menyasarkan kawasan awam.
Krisis ini hampir menggugat kestabilan kerajaan gabungan Thailand, manakala Kemboja telah meminta campur tangan antarabangsa sejak awal. Thailand pada awalnya menyokong rundingan dua hala tetapi akhirnya bersetuju untuk menghadiri rundingan pelbagai pihak setelah tekanan meningkat dari kuasa besar dunia.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump telah memainkan peranan utama dalam memaksa kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding, dengan mengugut akan menangguhkan perjanjian perdagangan sekiranya peperangan tidak dihentikan.
“Saya hubungi kedua-dua perdana menteri dan saya kata, ‘Kita tidak akan menandatangani sebarang perjanjian perdagangan selagi perang ini tidak dihentikan.’ Ramai telah terbunuh,” kata Encik Trump kepada pemberita pada 27 Julai. “Dan saya rasa selepas panggilan itu, mereka mula mahu selesaikan.”
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio mengesahkan bahawa pegawai Jabatan Negara kini berada di Malaysia. “Kami mahu konflik ini berakhir secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau juga berhubung dengan menteri luar Thailand dan Kemboja untuk menggesa penamatan segera ketegangan.
Selepas campur tangan Trump, aktiviti diplomatik meningkat secara mendadak pada 27 Julai. Encik Trump turut mengumumkan di Truth Social bahawa beliau menantikan untuk menyelesaikan perjanjian perdagangan dengan kedua-dua negara sebaik sahaja keamanan dicapai.
Selain Amerika, China juga dijangka menyertai rundingan sebagai rakan strategik utama bagi kedua-dua negara. Kemboja telah lama menerima sokongan ekonomi dan pertahanan daripada Beijing, manakala Thailand mempunyai hubungan perdagangan rapat dengan China. Kehadiran China memberikan imbangan geopolitik yang signifikan dalam rundingan yang turut membabitkan Asean.
Jurucakap kerajaan Thailand, Encik Jirayu Houngsub berkata rundingan kali ini bertujuan untuk “mendengar semua cadangan yang boleh menyumbang kepada pemulihan keamanan”. Beliau menegaskan bahawa Thailand tetap komited mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah negara. “Setiap inci persegi tanah negara ini akan dipertahankan,” katanya.
Thailand menggariskan syarat tegas dalam rundingan tersebut, termasuk keperluan penyelesaian secara dua hala, pengunduran tentera, dan penghentian penggunaan senjata maut. Sebaliknya, Kemboja menyatakan kesediaan untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.
Sebahagian besar pertikaian sempadan ini berpunca daripada tafsiran berbeza terhadap perjanjian kolonial awal abad ke-20 antara Siam dan Perancis, yang ketika itu menguasai Kemboja di bawah pentadbiran Indochina Perancis. Salah satu lokasi utama konflik kini ialah kuil purba Prasat Ta Muen Thom atau Prasat Ta Moan Thom menurut Kemboja yang terletak di wilayah bergunung-ganang dan tidak jelas batas kedaulatannya.
Pensyarah hubungan antarabangsa dari Universiti Thammasat, Encik Fuadi Pitsuwan, berkata Asean seharusnya menjadi platform utama bagi menyelesaikan krisis sejak awal tanpa menunggu tekanan luar.
“Namun pada akhirnya, Trump akan melihat ini sebagai kemenangan – beliau berjaya menamatkan konflik dan pada masa sama memperoleh pengaruh untuk mengawal tarif perdagangan,” katanya.
Setakat ini, Thailand melaporkan 22 kematian termasuk lapan anggota tentera, manakala Kemboja mengesahkan 13 korban termasuk lima anggota tentera. Dengan lebih 200,000 orang telah dipindahkan dan ratusan kampung terjejas, rundingan ini dilihat sebagai peluang terakhir untuk mengelakkan perang terbuka yang lebih meluas.
Rundingan di Kuala Lumpur dijangka menjadi ujian kepada keupayaan Asean sebagai perantara damai serantau, dalam menghadapi krisis yang bukan sahaja mencabar sempadan geografi, tetapi juga keseimbangan kuasa global di Asia Tenggara. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg