Topik diikuti
Pergi ke BHkuUtusan AS bawa cadangan baharu tamatkan perang Russia-Ukraine
KYIV: Utusan Amerika Syarikat membawa beberapa cadangan baharu yang disifatkan Ukraine sebagai “lebih berkesan” dalam usaha menamatkan perang dengan Russia, selepas mengadakan rundingan dengan Presiden Vladimir Putin di Moscow.
Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner bertemu Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, di Kyiv pada 6 September, dalam usaha terbaru pemerintahan Presiden Donald Trump menghidupkan semula rundingan bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022.
Ia merupakan lawatan pertama kedua-dua utusan itu ke ibu kota Ukraine, meskipun mereka sudah beberapa kali mengunjungi Moscow.
Seorang pegawai kanan pejabat Presiden Ukraine memberitahu AFP bahawa cadangan terbaru Amerika berbeza daripada yang dikemukakan sebelum ini.
“Ia tidak sama seperti sebelumnya. Yang ini kini lebih berkesan. Mereka masih berbincang. Itu sebenarnya bahagian paling penting,” katanya.
Butiran mengenai cadangan itu belum didedahkan.
Encik Witkoff, sekutu perniagaan Encik Trump, dan Encik Kushner, menantu Presiden Amerika itu, tiba di Kyiv dengan kereta api selepas mengadakan pertemuan selama beberapa jam dengan Encik Putin di Moscow sehari sebelumnya.
Mereka disambut di stesen kereta api Kyiv yang memaparkan perkataan “Peace Express” atau “Ekspres Keamanan” sebelum menemui Encik Zelensky.
Rundingan awal berlangsung kira-kira tiga jam sebelum disusuli satu lagi sesi yang turut melibatkan penasihat keselamatan Britain, Perancis dan Jerman.
Encik Zelensky menyifatkan perbincangan itu sebagai “positif” dan “sangat substantif”, tetapi mengingatkan bahawa belum ada petanda jelas perang akan berakhir dalam masa terdekat.
“Kami sangat berharap dapat mencapai persetujuan dengan rakan Amerika dan kami mengharapkan sokongan rakan Eropah sekiranya perang berterusan pada musim sejuk – dan begitulah keadaannya kelihatan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata matlamat utama Ukraine kekal untuk mencapai keamanan yang “bermaruah, boleh dipercayai dan berkekalan”.
Encik Witkoff pula berkata perbincangan di Moscow dan Kyiv memberi sebab kepada Washington untuk berasa yakin bahawa kemajuan masih boleh dicapai.
“Kedua-dua pihak perlu membuat beberapa kompromi. Kami fikir kami mempunyai unsur-unsur yang diperlukan untuk sampai ke tahap itu,” katanya.
Encik Kushner berkata lawatan itu menghasilkan “beberapa cara baharu” untuk menggerakkan rundingan ke hadapan, tetapi tidak menjelaskan kandungan cadangan tersebut.
Antara isu paling sukar ialah masa depan wilayah Ukraine yang kini diduduki Russia.
Moscow menguasai kawasan luas di timur dan selatan Ukraine dan mahu bukan sahaja wilayah yang kini didudukinya, malah kawasan lain yang dituntut Russia diiktiraf sebagai miliknya.
Kyiv menolak tuntutan tersebut.
Encik Zelensky menegaskan bahawa persoalan wilayah akhirnya hanya boleh diselesaikan melalui pertemuan secara langsung antara beliau dengan Encik Putin.
Beliau berkata isu wilayah, jaminan keselamatan dan ekonomi kepada Ukraine selepas perang serta kemungkinan menyambung semula rundingan tiga pihak antara Amerika, Ukraine dan Russia turut dibincangkan dengan utusan Washington.
Kremlin pula menunjukkan sedikit tanda bahawa ia bersedia menghentikan operasi ketenteraan.
Penasihat dasar luar Kremlin, Encik Yuri Ushakov, berkata Encik Putin memberitahu utusan Amerika bahawa tentera Russia terus mara dan Moscow yakin dapat mencapai matlamatnya.
Encik Zelensky sebaliknya memberitahu pihak Amerika bahawa kedudukan Ukraine di medan perang semakin kukuh, sekali gus memberi Kyiv keyakinan lebih besar dalam rundingan akan datang.
Lawatan itu berlangsung ketika kedua-dua negara meningkatkan serangan udara dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Russia dan Ukraine bersetuju untuk tidak menyerang ibu kota masing-masing ketika utusan Amerika berada di Moscow dan Kyiv, tetapi pertempuran berterusan di kawasan lain.
Tentera udara Ukraine berkata Russia melancarkan 108 dron dan peluru berpandu dalam serangan semalaman, manakala Moscow mendakwa pertahanan udaranya menembak jatuh 258 dron Ukraine.
Serangan Russia pada 5 September dilaporkan membunuh 10 orang, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Di Kyiv, reaksi penduduk terhadap usaha diplomatik terbaru itu kekal berhati-hati selepas beberapa rundingan sebelum ini gagal menghasilkan penyelesaian.
Cik Nataliia Lipekh, 67 tahun, berkata adalah penting bagi utusan Amerika melihat sendiri kesan perang di Ukraine.
“Tanah kami sudah dibasahi darah dan kami memerlukan bantuan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Yaroslav, 29 tahun, berkata beliau tidak mempunyai banyak sebab untuk berharap selepas menyaksikan terlalu banyak rundingan gagal.
Meskipun tiada kejayaan besar diumumkan, Washington dan Kyiv menyifatkan rundingan terbaru itu sebagai langkah untuk menghidupkan semula proses diplomatik.
Bagi Ukraine, persoalan lebih mendesak kini ialah sama ada usaha tersebut dapat menghasilkan kemajuan sebelum musim sejuk – atau negara itu perlu bersedia menghadapi satu lagi musim perang. - Agensi berita
