Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia siasat dakwaan warga direkrut tentera Russia untuk perang Ukraine
JAKARTA: Indonesia sedang menyiasat dakwaan bahawa beberapa rakyatnya menyertai tentera Russia dan dikerahkan untuk berperang di Ukraine, termasuk kemungkinan mereka menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan atau eksploitasi.
Siasatan itu dijalankan selepas Perkhidmatan Perisikan Luar Ukraine (SZRU) mendakwa sekurang-kurangnya lapan warga Indonesia direkrut untuk berkhidmat bersama tentera Russia.
Agensi perisikan Ukraine itu menerbitkan salinan tujuh permohonan e-visa dan satu kad migrasi yang didakwanya milik lelaki Indonesia yang menyertai tentera Russia.
Mereka dilaporkan terdiri daripada lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dengan 40-an.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Cik Yvonne Mewengkang, berkata pihak berkuasa sedang menyemak dakwaan Ukraine itu dengan kedutaan Indonesia serta kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan sama ada lapan individu tersebut benar-benar warga Indonesia dan telah menyertai tentera Russia.
“Identiti dan status kewarganegaraan mereka masih perlu disahkan, termasuk bagaimana mereka direkrut dan sama ada mereka benar-benar terlibat dalam angkatan tentera Russia,” katanya pada 31 Ogos.
Menurut beliau, pihak berkuasa juga akan menyiasat kemungkinan warga Indonesia terbabit diperdaya menerusi tawaran pekerjaan palsu, dieksploitasi atau menjadi mangsa proses pengambilan yang tidak menggambarkan pekerjaan sebenar.
“Kami juga akan melihat sama ada terdapat kemungkinan berlaku penipuan, eksploitasi atau pengambilan menerusi tawaran pekerjaan yang tidak sesuai dengan tujuan sebenar,” katanya.
Sekiranya mereka didapati menjadi mangsa penipuan, Jakarta akan mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi rakyatnya.
Bagaimanapun, jika siasatan mendapati mereka secara sukarela menyertai tentera Russia, individu terbabit berdepan kemungkinan kehilangan kewarganegaraan Indonesia.
Undang-undang Indonesia menetapkan bahawa rakyatnya perlu mendapatkan kebenaran Presiden sebelum berkhidmat dalam angkatan tentera negara asing.
Sebarang keputusan untuk membatalkan kewarganegaraan bagaimanapun hanya boleh dibuat selepas status dan bentuk penglibatan mereka disahkan secara rasmi.
Kementerian Luar turut menegaskan bahawa sekiranya benar rakyat Indonesia menyertai tentera asing, tindakan itu dilakukan atas kapasiti individu dan tidak mencerminkan dasar luar negara tersebut.
“Jika penglibatan warga Indonesia dalam angkatan bersenjata negara asing dapat disahkan, ia merupakan tindakan individu dan tidak mewakili dasar atau pendirian pemerintah Indonesia,” menurut kementerian itu.
Cik Yvonne turut menegaskan semula pendirian Jakarta yang mahukan penyelesaian secara aman terhadap perang Russia-Ukraine.
Indonesia selama ini mengekalkan dasar berkecuali dan enggan memihak kepada Russia atau Ukraine sejak perang tercetus.
Menurut SZRU, Russia didakwa menggunakan skim pengambilan warga asing dengan menawarkan gaji tinggi, pekerjaan yang dikatakan tidak melibatkan pertempuran serta peluang mendapatkan kewarganegaraan Russia dengan lebih cepat.
Ukraine mendakwa kaedah serupa turut digunakan untuk merekrut warga Nepal, Cuba, Kenya dan India.
Indonesia sebelum ini tidak dikenali sebagai sumber utama pejuang asing bagi Russia atau Ukraine, meskipun kedua-dua pihak menggunakan warga asing sepanjang konflik tersebut.
Namun, kes seorang bekas anggota marin Indonesia, Satria Arta Kumbara, pernah mendapat perhatian pada 2025 selepas beliau dilaporkan menyertai pasukan Russia.
Beliau kemudian memohon untuk mendapatkan semula kewarganegaraan Indonesia.
Kementerian Luar berkata proses pengesahan masih berjalan dan menegaskan bahawa sebarang tindakan selanjutnya hanya akan diputuskan selepas identiti, kewarganegaraan serta keadaan sebenar pengambilan individu terbabit dapat dipastikan. – Agensi berita
