PARIS: Gelombang tunjuk perasaan yang melanda Eropah bukan sekadar bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup atau kemerosotan kemudahan pendidikan, tetapi mencerminkan krisis keyakinan generasi muda terhadap masa depan mereka.

Daripada Perancis hingga Jerman, Sepanyol, Italy, Belgium, Portugal dan Greece, ratusan ribu anak muda, khususnya Generasi Z (Gen Z), turun ke jalan raya bagi menyuarakan kemarahan terhadap keadaan ekonomi yang semakin menghimpit kehidupan mereka.

Mereka berdepan harga rumah yang sukar dicapai, sewa kediaman yang melambung, gaji rendah, peluang pekerjaan tidak menentu serta sistem pendidikan yang dianggap gagal menyediakan masa depan lebih baik.

Namun, di sebalik tuntutan berbeza mengikut negara, terdapat satu persamaan yang semakin jelas – golongan muda merasakan mereka sedang mewarisi sebuah sistem ekonomi dan politik yang tidak lagi menjanjikan kehidupan lebih baik berbanding generasi ibu bapa mereka.

Lebih membimbangkan, sebahagian tunjuk perasaan bertukar ganas apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis, merosakkan bangunan, membakar kemudahan awam dan merompak kedai.

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada Eropah sedang menyaksikan kebangkitan politik generasi muda yang mampu mengubah landskap politik benua tersebut.

Perancis cetus gelombang bantahan

Perancis menjadi titik permulaan gelombang bantahan apabila pelajar sekolah menengah melancarkan tunjuk perasaan pada pertengahan September bagi membantah kemerosotan kemudahan pendidikan, kekurangan guru dan sistem kemasukan universiti yang dianggap tidak telus.

Gerakan itu bermula dengan mogok guru di sebuah sekolah menengah di Creteil, berhampiran Paris, sebelum merebak ke lebih 1,000 sekolah di seluruh negara.

Tuntutan yang pada mulanya tertumpu kepada pendidikan kemudian berkembang menjadi bantahan lebih luas terhadap kenaikan kos sara hidup, kemerosotan perkhidmatan awam dan kepimpinan Presiden Emmanuel Macron.

Pada 17 Oktober, sekurang-kurangnya 550,000 orang menyertai tunjuk perasaan di seluruh Perancis.

Bagaimanapun, perhimpunan yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman bertukar menjadi rusuhan apabila berlaku rompakan, kebakaran dan pertempuran dengan polis.

Di Marseille, perusuh menyerbu bangunan dewan bandar raya, manakala di Limoges, bangunan pentadbiran tempatan dibakar.

Menurut badan pemikir Amerika Syarikat, Majlis Hubungan Luar (CFR), kira-kira 3,000 premis perniagaan menjadi sasaran rompakan pada hari tersebut.

Tunjuk perasaan berterusan pada 31 Oktober dengan kira-kira 320,000 peserta, manakala lebih 560 orang ditangkap.

Namun, di sebalik keganasan itu, pengalaman golongan muda menggambarkan masalah yang lebih mendalam.

Seorang pelajar berusia 21 tahun, Corentin Cabreux, berkata kediaman pelajar yang disediakan pemerintah berada dalam keadaan amat menyedihkan.

Menurutnya, dinding biliknya dipenuhi kesan lembap, cat mengelupas, manakala lipas dan tikus berkeliaran.

Keadaan tersebut memperlihatkan bagaimana masalah pendidikan dan perumahan kini menjadi lambang kegagalan sistem menyediakan kehidupan yang bermaruah kepada golongan muda.

Kos perumahan punca utama kemarahan

Di Sepanyol, Portugal dan Greece, isu perumahan muncul sebagai antara pendorong utama bantahan.

Harga rumah dan kadar sewa yang meningkat jauh lebih pantas berbanding pendapatan menyebabkan ramai anak muda tidak mampu membeli kediaman sendiri, malah sukar meninggalkan rumah keluarga.

Di Sepanyol, kemarahan orang ramai memuncak selepas seorang wanita berusia 87 tahun diusir dari kediamannya di Madrid pada September berikutan kenaikan sewa yang mendadak.

Kes itu mencetuskan bantahan di seluruh negara dengan penunjuk perasaan menuntut pembekuan kadar sewa, perlindungan terhadap penyewa yang mudah terjejas serta kawalan lebih ketat terhadap penyewaan jangka pendek.

Bagi ahli sosiologi Belgium, Encik Geoffrey Pleyers, masalah perumahan bukan sekadar berkaitan tempat tinggal, tetapi mencerminkan pengagihan kekayaan yang semakin tidak seimbang.

Menurut beliau, golongan muda kini berdepan sebuah model ekonomi yang semakin kehilangan keupayaan memenuhi keperluan masyarakat.

“Apa yang ditawarkan kepada mereka, paling baik sekalipun, hanyalah pekerjaan, dan bagi kebanyakan orang, pekerjaan yang tidak terjamin,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan tinggi tidak lagi menjamin taraf kehidupan seperti yang pernah dinikmati generasi terdahulu.

Keadaan itu menimbulkan persoalan besar mengenai nilai pendidikan apabila seseorang graduan masih tidak mampu memperoleh pekerjaan stabil atau memiliki rumah sendiri.

Ahli sains politik Universiti Autonomi Madrid, Profesor Mariam Martinez-Bascunan, pula berpendapat bahawa kemarahan golongan muda lebih banyak didorong ketidakpastian berbanding kemiskinan semata-mata.

Ini bermakna seseorang tidak semestinya hidup dalam kemiskinan untuk merasakan masa depannya semakin terancam.

Kebimbangan bahawa kehidupan mereka mungkin lebih sukar berbanding ibu bapa sudah cukup untuk mencetuskan rasa tidak puas hati.

Generasi muda rasa dikorbankan

Satu lagi faktor yang menggerakkan bantahan ialah persepsi bahawa generasi muda terpaksa menanggung akibat keputusan ekonomi, politik dan alam sekitar yang dibuat generasi terdahulu.

Ahli sejarah gerakan sosial, Encik Sylvain Boulouque, berkata golongan muda semakin menyedari beban hutang pemerintah dan masalah alam sekitar yang diwariskan kepada mereka.

Keadaan itu menyebabkan mereka merasakan kepentingan generasi sendiri telah dikorbankan.

Menurut beliau, walaupun tunjuk perasaan berlaku di pelbagai negara, Perancis bertindak sebagai pemangkin yang menggalakkan anak muda Eropah menyuarakan masalah masing-masing.

“Ini sebuah gerakan Eropah, tetapi Perancis menjadi pemangkinnya,” katanya.

Pensyarah Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Penolong Profesor Sascha Riaz, turut melihat perkembangan tersebut sebagai tanda ketidakadilan antara generasi.

Beliau menjelaskan bahawa penduduk Eropah semakin menua, menyebabkan golongan muda menjadi kelompok minoriti dalam kalangan pengundi.

Akibatnya, mereka merasakan kepentingan sendiri kurang diberikan perhatian berbanding golongan lebih tua.

“Ramai merasakan kepentingan mereka diabaikan, sedangkan semakin banyak wang awam disalurkan kepada generasi lebih tua, terutama melalui sistem pencen,” katanya.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Di Jerman, misalnya, keluaran dalam negeri kasar hampir tidak berkembang sejak 2019, sekali gus mengehadkan kemampuan pemerintah meningkatkan perbelanjaan sosial.

Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Reuben Wong, turut menekankan jurang pengalaman ekonomi antara generasi.

Menurut beliau, generasi selepas Perang Dunia Kedua menikmati pertumbuhan ekonomi pesat, manakala ramai anggota Generasi X memperoleh pekerjaan stabil dan boleh menjangkakan faedah persaraan.

Sebaliknya, generasi lebih muda kini diberitahu bahawa usia persaraan mungkin dinaikkan dan manfaat sosial bakal dikurangkan.

Perbezaan tersebut menimbulkan tanggapan bahawa kontrak sosial antara rakyat dengan pemerintah semakin lemah.

Jerman bantah khidmat tentera wajib

Di Jerman, gelombang bantahan turut dipengaruhi kebimbangan terhadap kemungkinan pengenalan semula khidmat tentera wajib ketika hubungan dengan Russia semakin meruncing.

Sebuah gerakan belia dikenali sebagai GenZ regelt, yang bermaksud ‘Gen Z mampu mengatasinya’, menganjurkan tunjuk perasaan di lebih 30 bandar pada 31 Oktober.

Penganjur mendakwa kira-kira 120,000 orang menyertai bantahan tersebut.

Mereka menuntut pelaburan lebih besar dalam pendidikan, kesihatan, keselamatan sosial, perlindungan iklim dan langkah menjadikan kehidupan lebih mampu dibiayai.

Seorang pelajar sekolah menengah Berlin, Janelle Schulz, berkata keadaan sekolahnya menunjukkan betapa mendesaknya pembaharuan pendidikan.

Menurutnya, siling sekolah mengalami kerosakan akibat kebocoran air, guru tidak mencukupi dan tandas rosak tanpa tindakan pembaikan sewajarnya.

Bagi golongan muda Jerman, tuntutan itu bukan hanya berkaitan kemudahan sekolah, tetapi juga persoalan mengapa mereka perlu menanggung tanggungjawab ketenteraan ketika keperluan asas pendidikan masih diabaikan.

Mengapa bantahan bertukar ganas

Walaupun kebanyakan tunjuk perasaan berlangsung secara aman, beberapa kejadian keganasan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam.

Di Frankfurt, Menteri Dalam Negeri negeri Hesse, Encik Roman Poseck, berkata kira-kira 100 pelampau berhaluan kiri dikenal pasti menyusup masuk ke dalam tunjuk perasaan.

Perusuh memecahkan tingkap kedai, merompak premis perniagaan dan melontar bom petrol ke arah polis.

Sebuah kedai senjata turut menjadi sasaran, menyebabkan polis menahan seorang suspek dan merampas dua senjata.

Di Cologne, polis menghentikan perarakan lebih awal selepas peserta menggunakan bahan piroteknik dan membaling batu ke arah anggota keselamatan.

Meriam air turut digunakan bagi menyuraikan orang ramai.

Di Perancis, pihak berkuasa turut berdepan serangan menggunakan botol kaca dan bunga api, manakala polis membalas dengan gas pemedih mata dan bom pegun.

Namun, penganalisis mengingatkan bahawa tindakan ganas segelintir peserta tidak semestinya mencerminkan matlamat keseluruhan gerakan.

Menurut Penolong Profesor Riaz, kebanyakan peserta datang untuk menyuarakan tuntutan secara aman.

Bagaimanapun, struktur gerakan yang longgar menyukarkan penganjur menghalang kumpulan pelampau atau individu yang mahu mencetuskan kekacauan.

Beliau turut menyatakan bahawa tindak balas polis, khususnya di Perancis, boleh memburukkan keadaan apabila penggunaan kekerasan meningkatkan kemarahan peserta.

Presiden Macron sendiri cuba membezakan antara mereka yang menyuarakan tuntutan sah dengan individu yang melakukan kemusnahan dan rompakan.

Perbezaan ini penting kerana keganasan boleh mengalihkan perhatian masyarakat daripada masalah sebenar yang mendorong bantahan.

Media sosial satukan gerakan

Walaupun bantahan berlaku hampir serentak, penyelidik tidak melihatnya sebagai sebuah gerakan antarabangsa yang mempunyai kepimpinan atau perancangan bersama.

Sebaliknya, perkembangan itu lebih menyerupai penyebaran inspirasi merentasi sempadan.

Penolong Profesor Riaz menyifatkannya sebagai proses penyebaran pengaruh, bukannya penyelarasan gerakan.

Setiap negara mempunyai tuntutan dan struktur penganjuran tersendiri, tetapi peserta mengambil inspirasi daripada kejayaan bantahan di negara jiran.

Media sosial seperti TikTok dan Instagram memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penyebaran maklumat.

Di Perancis, rakaman pelajar menyekat pintu masuk sekolah di Creteil tersebar luas sebelum bantahan berkembang ke sekolah lain.

Di Barcelona, pelajar menggunakan tanda pagar #InstitutsIndignats untuk menggalakkan penyertaan, mengambil inspirasi daripada slogan bantahan pelajar Perancis.

Di Portugal pula, kempen digital menggalakkan orang ramai turun ke jalan raya selepas melihat perkembangan di Sepanyol.

Seorang pelajar Berlin berusia 20 tahun, Milla, memberitahu AFP bahawa penting bagi anak muda Jerman menunjukkan perpaduan dengan penunjuk perasaan di seluruh Eropah.

Corak ini mengingatkan penganalisis kepada gerakan pelajar pada akhir 1960-an, Revolusi Warna pada 2000-an dan kebangkitan Arab Spring.

Persamaannya bukan semestinya pada tuntutan politik, tetapi pada cara kejayaan sesuatu gerakan memberi keberanian kepada masyarakat di negara lain. – Agensi berita.

Cabaran besar menjelang pilihan raya

Gelombang bantahan berlaku ketika beberapa negara Eropah bersiap menghadapi pilihan raya penting, termasuk Perancis, Sepanyol, Italy dan Greece.

Keadaan itu meningkatkan tekanan terhadap parti pemerintah yang berusaha mempertahankan sokongan pengundi.

Di Perancis, pilihan raya presiden yang dijadualkan pada April 2027 menjadikan kemarahan golongan muda semakin penting dalam percaturan politik.

Pemimpin sayap kanan, Cik Marine Le Pen, menyatakan sokongan kepada polis dan mengkritik pengendalian rusuhan oleh pemerintah.

Penganalisis CFR, Encik Matthias Matthijs, berpendapat kekacauan tersebut boleh memberi peluang kepada parti National Rally menampilkan dirinya sebagai pembela undang-undang dan ketenteraman.

Ini menunjukkan bagaimana gerakan yang bermula dengan tuntutan ekonomi boleh menghasilkan kesan politik yang jauh lebih luas.

Di Sepanyol, Perdana Menteri Pedro Sanchez mencadangkan undang-undang perumahan kecemasan, termasuk melanjutkan larangan pengusiran penyewa tertentu hingga 2030 dan mengawal penyewaan sementara.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Parlimen, mendorong beliau mengumumkan pilihan raya mengejut pada 29 November.

Di Perancis, pemerintah berjanji menambah 3,000 guru pengganti dan membatalkan rancangan menaikkan beberapa yuran pendaftaran universiti.

Namun, langkah tersebut mungkin tidak mencukupi untuk menangani masalah struktur yang telah lama membelenggu golongan muda.

Eropah semakin kekurangan pilihan

Cabaran terbesar pemerintah Eropah ialah mencari sumber kewangan bagi memenuhi tuntutan rakyat ketika ekonomi berkembang perlahan dan hutang awam semakin membebankan.

Semasa gerakan Jaket Kuning melanda Perancis pada 2018 dan 2019, pemerintah Macron masih mampu menawarkan bantuan kewangan bernilai berbilion euro kerana kos pinjaman ketika itu lebih rendah.

Keadaan kini berbeza.

Sebarang peningkatan perbelanjaan pendidikan, perumahan atau bantuan sosial mungkin memerlukan pemotongan peruntukan dalam sektor lain.

Penolong Profesor Riaz berpandangan bahawa keadaan ini menyukarkan penyelesaian segera kerana kemampuan kewangan pemerintah jauh lebih rendah berbanding tuntutan penunjuk perasaan.

Keganasan turut membawa kerugian ekonomi besar.

Badan pemikir Perancis, Yayasan IFRAP, menganggarkan rusuhan pada 17 dan 18 Oktober mungkin menyebabkan kerosakan dan kerugian ekonomi sehingga 1.1 bilion euro.

Namun, kos yang lebih besar mungkin berpunca daripada kegagalan memulihkan keyakinan golongan muda terhadap institusi demokrasi.

Presiden dan Ketua Pengarah badan pemikir Europe Jacques Delors, Cik Genevieve Pons, berkata Eropah perlu meningkatkan pertumbuhan ekonomi untuk mengekalkan model kebajikan sosialnya.

Beliau mencadangkan penyempurnaan pasaran tunggal Eropah sebagai antara langkah meningkatkan pertumbuhan dan memperkukuh kemampuan kewangan pemerintah.

Krisis keyakinan terhadap masa depan

Hakikatnya, gelombang bantahan Gen Z memperlihatkan perubahan besar dalam hubungan antara generasi muda dengan negara.

Selama beberapa dekad, pendidikan tinggi, pekerjaan tetap dan pemilikan rumah dianggap laluan utama ke arah kehidupan lebih selesa.

Namun, laluan tersebut kini semakin sukar ditempuh.

Ramai anak muda merasakan mereka perlu belajar lebih lama, bekerja lebih keras dan menanggung kos lebih tinggi, tetapi masih tidak mampu menikmati taraf kehidupan yang pernah dicapai ibu bapa mereka.

Pada masa sama, mereka berdepan ancaman perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan kemungkinan pengurangan manfaat sosial apabila penduduk Eropah semakin menua.

Keadaan itu menjadikan bantahan bukan sekadar tuntutan kenaikan gaji atau penurunan sewa, tetapi perjuangan mendapatkan semula keyakinan bahawa usaha mereka akan membawa kehidupan lebih baik.

Jika pemerintah gagal menangani masalah tersebut, kemarahan generasi muda berisiko menjadi gerakan politik berpanjangan yang mengubah keseimbangan kuasa di Eropah.

Sebaliknya, jika tuntutan mereka ditangani melalui pembaharuan ekonomi, pendidikan dan perumahan, gelombang bantahan ini boleh menjadi pemangkin kepada pembentukan dasar lebih adil antara generasi.

Buat masa ini, masalah paling mendesak bukan semata-mata bagaimana menghentikan rusuhan, tetapi bagaimana memastikan golongan muda kembali percaya bahawa mereka mempunyai masa depan dalam masyarakat yang sedang mereka warisi.

Seperti ditegaskan Encik Pleyers, ketidakadilan semakin ketara apabila peluang kehidupan seseorang banyak ditentukan oleh kedudukan ekonomi keluarganya.

“Golongan muda yang ibu bapa mereka hidup selesa menikmati kehidupan lebih baik, manakala mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan menghadapi kehidupan yang jauh lebih sukar hari ini,” katanya.– Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti