Topik diikuti
Pergi ke BHkuRusuhan ganas di Perancis masuk hari kedua
Perniagaan rosak, kedai dirompak, basikal dibakar, 2000 orang ditangkap
Rusuhan ganas di Perancis masuk hari kedua
PARIS: Polis Perancis bertempur dengan penunjuk perasaan dan perompak buat hari kedua pada 18 Oktober, susulan tunjuk perasaan ganas membantah kos sara hidup yang menyaksikan 2,000 orang ditangkap di seluruh negara.
Pekerja bandar Paris belum selesai membersihkan kereta terbakar, kedai yang dirosakkan dan sisa rusuhan pada 17 Oktober apabila gangguan baharu berlaku, mencetuskan pertikaian politik.
Wartawan AFP melaporkan ratusan orang berkumpul di dataran Republique selepas seruan media sosial mengadakan perhimpunan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Rakaman televisyen menunjukkan sebuah kedai pakaian dirompak dan basikal dibakar berhampiran.
Polis Paris berkata pasukan keselamatan bertindak berikutan “tanda-tanda awal ketegangan”.
Wartawan AFP menyaksikan polis melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan pegun ke arah orang ramai. Botol dan batu dilemparkan ke arah polis yang membuat beberapa tangkapan.
Menurut kumpulan peguam Legal Team Paris, hampir 550 daripada 855 individu yang ditangkap masih ditahan, menyebabkan balai polis sesak.
Enam bulan menjelang pilihan raya presiden, pemerintah dikecam pembangkang berhubung persiapan menghadapi bantahan itu, selepas berminggu-minggu pelajar menunjuk perasaan mengenai keadaan sekolah.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berikrar pada 17 Oktober untuk mendakwa sesiapa yang melakukan vandalisme atau rompakan. Beliau dijadualkan berucap kepada rakyat pada petang 18 Oktober.
Calon presiden parti bersayap kanan National Rally, Cik Marine Le Pen, menyifatkan pentadbiran Macron “kehabisan tenaga, lesu dan hilang arah”.
“Kita mengalami krisis kepercayaan dan kewibawaan yang mendalam, yang mengancam demokrasi,” kata Cik Le Pen, yang menduduki tempat pertama dalam tinjauan pendapat.
Le Pen menyalahkan kumpulan kiri jauh, manakala ketua parti France Unbowed, Jean-Luc Melenchon, menuduh pihak berkuasa memburukkan ketegangan.
Ketika imej bangunan pemerintah terbakar dan kedai dirompak tersebar ke seluruh dunia, Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump menyalahkan imigresen.
“Perancis sedang terbakar! Kemasukan pendatang dari dunia yang sama sekali berbeza, dengan kebencian dalam hati, telah menghancurkan negara yang dahulunya hebat itu,” tulis Encik Trump di media sosial.
Rompakan berleluasa dilaporkan pada 17 Oktober di Paris, dan beberapa bandar lain termasuk Marseille, Bordeaux, Nice dan Strasbourg, di tengah bantahan mengenai kos kehidupan.
Menurut Persekutuan Peruncitan dan Perdagangan, sekitar 1,500 perniagaan mengalami kerosakan, dengan kerugian mencecah ratusan juta dolar. Seorang maut ketika perarakan utama di Paris, namun pegawai mengaitkannya dengan masalah kesihatan.
“Keadaannya seperti selepas perang,” kata penduduk Paris, Encik Mehmet Ozeden, 78 tahun, di tengah-tengah penghadang jalan yang hangus.
Seorang penduduk, Cik Anita Gras, menyaksikan sekumpulan pemuda merompak kedai kasut sukan.
“Sungguh dahsyat dan menakutkan. Anak muda datang semalam, merompak dan memusnahkan segala-galanya tanpa takut dihukum,” kata Cik Cecile Rogue, 57 tahun, sambil memerhatikan basikal hangus.
Di Limoges, dewan bandar raya abad ke-19 musnah dibakar oleh “kumpulan perusuh yang ganas”, menurut pegawai wilayah Encik Maurice Barate.
Kira-kira 7,000 orang berarak di bandar itu pada 18 Oktober bagi membantah kemusnahan tersebut.
Di Lyon, pemilik kedai Encik Jean-Christian menyifatkan perusuh sebagai “binatang”.
“Kami melihat mereka merompak, lelaki yang dikuasai adrenalin.”
Sebuah pejabat pelancongan di pusat bandar dibakar ketika pertempuran dan rompakan berlaku.
Sebuah kedai pakaian turut dirompak di Lyon pada 18 Oktober.
Di Paris, pelancong cemas dilihat berlari membawa bagasi melalui jalan yang dipenuhi gas pemedih mata dan penunjuk perasaan.
Pelancong Denmark, Encik Soren Petersen, sedih melihat kerosakan bangunan. “Ini bukan lagi tunjuk perasaan biasa,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Encik Laurent Nunez berkata kira-kira 500 anggota polis, bomba dan paramedik cedera.
Keganasan berlaku di luar perarakan utama bantahan yang disertai 550,000 orang menurut kementerian, manakala kesatuan sekerja CGT menganggarkan 800,000 peserta.
Di Saint-Etienne, seorang remaja lelaki, 17 tahun, putus tangan kanan akibat letupan bom tangan kawalan rusuhan. Di Mulhouse, remaja perempuan sebaya kehilangan sebelah mata, menurut pendakwa raya.
Gerakan Jaket Kuning, yang membantah rancangan kenaikan cukai bahan api pemerintah Encik Macron lapan tahun lalu, menyeru bantahan “kuning dan belia” pada Sabtu itu. – AFP