RABAT: Gelombang protes besar-besaran di Maghribi semakin memuncak apabila kumpulan yang mengetuai gerakan itu, GenZ 212, pada Jumaat, 3 Oktober mendesak pemecatan kerajaan sedia ada selepas enam hari bantahan yang telah meragut tiga nyawa.
“Kami menuntut pemecatan kerajaan semasa kerana gagal melindungi hak perlembagaan rakyat Maghribi dan mengabaikan tuntutan sosial mereka,” kata GenZ 212 dalam kenyataan di platform komunikasi Discord. Kumpulan itu juga menuntut pembebasan segera semua individu yang ditahan kerana menyertai protes aman.
Tunjuk perasaan yang bermula 27 September lalu bagi mendesak reformasi kesihatan dan pendidikan kini merebak ke seluruh negara, termasuk Rabat, Casablanca, Marrakech dan Agadir. Walaupun kebanyakan perhimpunan aman, beberapa kawasan menyaksikan keganasan, termasuk kereta dibakar dan bangunan dirosakkan.
Kemarahan rakyat semakin memuncak selepas laporan kematian lapan wanita hamil di sebuah hospital awam di Agadir bulan September lalu, yang mencetuskan persoalan tentang kelemahan sistem kesihatan. Ramai penduduk mendakwa kerajaan terlalu memberi tumpuan kepada projek besar seperti persiapan Piala Negara Afrika pada Disember dan Piala Dunia 2030, tetapi gagal memperbaiki perkhidmatan asas rakyat.
“Kami mahu kesihatan, bukan hanya stadium,” kata seorang penunjuk perasaan di Rabat sambil membawa bendera Maghribi, menurut wartawan AFP di lokasi.
Perdana Menteri Aziz Akhannouch dalam ucapan pertamanya sejak protes bermula berkata kerajaan terbuka untuk berbincang dengan kumpulan anak muda tersebut. “Kami bersedia mendengar dan menyahut tuntutan rakyat. Dialog adalah satu-satunya jalan untuk mengatasi cabaran negara,” katanya.
Namun, kenyataan itu datang selepas malam penuh keganasan pada 3 1 Oktober, apabila tiga penunjuk perasaan terbunuh berhampiran Agadir. Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata ketiga-tiga mangsa ditembak selepas cuba menyerang balai keselamatan dan mencuri senjata api. Sebelum ini pihak berkuasa melaporkan dua kematian, tetapi angka meningkat selepas siasatan lanjut.
Menteri Kesihatan Amine Tehraoui mengakui pembaharuan sektor kesihatan “masih tidak mencukupi untuk menutup jurang sedia ada”.
GenZ 212 muncul sebagai gerakan spontan anak muda Maghribi yang menggunakan platform digital seperti TikTok, Instagram dan Discord untuk menggerakkan protes. Keahlian pelayan Discord kumpulan itu melonjak dari 3,000 minggu lalu kepada lebih 150,000 menjelang 2 Oktober.
“Kami menyeru semua peserta mengekalkan disiplin dan memastikan protes berlangsung secara aman,” kata kenyataan kumpulan itu. Mereka menolak sebarang kaitan dengan keganasan atau vandalisme yang berlaku.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran tindakan tegas terhadap perusuh dan perosak harta benda. “Mana-mana individu yang terbukti melakukan jenayah akan didakwa tanpa kompromi,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri.
Sehingga 2 Oktober, kementerian melaporkan 640 orang cedera, termasuk 589 anggota keselamatan. Lebih 400 orang ditahan, manakala 80 premis awam dan swasta serta ratusan kenderaan rosak atau dibakar.
Sebahagian rakyat mula meragui hala tuju protes selepas insiden keganasan meningkat. “Saya sokong tuntutan pendidikan dan kesihatan mereka pada awalnya… tetapi selepas lihat kebakaran ini, saya tertanya-tanya bagaimana ini membantu,” kata Cik Fatima, 54 tahun, di Sale berhampiran Rabat sambil menunjukkan bank yang hangus.
Seorang lagi penduduk, Encik Hicham Madani, berkata: “Anak muda yang merosakkan dan membakar di Sale bukan daripada GenZ 212. Mereka datang untuk membuat kekacauan.”
Penganalisis menyifatkan situasi ini sebagai cabaran terbesar bagi kerajaan Akhannouch sejak memegang jawatan. Protes kali ini adalah yang paling serius sejak demonstrasi besar di wilayah Rif pada 2016-2017.
Krisis juga memberi kesan ekonomi. Kos perlindungan hutang negara Maghribi meningkat kepada paras tertinggi sejak Jun, menurut data S&P Global Market Intelligence, hanya seminggu selepas agensi itu menaikkan penarafan kredit Maghribi kerana dasar ekonomi yang dianggap stabil.
GenZ 212 dalam kenyataannya menyebut artikel perlembagaan yang memberi kuasa kepada Raja Mohammed VI untuk melantik dan memecat perdana menteri serta anggota kerajaan. Ini dilihat sebagai tekanan agar istana campur tangan bagi menamatkan krisis politik dan sosial.
Walaupun begitu, kumpulan itu menegaskan kesetiaan kepada negara dan raja. “Kami cintakan tanah air dan raja, tetapi kami menolak politikus yang gagal menjaga rakyat,” kata kenyataan mereka.
Penganalisis politik tempatan percaya dialog perlu segera digerakkan untuk mengelak keganasan berlanjutan. “Jika kerajaan gagal bertindak balas dengan cepat, protes boleh merebak lebih luas dan mengundang ketidakstabilan,” kata seorang penganalisis di Rabat.- Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg