Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes belia Maghribi merebak bertukar ganas, 2 terbunuh

Oct 2, 2025 | 1:28 PM
Protes, belia, Maghribi, bertukar ganas
Sekumpulan pegawai keselamatan menahan seorang lelaki ketika mereka cuba mencegah tunjuk perasaan menuntut penambahbaikan bidang kesihatan dan pendidikan di Rabat, Maghribi, pada 29 September 2005. - Foto REUTERS

RABAT: Dua orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera di Lqliaa, dekat Agadir, apabila pasukan keselamatan menggunakan senjata api untuk menghalang sekumpulan individu daripada mencuri senjata mereka pada malam 1 Oktober, kata pihak berkuasa tempatan.

Insiden itu menandakan perubahan protes antipemerintah yang pada mulanya merupakan himpunan untuk menuntut reformasi keadilan sosial.

Protes yang bermula pada 27 September dengan tuntutan untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik itu telah dianjurkan secara dalam talian oleh kumpulan belia tanpa nama yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘GenZ 212’.

Kumpulan itu telah menggunakan platform seperti TikTok, Instagram dan aplikasi permainan Discord untuk menggerakkan sokongan.

Pasukan keselamatan terpaksa menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri selepas gas pemedih mata gagal menghalang kumpulan itu daripada menyerbu masuk, kata pihak berkuasa tempatan.

Berbekalkan pisau, kumpulan itu telah membakar sebahagian kemudahan dan kenderaan, memaksa pasukan keselamatan menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri, kata pihak berkuasa tempatan.

Pergerakan ‘GenZ 212’ diilhamkan oleh protes yang diterajui belia serupa di Asia dan Amerika Latin. Keanggotaan dalam akaun Discord ‘GenZ 212’ melonjak daripada kira-kira 3,000 minggu lalu kepada lebih 130,000 kini.

Pihak berkuasa pada mulanya bertindak balas dengan cubaan hanya untuk menggagalkan perhimpunan itu, tetapi demonstrasi meningkat kepada pergolakan yang meluas pada malam 30 September.

Kementerian Dalam Negeri berkata 263 anggota pasukan keselamatan dan 23 orang awam cedera semasa demonstrasi itu.

Pada malam 1 Oktober, keganasan merebak ke Sale, berhampiran Rabat, yang menyaksikan sekumpulan pemuda di kawasan kejiranan yang padat penduduknya melontar batu ke arah polis, merompak kedai, membakar bank dan kenderaan polis, menurut saksi.

Di Tangier, di Selat Gibraltar, pemuda membaling batu ke arah pasukan keselamatan.

Pekan-pekan kecil di wilayah Souss berhampiran Agadir menyaksikan aksi ganas untuk malam kedua berturut-turut.

Di Sidi Bibi, pemuda bertopeng membakar ibu pejabat masyarakat dan menyekat jalan utama.

Hab pelancongan Maghribi di Marrakech menyaksikan pertempuran ganas apabila penunjuk perasaan membakar balai polis, menurut media tempatan LeDesk.

Penunjuk perasaan di sana menggesa Perdana Menteri, Encik Aziz Akhannouch, meletak jawatan dan melaungkan slogan seperti ‘Rakyat mahu rasuah dihentikan’.

Kadar pengangguran Maghribi berada pada 12.8 peratus, dengan pengangguran belia mencecah 35.8 peratus, menurut agensi perangkaan nasional. – Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg