RABAT: Kehadiran pasukan keselamatan yang ketat pada petang 29 September telah menggagalkan protes yang diketuai oleh belia selama tiga hari berturut-turut di beberapa bandar Maghribi.
Para penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan tersebut bagi tuntut penambahbaikan kepada sistem kesihatan dan pendidikan awam.
Protes itu dianjurkan dalam talian oleh kumpulan belia tanpa nama yang dikenali sebagai “GenZ 212”, menggunakan platform termasuk TikTok, Instagram dan aplikasi permainan Discord.
Kerajaan dan pihak berkuasa kehakiman belum lagi memberi maklumat mengenai insiden dan penangkapan berkaitan protes itu.
Kementerian Dalam Negeri juga tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Dalam protes itu, berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditangkap pihak keselematan bagi menghalang mereka daripada mengadakan protes di bandar-bandar termasuk Rabat, Casablanca, Agadir, Tangier dan Oujda.
Di Rabat, seorang saksi mendakwa melihat pegawai berpakaian preman menahan penunjuk perasaan muda ketika mereka cuba melaungkan slogan atau bercakap kepada akhbar.
Presiden persatuan perlindungan kanak-kanak, Encik Najat Anouar, ditahan ketika bercakap kepada media dan dibebaskan dua jam kemudian.
“Saya datang ke sini untuk menyiasat dakwaan bahawa mereka yang di bawah umur telah ditangkap,” katanya.
Satu kumpulan penunjuk perasaan di pusat bandar Rabat kedengaran melaungkan “kebebasan, maruah, dan keadilan sosial” - slogan yang menggemakan demonstrasi 2011 yang menyaksikan pembaharuan perlembagaan yang menurunkan lebih banyak kuasa monarki Maghribi kepada kerajaan yang dipilih.
“Kami mahu sistem kesihatan dan akauntabiliti yang lebih baik,” kata Encik Brahim, 25 tahun, beberapa saat sebelum melarikan diri ketika polis menyerbu orang ramai daripada menyertai protes itu.
Pada malam 28 September, penunjuk perasaan menyekat sebentar lebuh raya utama di Casablanca, manakala di Agadir, video yang tersebar di media sosial menunjukkan polis menyuraikan pelajar berhampiran kampus universiti.
Gelombang kemarahan belia baru-baru ini dicetuskan oleh protes awal di Agadir berhubung keadaan hospital yang teruk, yang dengan cepat merebak ke bandar-bandar lain.
Penunjuk perasaan telah mengecam penjagaan kesihatan yang tidak mencukupi, kemudahan kekurangan kakitangan dan kekurangan sumber perubatan di hospital-hospital di negara itu.
Kadar pengangguran Maghribi berada pada para 12.8 peratus, dengan pengangguran belia mencecah 35.8 peratus dan 19 peratus dalam kalangan graduan, menurut agensi perangkaan kebangsaan.
Laporan Indeks Komitmen Terhadap Pengurangan Ketidaksamaan (CRI) oleh Oxfam pada 2024 meletakkan Maghribi di tangga kedua terburuk di Afrika Utara, selepas Mesir. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg