Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gerakan global desak langkah konkrit terhadap Israel di Sidang Kecemasan Bogota

Jul 15, 2025 | 2:49 PM
Timbalan Menteri Luar Afrika Selatan, Alvin Botes (tengah), dan Menteri Kehakiman Namibia, Yvonne Dausab (dua dari kanan), semasa sidang media anjuran Progressive Antarabangsa dan Kumpulan The Hague di The Hague pada 31 Januari lalu
Timbalan Menteri Luar Afrika Selatan, Alvin Botes (tengah), dan Menteri Kehakiman Namibia, Yvonne Dausab (dua dari kanan), semasa sidang media anjuran Progressive Antarabangsa dan Kumpulan The Hague di The Hague pada 31 Januari lalu - Foto AFP

BOGOTA: Lebih 30 negara berhimpun di Bogota, Colombia minggu ini untuk mengumumkan langkah konkrit terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, dalam satu sidang kecemasan yang dianggap sebagai usaha pelbagai hala paling serius setakat ini dalam menangani isu Gaza.

Sidang dua hari yang berlangsung pada 15 dan 16 Julai itu dianjurkan bersama oleh Colombia dan Afrika Selatan sebagai pengerusi bersama Kumpulan The Hague, sebuah blok negara-negara yang ditubuhkan pada Januari lalu di Belanda untuk menyelaras tindakan diplomatik dan undang-undang dalam menuntut kebertanggungjawaban Israel.

“Penubuhan Kumpulan The Hague menandakan titik perubahan dalam tindak balas global terhadap pengecualian undang-undang dan kemerosotan prinsip undang-undang antarabangsa,” kata Menteri Hubungan Antarabangsa Afrika Selatan, Encik Roland Lamola. “Sidang di Bogota ini akan menghantar mesej jelas: tiada negara kebal daripada undang-undang, dan tiada jenayah yang akan dibiarkan tanpa jawapan.”’

Antara negara yang menyertai sidang ini ialah Algeria, Brazil, China, Cuba, Malaysia, Indonesia, Namibia, Qatar, Senegal, Sepanyol dan Palestin, menurut laporan Middle East Eye.

Turut hadir ialah wakil tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Pelapor Khas PBB untuk wilayah Palestin yang diduduki, Cik Francesca Albanese, dan Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Encik Philippe Lazzarini.

Menurut Setiausaha Kumpulan The Hague, sidang ini adalah “inisiatif pelbagai hala paling bercita-cita tinggi” setakat ini untuk menuntut Israel mematuhi undang-undang antarabangsa, khususnya dalam konteks konflik di Gaza yang telah mengorbankan lebih 57,000 rakyat Palestin dan menyebabkan hampir seluruh penduduknya dipindahkan sejak Oktober 2023.

“Genosid yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin mengancam keseluruhan sistem multilateralisme global,” kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Pelbagai Hala Colombia, Encik Mauricio Jaramillo Jassir. “Kami di Bogota bukan sahaja ingin mengutuk, tetapi akan merangka langkah bersama yang konkrit untuk bertindak.”

Presiden Colombia, Gustavo Petro, turut menegaskan bahawa matlamat utama persidangan ini adalah untuk “bergerak daripada kecaman kepada tindakan kolektif.” Beliau berkata persidangan itu bertujuan “beralih daripada kecaman kepada tindakan kolektif,”

Timbalan Menteri Luar negara itu, Encik Mauricio Jaramillo Jassir memberi amaran bahawa genosid terhadap rakyat Palestin kini mengancam keseluruhan sistem pelbagai hala serta norma undang-undang antarabangsa.

Antara langkah yang telah diambil oleh negara-negara anggota Kumpulan The Hague termasuk Afrika Selatan yang membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan melanggar Konvensyen Genosid.

Bolivia, Colombia dan Namibia turut menyertai kes tersebut, manakala Malaysia dan Namibia mengambil langkah melarang kapal yang membawa senjata ke Israel daripada berlabuh di pelabuhan mereka. Colombia pula telah memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Israel sebagai tanda bantahan.

Cik Albanese menyifatkan persidangan Bogota sebagai detik bersejarah dalam perjuangan keadilan antarabangsa. “Ini adalah saat dunia akhirnya berdiri untuk melakukan perkara yang betul,” katanya. “Undang-undang antarabangsa telah terlalu lama dianggap sebagai pilihan – hanya digunakan terhadap yang lemah, dan diabaikan oleh yang berkuasa.”

Beliau dijangka menegaskan kegagalan sistem antarabangsa melindungi rakyat Palestin serta pelaksanaan undang-undang secara terpilih yang menghakis legitimasi sistem tersebut. Cik Albanese juga akan membangkitkan isu sekatan yang dikenakan ke atasnya oleh Amerika Syarikat, dan menegaskan keperluan untuk berpaut semula kepada Piagam PBB dan prinsip hak asasi sejagat.

“Bersatu dalam tujuan, kita boleh menuntut kembali keadilan. Dan jika kita berdiri bersama, kita pasti akan berjaya,” katanya.

Kumpulan The Hague kini merancang untuk memperkukuh kerjasama dalam tiga bidang utama:

+ Memastikan pematuhan terhadap arahan sementara ICJ berhubung Gaza.
+ Menghalang pemindahan senjata ke Israel yang boleh digunakan dalam tindakan genosid.
+ Menolak kapal yang membawa bekalan ketenteraan ke Israel daripada berlabuh di pelabuhan anggota.

Sidang Bogota juga menjadi platform untuk melaksanakan Resolusi Perhimpunan Agung PBB A/RES/ES-10/24, yang menuntut tindakan konkrit daripada negara anggota menjelang September 2025. Perwakilan dari PBB dalam bidang kesihatan, hak wanita, dan tentera upahan turut memberikan taklimat dalam sesi khas.

Menurut Penyelaras Kumpulan The Hague, Cik Varsha Gandikota-Nellutla, pembentukan kumpulan ini adalah tindak balas terhadap ketidakpatuhan negara-negara terhadap obligasi undang-undang antarabangsa yang mengikat — termasuk penolakan beberapa negara Barat terhadap waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg