THE HAGUE (Belanda): Wakil Afrika Selatan mengutuk keras tindakan Israel di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dengan menyatakan dunia telah gagal mempertahankan rakyat Palestin yang kini berada dalam keadaan krisis kemanusiaan yang amat genting – selepas sekatan penuh terhadap bantuan ke Gaza kini melebihi 50 hari.
“Satu-satunya kepastian yang dimiliki rakyat Palestin ialah esok akan menjadi lebih buruk,” kata wakil Afrika Selatan dalam sesi perbicaraan ICJ yang kini memasuki hari kedua pada 29 April.
Ketua Pengarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Afrika Selatan, Encik Zane Dangor, menyelar tindakan Israel yang menurutnya dilakukan dengan “kebal daripada undang-undang antarabangsa”.
Afrika Selatan menyeru agar Israel segera mematuhi perintah sementara yang dikeluarkan ICJ pada Januari 2024 dan membatalkan larangan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA), yang disifatkan sebagai tindakan yang menyukarkan penghantaran bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Perbicaraan itu diadakan selepas ICJ diminta pada Disember 2024 untuk memberi “pendapat nasihat” mengenai kewajipan Israel dalam menjamin bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui agensi antarabangsa seperti PBB.
Meskipun tidak mengikat dari segi undang-undang, keputusan ICJ tetap mempunyai pengaruh besar dari sudut politik dan moral.
Wakil dari 40 negara dijangka memberi kenyataan sepanjang perbicaraan dari 28 April hingga 2 Mei, dengan tumpuan khusus terhadap isu kebuluran dan sekatan bantuan.
Israel sebelum ini mengharamkan UNRWA pada November dan menyekat penghantaran bantuan pada Mac 2024 – tindakan yang menurut banyak pihak, menyumbang kepada penderitaan rakyat Palestin.
Israel mempertahankan tindakannya dengan mendakwa bantuan hanya akan dibenarkan masuk ke Gaza setelah semua 59 tebusan dibebaskan oleh Hamas.
Mereka turut mendakwa antara Januari dengan Mac, sebanyak 600 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari – mencukupi untuk tiga hingga enam bulan bekalan.
Namun kenyataan itu ditolak wakil Palestin dan masyarakat antarabangsa.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Encik Volker Turk, menyifatkan keadaan di Gaza kini telah mencapai “tahap krisis yang belum pernah disaksikan”.
Wakil beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Algeria dan Arab Saudi telah mengemukakan hujah di ICJ.
Dalam kenyataannya kepada ICJ, Duta Arab Saudi ke Belanda, Encik Mohamed Saud Alnasser, berkata:
“Israel telah mengubah Gaza menjadi timbunan runtuhan. Tidak ada apa-apa yang boleh membenarkan pelanggaran terang-terangan Israel terhadap undang-undang antarabangsa di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.”
Beliau menambah Israel secara terang-terangan mengabaikan keputusan mahkamah terdahulu.
“Malangnya, dan seperti yang dijangka, Israel memilih mengabaikan keputusan mahkamah ini. Mereka bertindak seolah-olah kebal (daripada) undang-undang,” kata Encik Alnasser.
Sementara itu, Amnesty International, dalam laporan tahunannya turut menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai “genosid yang disiarkan secara langsung”, dengan menyasarkan orang awam dan melakukan penculikan serta penyeksaan.
Palestin sebelum ini telah memfailkan kes yang lebih besar terhadap Israel pada Disember 2023, menuduh negara itu melanggar Konvensyen Genosid 1948.
Dalam keputusan sementara ICJ pada Januari 2024, mahkamah mengarahkan Israel agar mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada genosid dan memastikan bantuan masuk ke Gaza serta menghukum pihak yang menyeru kebencian terhadap rakyat Palestin.
Perintah itu diluluskan dengan majoriti besar, 15 menyokong dan dua menentang.
Israel bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut.
Ia menegaskan tindakannya adalah memerangi Hamas, yang menurutnya merupakan organisasi pengganas yang beroperasi dalam kawasan awam di Gaza dan bukan berniat menggunakan kelaparan sebagai senjata peperangan.
Sesi di ICJ itu berlangsung di hadapan panel 15 hakim antarabangsa dan antara negara yang akan tampil minggu ini termasuk Amerika Syarikat, Jordan, Iran, Qatar dan Mesir.
Qatar turut memainkan peranan penting dalam rundingan pembebasan tebusan.
Pakar strategi dari Pakistan, Cik Arhama Siddiqa, berkata prosiding itu mencabar dominasi naratif Israel di pentas antarabangsa.
“Ketidakhadiran Israel dalam sesi ini jelas menunjukkan keengganan mereka untuk bertanggungjawab dari sudut undang-undang,” katanya.
“Kes Palestin di ICJ kini menjadi ujian iltizam masyarakat antarabangsa terhadap keadilan dan hak asasi.”
Beliau turut mengecam larangan Israel terhadap UNRWA, dengan menyifatkannya sebagai langkah politik yang menyasarkan hak pelarian Palestin sejak 1948.
“Dalam konteks ini, PBB dan UNRWA kini menjadi mangsa terbaharu tindakan Israel,” tegas Encik Dangor.
“Setiap usaha untuk mempersoalkan tindakan Israel akan disambut dengan sekatan dan tekanan, termasuk ke atas badan PBB sendiri dan ICJ ini.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg